Jumaat, 4 Mei 2012

Berita Harian: Mutakhir

Berita Harian: Mutakhir


Polis berkas semula suspek lari dari lokap

Posted: 04 May 2012 02:56 AM PDT

Mutakhir

KOTA KINABALU: Dua suspek kes samun dan curi kenderaan yang melarikan diri daripada tahanan polis empat hari lepas, berjaya diberkas semula semalam.

Pesuruhjaya Polis Sabah, Datuk Hamza Taib, berkata suspek berusia 22 dan 28 tahun itu ditahan di Beaufort dalam dua serbuan antara jam 9 pagi dan 2 petang.

"Tangkapan dilakukan berdasarkan risikan dan maklumat yang diterima oleh sepasukan polis dari Jabatan Siasatan Jenayah Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Sabah yang berjaya mengesan suspek dan menahan kedua-duanya," katanya pada sidang akhbar, di sini hari ini. Hamza berkata, kes itu disiasat mengikut Seksyen 224/255A Kanun Keseksaan kerana mendatangkan kecederaan ketika melarikan diri dari tahanan polis selain disiasat mengikut Seksyen 395 kanun yang sama atas kesalahan menyamun.

Dalam kejadian Isnin lalu, lima lelaki yang ditahan di lokap IPK Kota Kinabalu berjaya meloloskan diri dari lokap dengan menyerang anggota polis yang bertugas.

Tiga daripada mereka yang berusia antara 20 dan 35 tahun bagaimanapun berjaya diberkas semula kira-kira sejam kemudian di sekitar bandar raya ini.

Mengulas lanjut, Hamza berkata, susulan kejadian itu, tiga anggota polis telah ditahan selama tiga hari untuk membantu siasatan.
Polis akan melakukan siasatan dalaman dan jika insiden disebabkan kecuaian, anggota polis yang terbabit akan dikenakan tindakan, katanya. - BERNAMA


JAKIM tak raih keuntungan daripada sijil halal: Jamil Khir

Posted: 04 May 2012 02:34 AM PDT

Mutakhir

KUALA LUMPUR: Bayaran yang dikenakan untuk mendapat sijil pengesahan halal Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM) adalah bagi menampung kos termasuk kajian dan ujian makmal terhadap produk yang berkenaan.

Sehubungan itu, Menteri di Jabatan Perdana Menteri Datuk Seri Jamil Khir Baharom berkata adalah tidak wajar bagi pengusaha membuat tuduhan JAKIM meraih keuntungan daripada pengeluaran sijil berkenaan.

"Di sini saya ingin menegaskan, JAKIM langsung tidak mengambil sebarang keuntungan kepada sijil halal yang dikeluarkan tetapi kita hendak memastikan setiap kos dalam meluluskan sebarang sijil halal yang dikeluarkan ditanggung oleh pihak pemohon," katanya kepada pemberita, di sini hari ini. Jamil yang ditemui selepas menyerahkan sijil halal kepada Restoran Pelita Nasi Kandar, berkata JAKIM mengenakan kadar berpatutan iaitu RM200 bagi industri kecil, RM400 untuk industri sederhana dan RM800 bagi industri berskala besar.

Katanya kadar bayaran yang dikenakan adalah bagi tempoh dua tahun dan kelewatan membuat bayaran akan mempengaruhi proses lawatan pemeriksaan halal ke atas premis terbabit.

Sementara itu, mengulas isu berkaitan, Jamil khir berkata semua pengusaha restoran nasi kandar di negara ini wajar mengikut langkah rangkaian Restoran Pelita Nasi Kandar dan mendapatkan sijil halal sebagai satu nilai tambah.

"Rangkaian Pelita Nasi Kandar adalah rangkaian yang pertama berjaya melengkapkan semua 24 rangkaiannya di seluruh negara dalam mendapatkan sijil halal dan ini wajar dicontohi oleh pengusaha restoran nasi kandar yang lain," katanya.
Sementara itu, Pengerusi Pelita Samudra Pertama Sdn. Bhd, Datuk Shamsuri Ahmad berkata tidak sukar bagi restoran tersebut menepati kriteria yang ditetapkan JAKIM.

"Pelita Nasi Kandar kini secara rasminya telah maju lebih ke hadapan dengan mendapatkan nilai tambah ini (sijil halal) apabila 247 item atau bahan makanan yang dijual di semua cawangan nasi kandar kami telah menepati garis panduan JAKIM," katanya. - BERNAMA


Tiada ulasan:

Catat Ulasan