Sabtu, 5 Mei 2012

Berita Harian: Mutakhir

Berita Harian: Mutakhir


Tribunal Jenayah Perang KL bicara Bush

Posted: 05 May 2012 03:33 AM PDT

Mutakhir

KUALA LUMPUR: Tribunal Jenayah Perang Kuala Lumpur akan mendengar tuduhan kedua mengenai Penyeksaan Jenayah dan Jenayah Perang terhadap bekas Presiden Amerika Syarikat, George W Bush, dan lima sekutunya selama enam hari, bermula Isnin ini.

Sekutu Bush ialah bekas Naib Presiden, Richard Cheney; bekas Setiausaha Pertahanan, Donald Rumsfeld; peguam kepada Presiden Bush, Alberto Gonzales; Ppenasihat Utama kepada Naib Presiden, David Addington; Penasihat Utama kepada Setiausaha Pertahanan, William Haynes II; Penolong Peguam Negara, Jay Bybee; dan bekas Timbalan Penolong Peguam Negara, John Choon Yoo, yang semuanya berkhidmat dalam pentadbiran Bush.

Dalam kenyataan di sini hari ini, Yayasan Menjenayahkan Perang Kuala Lumpur (KLFCW) berkata tuduhan itu ialah: "Tertuduh telah melakukan Jenayah Penyeksaan dan Jenayah Perang apabila mereka secara rela terlibat dalam penggubalan perintah eksekutif dan memberi arahan supaya mengetepikan semua konvensyen dan undang-undang antarabangsa iaitu Konvensyen Menentang Penyeksaan 1984, Konvensyen Geneva III 1949, Perisytiharan Universal Mengenai Hak Asasi Manusia dan Piagam Bangsa Bersatu berhubung peperangan yang dilancarkan Amerika serta pihak lain di Afghanistan (2001) dan Iraq (Mac 2003).

"Di samping itu, dan/atau atas dasar dan sebagai lanjutan daripadanya, tertuduh memberi kuasa atau merestui perlakuan menyeksa dan melakukan kekejaman, menjatuhkan maruah serta memberi layanan tidak berperikemanusiaan terhadap mangsa dengan mencabuli undang-undang, perjanjian dan konvensyen antarabangsa termasuk Konvensyen Menentang Penyeksaan 1984 dan Konvensyen Geneva, termasuk Konvensyen Geneva III 1949."

Menurut KLFCW, tuduhan itu dibuat atas alasan mencabuli Konvensyen Menentang Penyeksaan 1984 dan Konvensyen Geneva III 1949.

"Konvensyen Penyeksaan mentakrifkan 'penyeksaan' sebagai 'tindakan menyebabkan kesakitan atau penderitaan yang amat sangat secara sengaja, sama ada terhadap fizikal atau mental, dengan atau melalui restu atau persetujuan pegawai awam'.
"Istilah 'pegawai awam' merujuk kepada 'penyeksaan secara rasmi' dan meliputi ketua negara. Ia tidak termasuk kesengsaraan yang dialami akibat pelaksanaan hukuman secara sah," menurut kenyataan itu.

Menurut KLFCW, pada 2009, Suruhanjaya Jenayah Perang Kuala Lumpur, selepas menerima aduan daripada mangsa seksaan dari Guantanamo dan Iraq, menjalankan siasatan terperinci selama hampir dua tahun.

Antara perkara yang ditemui ialah Presiden Bush mendapatkan dan memperoleh pendapat yang mewajarkan tindakannya mengetepikan Konvensyen Penyeksaan dan Konvensyen Geneva.

Menurut kenyataan itu, Rumsfeld pula mendapatkan dan membenarkan penggunaan kaedah soal siasat secara agresif serta melaksanakannya, pertama kali di Guantanamo dan kemudian di Afghanistan serta Iraq.

Kekejaman yang dilakukan dengan jelas mencabuli konvensyen antarabangsa dan nasihat guaman telah diberi secara sukarela oleh peguam berkenaan untuk memenuhi niat politik pihak Eksekutif.

"Berdasarkan alasan ini, peguam berkenaan adalah pelaku secara sukarela dan sama-sama terlibat melakukan jenayah perang. Suruhanjaya itu mengesyorkan agar pihak pendakwa memfailkan pertuduhan terhadap tertuduh," menurut kenyataan itu.

Mangsa yang akan menghadiri pendengaran tribunal itu untuk memberi keterangan terhadap tertuduh tidak pernah dikenakan pertuduhan bagi sebarang kesalahan dan mereka dinafikan hak membuat representasi undang-undang. Proses undang-undang antarabangsa langsung tidak dipatuhi.

