Selasa, 8 Mei 2012

Harian Metro: Mutakhir

Harian Metro: Mutakhir


Anggota paskal TLDM ditemui selamat selepas 15 jam sesat di Hutan Teluk Batik

Posted: 08 May 2012 04:31 AM PDT

IPOH: Seorang anggota paskal TLDM ditemui selamat oleh orang awam selepas 15 jam sesat di Hutan Teluk Batik, Lumut, 110 km dari sini hari ini.

Timbalan Ketua Polis Daerah Manjung DSP Ahmad Isa berkata anggota paskal itu dikatakan memasuki kawasan hutan itu pada pukul 3 petang semalam untuk menjalani latihan.

Bagaimanapun, Muhammad Razali Mohd Nor terpisah daripada kumpulannya semasa perjalanan keluar dari hutan berkenaan.

"Kira-kira pukul 5 petang, kumpulan berkenaan keluar dari hutan itu tetapi Muhammad Razali terpisah dan gagal ditemui rakan-rakan menyebabkan seorang daripada rakannya membuat laporan polis malam tadi," katanya ketika dihubungi hari ini.


Beliau berkata operasi mencari dan menyelamat oleh pasukan bomba dan penyelamat serta polis dimulakan pada pukul 4 pagi.


"Kira-kira pukul 8.30 pagi, Muhammad Razali berjaya keluar sendiri daripada hutan itu sebelum dihantar oleh orang awam ke balai bomba Lumut," katanya.

Muhammad Razali yang keletihan dihantar untuk rawatan di pusat rawatan berhampiran. - BERNAMA




Bayi diselamat sebelum sempat dibaham anjing

Posted: 08 May 2012 02:32 AM PDT

IPOH: Pengerusi Rukun Tetangga kawasan Bercham, Tan Swee Kong menemui seorang bayi lelaki yang masih bernyawa di dalam bungkusan plastik di hadapan rumahnya di Anjung Bercham Indah di sini malam tadi.

"Terdapat kesan gigitan anjing yang cuba mengoyakkan beg plastik itu, tapi saya sempat ambil bungkusan itu kerana bayi itu pasti menjadi habuan anjing jika saya terlambat," kata Tan kepada pemberita di Hospital Raja Permaisuri Bainun (HRPB) di sini hari ini.

Katanya beliau membuat laporan berhubung penemuan bayi itu di Balai Polis Bercham dan pada 1 pagi tadi, bayi itu dihantar ke HRPB untuk rawatan lanjut.

Pengerusi Jawatankuasa Kesihatan, Kerajaan Tempatan, Hal Ehwal Pengguna, Alam Sekitar, Pengangkutan Awam dan Hal Ehwal Bukan Islam Negeri, Datuk Dr Mah Hang Soon yang melawat bayi tersebut menyifatkan individu yang membuang bayi tersebut sebagai tidak bertanggungjawab.


"Saya kesal dengan dengan sikap pihak yang masih sanggup melakukan pembuangan bayi. Bayi itu begitu bernasib baik kerana ditemui bernyawa dan saya mengecam tindakan mereka," katanya.


Dr Mah berkata bagi mengurangkan kes pembuangan bayi, pihak hospital telah menubuhkan 'baby hatch' kepada individu yang tidak mahu memelihara bayi mereka.

"Bayi itu boleh ditinggalkan di baby hatch tersebut dan ini juga boleh mengurangkan kadar kematian dalam kes pembuangan bayi," katanya.

Timbalan Ketua Polis Daerah Ipoh, Supt Mohad Isa Hussin berkata polis menerima panggilan berhubung kes tersebut kira-kira tengah malam tadi sebelum mengarahkan anggota ke lokasi terbabit.

"Bayi itu kita lihat berada dalam keadaan baik dan kita masih mengesan identiti bayi itu dan individu yang terbabit," katanya ketika dihubungi. - BERNAMA




Tiada ulasan:

Catat Ulasan