Sabtu, 5 Mei 2012

Harian Metro: Mutakhir

Harian Metro: Mutakhir


Anak mati dipanah petir

Posted: 04 May 2012 01:16 PM PDT

KUALA TERENGGANU: "Kata-kata 'mak lihat saya seperti mahu bergaduh' ketika saya merenung wajahnya sebelum dia meninggalkan rumah menjadi gurauan terakhir apabila arwah maut dipanah petir di pantai Teluk Ketapang," kata Norhayati Mamat, 42, ibu Mohd Ismuazam Mohd Jaafar, 18, yang maut dipanah petir ketika memancing di pantai berkenaan, semalam.

Dalam kejadian jam 4 petang itu, mangsa meninggal dunia di tempat kejadian manakala dua rakannya, Mohd Ikhwan Nawawi Abdullah, 18, dan Mohd Fharal Adzaana Ngah, 26, cedera parah dan menerima rawatan di Hospital Sultanah Nur Zahirah (HSNZ), di sini.


Norhayati dari Taman Desa Majlis Bandaraya Kuala Terengganu, Chendering, di sini berkata, arwah anaknya meninggalkan rumah jam 3 petang untuk memancing selepas makan tengah hari.

"Dari pagi arwah meminta menggunakan motosikal daripada saya dan suami, Mohd Jaafar Jusoh, 43, untuk memancing.


"Bagaimanapun, sebelum meninggalkan rumah, saya sempat merenung wajahnya dan dalam keadaan bergurau itu, arwah sempat berkata sama ada saya mahu bergaduh dengannya," katanya ketika ditemui di tempat kejadian, semalam.


Menurutnya, dia menerima panggilan telefon daripada seorang lagi anaknya memaklumkan kejadian itu, jam 4.30 petang sebelum mereka sekeluarga bergegas ke tempat kejadian.

Katanya, pada pagi hari kejadian, arwah memberitahu mahu memancing di Marang dan tidak mengetahui yang mereka ke pantai berkenaan bersama lima rakan.


Rakan mangsa yang turut memancing bersama sebelum kejadian, Mohd Arif Hanafi, 22, dari Kampung Kuala Ibai Pantai, di sini, berkata, mereka memilih lokasi benteng pemecah ombak berbatu di pantai itu untuk memancing.

"Tiba-tiba awan berubah kehitaman dan hujan lebat. Melihat keadaan tidak terkawal berikutan guruh dan petir, saya meminta rakan lain berteduh dalam kereta berikutan mereka datang dengan motosikal.


"Saya bersama dua rakan masuk dalam kereta, namun arahan saya yang meminta tiga mangsa yang maut dan cedera itu berlindung dalam kereta tidak diendahkan," katanya.


Menurutnya, ketiga-tiga mangsa berlindung dalam khemah kanvas yang didirikan pemancing lain sebelum ini.


Katanya, ketiga-tiga mangsa enggan berganjak, malah sempat berkata 'alang-alang dibasahi hujan', mereka mahu terus memancing.


Mohd Arif berkata, selepas hujan berhenti, dia turun ke tempat tiga mangsa itu memancing dan mendapati seorang daripadanya sudah tidak bernyawa manakala dua lagi rakannya cedera dan meminta bantuan orang ramai membawa mereka yang cedera ke hospital.


Sementara itu, Ketua Polis Daerah, Asisten Komisioner Zamri Shamsuddin mengesahkan kejadian itu yang membabitkan satu kematian dan dua parah akibat dipanah petir ketika memancing di pantai berkenaan.




Rampas 555 ular tedung

Posted: 04 May 2012 01:15 PM PDT

GEORGETOWN: Bunyi kura-kura disembunyikan dalam kotak menggagalkan usaha satu sindiket yang cuba menyeludup haiwan itu dan ratusan ular tedung senduk ke luar negara apabila ia dikesan dalam satu operasi di Kompleks Kargo, Batu Maung, kelmarin.

Dalam operasi jam 4.30 pagi itu, sepasukan anggota Jabatan Perlindungan Hidupan Liar dan Taman Negara (Perhilitan), Pulau Pinang dan Agensi Pencegahan Penyeludupan Spesies-Spesies Terkawal Malaysia Pulau Pinang (Maqis) melakukan pemeriksaan dalam sebuah lori yang pada mulanya mengisytiharkan barang dalam kotak adalah betik untuk dieksport ke luar negara.


Bagaimanapun, ketika memeriksa kotak berkenaan, anggota Perhilitan dan Maqis terdengar bunyi pelik dalam beberapa kotak yang pada mulanya didakwa hanya buah betik.

Susulan bunyi itu, mereka melakukan pemeriksaan lanjut sebelum menemui ratusan kura-kura dan juga ular tedung senduk yang diletakkan di belakang kotak berisi buah betik untuk mengaburi pihak berkuasa.


Pengarah Perhilitan negeri, Jamalun Nasir Ibrahim berkata sindiket terbabit cuba mengaburi pihak berkuasa dengan mengisytiharkan barangan dalam kotak berkenaan adalah betik yang akan dieksport ke Hong Kong.


Menurutnya, dalam serbuan diketuai Ketua Unit Kawalan Pintu Masuk dan Pemeriksaan Konsaimen Perhilitan, Tang Teong Kim itu, pihaknya merampas 555 ular dan 171 kura-kura yang jumlahnya bernilai RM110,000.

Jamalun Nasir berkata, permintaan tinggi penggemar makanan eksotik itu membuatkan ada sindiket sanggup menyeludup ular dan kura-kura daripada spesies yang sukar ditemui kerana mahu mengaut keuntungan.


"Harga pasaran seekor ular tedung senduk itu boleh mencecah hingga RM200 untuk saiz besar dan RM80 untuk yang bersaiz kecil, manakala harga bagi kura-kura pula boleh mencecah RM200 seekor.

Menurutnya, seorang lelaki yang juga pemandu lori berusia lingkungan 40-an ditahan bagi membantu siasatan dan pihaknya masih mengesan dalang sebalik sindiket penyeludupan terbabit.


Difahamkan, semua haiwan terbabit akan dilepaskan semula ke habitat asal di utara Semenanjung dan Pahang secara berperingkat secepat mungkin.




Tiada ulasan:

Catat Ulasan