Ahad, 6 Mei 2012

Harian Metro: Mutakhir

Harian Metro: Mutakhir


Chong Wei juara Grand Prix Emas

Posted: 06 May 2012 05:39 AM PDT

JOHOR BAHRU: Pemain badminton nombor satu negara Datuk Lee Chong Wei berjaya mengekalkan kejuaraannya empat tahun berturut-turut dalam Kejohanan Badminton Grand Prix (GP) Emas Terbuka Malaysia 2012 di Stadium Bandaraya di sini.

Pada perlawanan akhir hari ini, Chong Wei menewaskan pemain Indonesia Sony Dwi Kuncoro dalam perlawanan tiga set 17-21, 21-8, 21-10 dalam masa 50 minit.

Dalam permainan set pertama, Chong Wei yang belum pulih sepenuhnya daripada kecederaan bahu kanan dilihat bermain lebih berhati-hati menyebabkan Sony berjaya mengambil kesempatan itu untuk mengalahkannya dengan mata 21-17.

Namun di set kedua dan ketiga Choog Wei kembali bangkit dan menukar rentak perlawanan dengan bermain lebih agresif menyebabkan Sony kelihatan tertekan.


Pemain Indonesia itu dilihat banyak melakukan kesilapan dengan hantaran bulu tangkis separuh gelanggang dan kesempatan itu digunakan sepenuhnya untuk menundukkan Sony.


Dengan kemenangan itu, Chong Wei membawa pulang hadiah wang tunai sebanyak US$9,000 (RM30,000) dan Sony membawa pulang US$4,560 (RM15,000). Hadiah disampaikan oleh Tunku Temenggong Johor Tunku Idris Sultan Ibrahim.

Kejohanan kali ini turut menyaksikan monopoli pemain negara apabila turut mencatatkan kemenangan dalam tiga kategori lain.

Sebelum itu penyandang juara beregu lelaki kejohanan itu tahun lepas, Koo Kien Keat dan Tan Boon Heong turut berjaya mengekalkan kejuaraan mereka setelah menewaskan pasangan beregu muda negara Chooi Kah Ming dan Ow Yao Han 21-15, 21-19.

Walaupun cuba diberi saingan di awal permainan namun, pasangan beregu nombor satu negara itu bijak menggunakan pengalaman mereka menundukkan lawan.

Beregu wanita negara Chin Eei Hui dan Wong Pei Tty pula terpaksa berhempas pulas selama 45 minit sebelum berjaya menewaskan beregu Singapura Sari Shinta Mulia dan Yao Lei 21-18, 21-18 untuk muncul sebagai juara beregu wanita kejohanan itu.

Untuk kategori beregu campuran, walaupun Chan Peng Soon dihimpit masalah kecederaan tangan kanannya, namun beliau bersama pasangannya Goh Liu Ying tetap mempamerkan aksi mantap untuk menewaskan beregu Indonesia Irfan Fadhilah dan Weni Anggraini 21-12, 21-14.

Untuk kategori wanita, juara dimenangi oleh pemain dari Thailand Busanan Ongbumrungpan setelah menewaskan Takashi Sayaka dari Jepun 21-17, 22-20. - BERNAMA




11 nelayan terselamat, bot dinaiki karam

Posted: 06 May 2012 03:09 AM PDT

BACHOK: Seramai 11 nelayan terselamat selepas bot yang mereka naiki karam ketika memancing di kawasan tujuh batu nautika dari pantai Senok di sini, hari ini.

Kejadian itu berlaku pukul 6.30 pagi apabila bot mereka dimasuki air kerana dikatakan tidak menutup injap lubang air bot berkenaan ketika sedang memancing ikan di kawasan tersebut.

Mereka berumur antara 25 dan 52 tahun itu sempat diselamatkan oleh sebuah bot nelayan yang berada berdekatan tempat kejadian.

"Kami sempat melepaskan tembakan api amaran sebagai isyarat kecemasan kepada bot berhampiran untuk mendapatkan pertolongan mereka," kata pemilik bot yang karam itu, Abdul Aziz Abdullah, 40, dari Kampung Pantai Kemayan dekat sini.


Sambil mengucap syukur dan berterima kasih kepada nelayan yang menolong mereka, Abdul Aziz berkata beliau dan rakan-rakannya hanya menyedari bot itu bocor apabila air masuk hampir menenggelamkan bot itu.


"Jika rakan nelayan itu tidak menyedari kami dalam kecemasan sudah tentu kami lemas dalam kejadian ini, tiada apa yang kami ingat melainkan Tuhan," katanya.

Sementara itu, sepasukan anggota bomba dan penyelamat dengan kerjasama anggota Jabatan Pertahanan Awam Malaysia daerah Bachok bergegas ke Pantai Senok untuk memberi bantuan kecemasan, yang kemudiannya mendapati sebelas nelayan tersebut sudah berjaya diselamatkan. - BERNAMA




Tiada ulasan:

Catat Ulasan