Kosmo Online |
- Jenayah perang: Bekas Presiden Amerika, sekutu dibicara
- Jangan terpengaruh ajaran sesat “Ahmad 100”
- Suspek kes ragut mati, rakan parah kemalangan
| Jenayah perang: Bekas Presiden Amerika, sekutu dibicara Posted: Jenayah perang: Bekas Presiden Amerika, sekutu dibicara05/05/2012 6:48pm KUALA LUMPUR — Tribunal Jenayah Perang Kuala Lumpur akan mendengar tuduhan kedua mengenai Penyeksaan Jenayah dan Jenayah Perang terhadap bekas Presiden Amerika George W. Bush dan lima sekutunya selama enam hari, bermula Isnin ini. Sekutu Bush ialah bekas Naib Presiden Amerika, Richard Cheney; bekas Setiausaha Pertahanan, Donald Rumsfeld; peguam kepada Presiden Bush, Alberto Gonzales; penasihat utama kepada Naib Presiden, David Addington; penasihat utama kepada Setiausaha Pertahanan, William Haynes II; Penolong Peguam negara Jay Bybee; dan bekas Timbalan Penolong Peguam negara, John Choon Yoo, yang semuanya berkhidmat dalam pentadbiran Bush. Dalam kenyataan di sini hari ini, Yayasan Menjenayahkan Perang Kuala Lumpur (KLFCW) berkata, tuduhan itu berbunyi: "Tertuduh telah melakukan Jenayah Penyeksaan dan Jenayah Perang apabila mereka secara rela terlibat dalam penggubalan perintah eksekutif dan memberi arahan supaya mengetepikan semua konvensyen dan undang-undang antarabangsa iaitu Konvensyen Menentang Penyeksaan 1984, Konvensyen Geneva III 1949, Perisytiharan Universal Mengenai Hak Asasi Manusia dan Piagam Bangsa Bersatu berhubung peperangan yang dilancarkan Amerika serta pihak lain di Afghanistan (2001) dan Iraq (Mac 2003). Di samping itu, dan atau atas dasar dan sebagai lanjutan daripadanya, tertuduh memberi kuasa atau merestui perlakuan menyeksa dan melakukan kekejaman, menjatuhkan maruah serta memberi layanan tidak berperikemanusiaan terhadap mangsa dengan mencabuli undang-undang, perjanjian dan konvensyen antarabangsa termasuk Konvensyen Menentang Penyeksaan 1984 dan Konvensyen Geneva, termasuk Konvensyen Geneva III 1949." KLFCW berkata, tuduhan itu dibuat atas alasan mencabuli Konvensyen Menentang Penyeksaan 1984 dan Konvensyen Geneva III 1949. Pendakwaan diketuai Prof Gurdial Singh Nijar, profesor undang-undang dan pengarang beberapa penerbitan undang-undang dan Prof Francis Boyle, profesor ulung dari Amerika serta pengamal dan pejuang undang-undang antarabangsa, dengan dibantu sekumpulan peguam. Perbicaraan ini merupakan pendengaran umum dan diadakan di mahkamah terbuka dari 7 hingga 12 Mei di premis KLFCW yang beralamat di No 88, Jalan Perdana, di sini. — BERNAMA |
| Jangan terpengaruh ajaran sesat “Ahmad 100” Posted: Jangan terpengaruh ajaran sesat "Ahmad 100"05/05/2012 5:24pm MUAR — Umat Islam di negeri ini diingatkan supaya jangan mudah terpengaruh dengan ajaran sesat yang mendakwa pengikut ajaran itu tidak perlu menunaikan solat lima waktu. Kadi Daerah Ledang, Sulaiman Maidin mendedahkan ajaran sesat yang dikenali sebagai "Ahmad 100" sedang bergerak aktif di Selangor dan kini sedang merebak ke negeri Melaka. "Oleh kerana kedudukan daerah Ledang berhampiran dengan Melaka, kita harus berhati-hati supaya tidak mudah terpengaruh dengan ajaran ini. Setakat ini, ia belum menular ke daerah ini," katanya ketika memberi ceramah di Masjid Jamek Sultan Ismail, Tanjung Agas, Ledang hari ini. Menurut Sulaiman, pengikut ajaran itu tidak perlu menunaikan solat tetapi memadai dengan niat untuk melayakkan mereka masuk syurga di samping turut meminta lelaki yang ingin menyertai ajaran itu menyerahkan isterinya tidur semalaman dengan pengasas ajaran itu sebelum diterima sebagai pengikutnya. "Jika didapati isterinya itu dapat memuaskan nafsu lelaki tersebut, barulah lelaki berkenaan diterima sebagai pengikutnya dan pengikut terbabit tidak perlu menunaikan solat lima waktu, memadai niat sahaja sudah mencukupi," katanya.— BERNAMA |
| Suspek kes ragut mati, rakan parah kemalangan Posted: Suspek kes ragut mati, rakan parah kemalangan05/05/2012 4:36pm KUALA LUMPUR — Seorang suspek kes ragut mati manakala rakannya cedera parah selepas mereka terbabas dan terpelanting ke arah sebuah van ketika cuba melarikan diri setelah meragut seorang wanita di sebuah restoran di Jalan Batu 3 1/2, Cheras di sini awal hari ini. Dalam kejadian kira-kira 1.25 pagi itu, suspek pertama berumur 19 tahun merampas beg tangan seorang wanita warga Singapura yang sedang makan di restoran dan cuba melarikan diri dengan membonceng motosikal dipandu suspek kedua berumur 18 tahun. Seorang saksi yang berada di dalam keretanya tidak jauh dari tempat kejadian bertindak mengejar kedua-dua suspek itu sejauh 250 meter dengan kenderaan sebelum terlanggar belakang motosikal suspek mengakibatkan kenderaan itu terbabas dan suspek terpelanting ke arah van yang terletak di tepi jalan. Ketua Polis Daerah Cheras, ACP Mohan Singh Tara Singh berkata kedua-dua suspek warga tempatan itu dihantar ke Pusat Perubatan Universiti Kebangsaan Malaysia (PPUKM) untuk rawatan akibat cedera parah di bahagian badan dan patah kaki. Katanya, suspek berumur 18 tahun yang cedera parah di beberapa bahagian badan itu meninggal dunia kira-kira pukul 3 pagi. "Dia mati mengejut namun polis akan menyiasat dan menunggu keputusan bedah siasat bagi memastikan punca sebenar kematian. Seorang lagi suspek masih dirawat di pusat perubatan berkenaan," katanya. Mohan Singh berkata, suspek akan direman bagi membantu siasatan kes di bawah Seksyen 395 Kanun Keseksaan kerana menyamun.— BERNAMA |
| You are subscribed to email updates from Kosmo Online To stop receiving these emails, you may unsubscribe now. | Email delivery powered by Google |
| Google Inc., 20 West Kinzie, Chicago IL USA 60610 | |
Tiada ulasan:
Catat Ulasan