Rabu, 9 Mei 2012

Harian Metro: Setempat

Harian Metro: Setempat


Penghuni lega

Posted: 08 May 2012 01:21 PM PDT

KLANG: Penduduk Pangsapuri Impian Meru, di sini, boleh menarik nafas lega apabila Majlis Perbandaran Klang (MPK) bersetuju menyelesaikan tuntutan berhubung beberapa masalah di tempat tinggal mereka itu.

Pengarah Jabatan Komunikasi dan Pengaduan Awam MPK, Norfiza Mahfiz berkata, dua tuntutan penduduk ialah masalah jalan raya dan longkang yang rosak diselesaikan dalam masa terdekat.


Menurutnya, mengenai isu Sijil Layak Menduduki (CF) pula, ia akan dipanjangkan kepada pihak berwajib termasuk Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPKT) serta Unit Penyelarasan Pelaksanaan (ICU) Jabatan Perdana Menteri (JPM) sebagai pihak berwajib.

"Kerjasama semua pihak mampu menyelesaikan kemelut yang berlaku dan MPK akan mengambil tindakan seperti dibincangkan sebelum ini dalam masa terdekat.


"Kami akan bincangkan isu ini secara teliti dalam Mesyuarat Aduan yang dihadiri agensi lain yang berkaitan dengan kelulusan CF dan infrastruktur seperti Tenaga Nasional Berhad (TNB), Indah Water Konsortium (IWK) serta beberapa jabatan lain," katanya ketika menghadiri sesi dialog bersama penduduk, baru-baru ini.


Turut hadir ketika sesi dialog ialah wakil Jabatan Bangunan, Kejuruteraan dan Pesuruhjaya Bangunan MPK, pemimpin setempat dan penduduk.

Norfiza berkata, pihaknya terus memantau perkembangan semasa pangsapuri berkenaan bagi memastikan keselamatan penduduk terjamin.


"Selain kami, pihak Lembaga Perumahan dan Hartanah Selangor (LPHS) turut menjalankan siasatan terperinci mengenai masalah yang dihadapi penduduk itu," katanya.




Mayat dalam kolam takungan

Posted: 08 May 2012 01:19 PM PDT

KUALA LUMPUR: Mayat seorang lelaki yang sudah reput dan dalam keadaan bogel ditemui terapung di sebuah kolam takungan banjir berdekatan Jalan Ipoh, di sini, semalam.

Dalam kejadian jam 10 pagi itu, pengawal keselamatan bertugas di kolam takungan berkenaan yang membuat rondaan terkejut selepas menemui mayat lelaki terapung.


Ketua Polis Daerah Sentul, Asisten Komisioner Zakaria Pagan berkata, sebaik menemui mayat itu, pengawal keselamatan berkenaan menghubungi balai polis terdekat untuk memberi maklumat sebelum pasukan forensik dihantar ke tempat kejadian.

Menurutnya, pemeriksaan awal mendapati mayat berkenaan yang dalam keadaan berbogel dan dianggarkan berusia 50-an sudah reput lebih 50 peratus.


"Kami belum menemui sebarang tanda kecederaan pada mayat itu berikutan keadaan kulitnya yang sudah reput.


"Kami juga belum menemui identiti mangsa dan mayatnya dihantar ke Hospital Kuala Lumpur (HKL) untuk dibedah siasat," katanya.

Beliau berkata, pihaknya menunggu laporan bedah siasat untuk petunjuk seterusnya.




Tiada ulasan:

Catat Ulasan