Menurut KLFCW, mereka yang ditahan di Guantanamo; Abu Gharib di Baghdad dan Bagram di Afghanistan itu melalui pengalaman serupa.

Kaedah secara sistematik yang digunakan di pusat tahanan haram itu menunjukkan wujudnya perbuatan jenayah secara terancang, bukan kerana "tindakan beberapa askar yang jahat" seperti yang didakwa Amerika.

Panel tribunal itu diketuai bekas Hakim Mahkamah Persekutuan Malaysia, Tan Sri Lamin Mohd Yunus, yang pernah bertugas sebagai hakim ad litem di Tribunal Jenayah Antarabangsa bagi bekas Republik Yugoslavia.

Ia turut dianggotai beberapa tokoh terkenal seperti Alfred Lambremont Webre, lepasan Yale, yang telah menulis beberapa buku politik.

Panel itu turut dianggotai peguam dan pengarang beberapa buku berkaitan Undang-undang Antarabangsa, Tunku Sofiah Jewa; bekas Peguam Persekutuan di Jabatan Peguam Negara, Prof Salleh Buang; dan bekas Hakim Mahkamah Rayuan, Datuk Mohd Sa'ari Yusof.

Tribunal itu akan membuat penghakiman dan menilai bukti yang dikemukakan kepadanya seperti yang dilakukan mahkamah lain.

"Hakim tribunal ini perlu berpuas hati bahawa tuduhan yang dikenakan melampaui keraguan munasabah dan membuat penghakiman yang diiringi alasan.

"Sekiranya tribunal ini mensabitkan kesalahan mana-mana tertuduh, satu-satunya hukuman yang akan dikenakan ialah nama orang yang didapati bersalah akan dimasukkan ke dalam Daftar Jenayah Perang Suruhanjaya itu dan disiarkan ke seluruh dunia.

"Tribunal ini adalah sebuah tribunal berkaitan hati nurani dan ditubuhkan atas inisiatif orang ramai," menurut kenyataan itu.

Pendakwaan diketuai Prof Gurdial Singh Nijar, profesor undang-undang dan pengarang beberapa penerbitan undang-undang dan Prof Francis Boyle, profesor ulung dari Amerika serta pengamal dan pejuang undang-undang antarabangsa, dengan dibantu sekumpulan peguam.

Perbicaraan ini adalah pendengaran umum dan diadakan di mahkamah terbuka dari 7 hingga 12 Mei di premis KLFCW yang beralamat di No 88, Jalan Perdana, di sini.
- BERNAMA


Penganjur Himpunan Tanah Rakyat akan dikena tindakan

Posted: 05 May 2012 03:25 AM PDT

Mutakhir

JOHOR BAHRU: Polis akan mengambil tindakan terhadap penganjur Himpunan Tanah Rakyat yang diadakan di Plaza Angsana, di sini hari ini kerana melanggar peraturan yang ditetapkan di dalam Akta Perhimpunan Aman 2011.

Ketua Polis Daerah Johor Bahru Utara, ACP Ruslan Hassan, berkata penganjur perhimpunan seharusnya menghantar notis perhimpunan 10 hari sebelum tarikh penganjuran tetapi mereka hanya menghantar notis tersebut semalam.

Beliau berkata, pihak penganjur juga tidak mendapat kebenaran daripada pengurusan Plaza Angsana, UDA Holdings Bhd untuk melakukan perhimpunan di lokasi tersebut. "UDA Holdings juga sudah membuat satu laporan polis pada minggu lalu mengenai perkara ini. Kita akan membuka kertas siasatan dan mengambil tindakan berdasarkan kepada peruntukan undang-undang yang ada," katanya kepada pemberita di sini hari ini.

Himpunan Tanah Rakyat yang dianjurkan Gabungan Tanah Rakyat (Tanah) yang mulanya menyasarkan kehadiran peserta seramai 30,000 orang bagaimanapun gagal apabila hanya disertai kira-kira 500 peserta sahaja.

Perhimpunan itu turut disertai oleh pemimpin-pemimpin pembangkang termasuk Pesuruhjaya PAS negeri, Datuk Dr Mahfodz Mohamed; Naib Presiden PAS, Salahuddin Ayub; dan Ketua Dewan Pemuda PAS, Nasruddin Hassan. - BERNAMA


Tiada ulasan:

Catat Ulasan