Khamis, 3 Mei 2012

Berita Harian: Nasional

Berita Harian: Nasional


Tiada rusuhan jika dengar nasihat: Najib

Posted: 03 May 2012 03:15 PM PDT

Nasional

NAJIB  melancarkan Laporan Pencapaian Prestasi GLC,  di Putrajaya, semalam.

NAJIB melancarkan Laporan Pencapaian Prestasi GLC, di Putrajaya, semalam.

PUTRAJAYA: Datuk Seri Najib Razak berkata, rusuhan ketika perhimpunan BERSIH 3.0 pada Sabtu lalu tidak akan berlaku jika penganjurnya menerima nasihat kerajaan supaya ia diadakan di Stadium Merdeka.

Malah, Perdana Menteri berkata, selain menjadi perhimpunan aman, kerajaan sedia membantu supaya ia berlangsung dengan lancar.

"Sebab itu kita mahu elak demonstrasi jalanan. Jika penganjur terima nasihat kerajaan, kejadian seperti itu tidak akan berlaku. "Tiada sesiapa akan cedera jika memilih Stadium Merdeka yang mana mereka minta sebelum ini (ketika BERSIH 2.0). Ia akan menjadi perhimpunan aman dan kerajaan akan membantu," katanya pada sidang media selepas mempengerusikan mesyuarat Jawatankuasa Putrajaya Bagi Prestasi Tinggi GLC (PCG) di sini, semalam.

Beliau juga mengadakan dialog dengan 3,000 kakitangan syarikat berkaitan kerajaan (GLC), termasuk memberi penekanan mengenai Agenda Transformasi Nasional.

Mengenai laporan negatif media asing terhadap kerajaan berikutan kejadian itu, Najib berkata, penjelasan perlu diberi mengenai penggubalan Akta Perhimpunan Aman 2011 bagi mengelakkan rusuhan seperti itu yang bukan hanya berlaku di Malaysia, tetapi dalam demonstrasi jalanan di semua negara.

"Sebab itu saya katakan, punca utama ialah apabila mereka menolak tawaran Stadium Merdeka. Jika semua pihak mematuhi Akta Perhimpunan Aman, prinsip dan semangatnya, kejadian itu tidak akan berlaku," katanya.
Najib juga menyokong penubuhan panel siasatan bebas yang diumumkan oleh Kementerian Dalam Negeri kelmarin kerana ia adalah keputusan Kabinet.

"Saya sudah berbincang dengan Datuk Seri Hishammuddin Hussein untuk melantik orang yang sesuai menganggotainya. Minggu depan saya boleh umum," katanya dan menjelaskan mereka yang dilantik ialah tokoh dihormati, berpengalaman serta memahami tugas polis.

Menjawab soalan, Najib juga menegaskan perhimpunan itu tidak ada kaitan dengan bila Pilihan Raya Umum Ke-13 akan diadakan.

Mengenai Hari Kebebasan Media semalam, Najib berkata: "Kita memang bergerak ke arah itu, sebab itu Akta Mesin Cetak dan Penerbitan 1984 dipinda supaya (media) tidak memerlukan (memperbaharui) lesen setiap tahun. Kita hendak bergerak kepada media dikawal oleh media sendiri dan itulah kawalan sebaik-baiknya."

Lagi skandal seks akan didedah

Posted: 03 May 2012 03:14 PM PDT

Nasional

KUALA LUMPUR: Sebuah blog semalam mendedahkan bahawa empat lagi skandal seks membabitkan pemimpin pakatan pembangkang daripada PKR, PAS dan DAP akan didedahkan dalam tempoh terdekat.

Ia didedahkan oleh blog http://www.suarapakatanrakyat.com, dengan melaporkan bahawa kegemparan yang ditimbulkan lanjutan daripada pendedahan gambar aksi seks dikatakan mempunyai kaitan dengan seorang pemimpin kanan PKR kelmarin, akan berterusan.

"Tetapi kali ini membabitkan pemimpin parti pakatan pembangkang yang lain pula. Penulis mendengar pemimpin terbabit adalah dua daripada PKR dan masing-masing seorang daripada PAS dan DAP. "Menurut sumber, skandal ini hanya menunggu masa untuk didedahkan oleh pihak tertentu, Setakat dimaklumkan pendedahan ini akan datang dalam pelbagai cara, ada dalam bentuk video, gambar serta keterangan saksi tertentu," kata blog itu, semalam.

Kelmarin, akhbar melaporkan bahawa beberapa keping gambar aksi seks didakwa mirip Timbalan Presiden PKR, Mohamed Azmin Ali, tersebar luas menerusi beberapa blog dan laman sosial sejak kelmarin.

Ia didedahkan oleh blog http://www.papagomo.com dan scandalazminali.blogspot.com dengan memaparkan beliau bersama seorang wanita di dua lokasi.

Bagaimanapun, Mohamed Azmin menafikan sekeras-kerasnya bahawa beliau adalah lelaki bersama seorang wanita seperti yang tersebar menerusi beberapa blog.
Ahli Parlimen Gombak itu berkata, penyebaran gambar berkenaan yang bertujuan untuk mengaibkan beliau dan keluarganya dipercayai disebarkan oleh media dikuasai oleh UMNO dengan memetik blog proparti itu.

Sementara itu, blog suarapakatanrakyat turut berkata, pihaknya melihat jika empat skandal seks terbabit didedahkan, keadaan berkenaan bakal mengusutkan senario politik negara.

"Pendedahan gambar daripada video membabitkan seorang pemimpin kanan PKR sebelum ini pun masih lagi terkial-kial mencari strategi yang betul untuk mengatasinya, yang baru pula sudah sampai.

"Cara mudah, menuduh semua itu adalah fitnah, tapi kalau sudah terang dan jelas, nak dikatakan fitnah macam mana lagi. Setakat hari ini, penulis tidak lagi mendengar wujudnya teknologi yang boleh menukar wajah individu asal kepada individu lain di dalam rakaman video.

"Gambar ada, video penulis belum pernah dengar lagi. Kalau dicari orang muka sama atau hampir sama itu mungkin, tapi ada banyak ciri lain yang boleh menentukan kesahihannya," katanya.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan