Jumaat, 14 Januari 2011

Utusan Online - Pahang

Utusan Online - Pahang


TemaNiaga-i lahirkan usahawan berjaya

Posted:

TemaNiaga-i lahirkan usahawan berjaya

TemaNiaga-i lahirkan usahawan berjaya

Oleh SALEHUDIN MAT RASAD
utusanpahang@utusan.com.my


Sebahagian usahawan kecil menunjukkan produk masing-masing hasil daripada penyertaan program Pembangunan Perniagaan Usahawan Mikro di Bandar Jengka. - utusan/ Salehuddin Mat Rasad


KUALA KRAU 14 Jan. - Program Pembangunan Bisnes Usahawan Mikro Skala Kecil dan Sederhana (TemaNiaga-i) merupakan satu usaha bagi melahirkan usahawan luar bandar dan meningkatkan taraf hidup golongan tersebut.

Langkah itu menepati hasrat kerajaan untuk membasmi kemiskinan menerusi perniagaan secara kecil-kecilan serta memberi pendapatan tambahan kepada golongan itu.

Selain itu, program tersebut turut membuka ruang kepada penduduk luar bandar memasarkan produk mereka sama ada di desa mahupun di kawasan bandar.

Program tersebut dikembangkan ke kawasan Bandar Jengka bagi memberi peluang penjaja dan peniaga kecil Melayu mengembangkan perniagaan.

Mediator program itu, Jamaluddin Abu Bakar berkata, program khas kerajaan adalah untuk membantu penjaja dan peniaga kecil Melayu dari segi kemudahan mendapat kredit pinjaman, pasaran dan pengiktirafan.

Katanya, Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak telah berusaha meletakkan kedudukan penjaja dan peniaga kecil Melayu ditempat yang wajar sekali gus berpeluang mengukuhkan urusniaga.

"Program TemaNiaga-i di Bandar Jengka sesuai berikutan status bandar masih kekal milik bumiputera, di samping terdapat lebih 10 bank perdagangan beroperasi di bandar ini.

"Oleh itu, Gabungan Persatuan-Persatuan Penjaja dan Peniaga Kecil Melayu Malaysia perlu mengingatkan ahli masing-masing supaya proaktif mewujudkan rangkaian saluran pengedaran produk di seluruh negara," katanya.

Jamaluddin berkata demikian kepada Utusan Malaysia selepas mempromosi produk berasaskan kepekatan jus dan sari buah-buahan tropika di bawah jenama Penjaja The Tube di Nadi Kota Bandar Jengka di sini hari ini.

Beliau berkata, program berkenaan bertujuan mewujudkan sebuah saluran pengedaran produk terbaik dan halal melalui pembabitan usahawan kecil dan sederhana.

Katanya, di samping itu ia dapat merangsang penjaja dan peniaga Melayu bergiat cergas di dalam bidang perniagaan yang berkonsepkan francais, sekali gus memberi tambah nilai urus niaga sedia ada.

Beliau berkata, Bank Simpanan Nasional (BSN) yang komited membantu golongan tersebut menawarkan pinjaman melalui TemaNiaga dan TemanMesra serta skim mikro kewangannya iaitu TemaNiaga-i iaitu pembiayaan berasaskan Syariah.

"Justeru itu, penjaja dan peniaga kecil Melayu perlu lebih berdaya maju bagi menerokai industri tani dalam usaha meningkatkan ekonomi menerusi penambahbaikan produk hasil tani," katanya.

Jamaluddin berkata, mereka yang layak menyertai program itu adalah penjaja kuih-muih, kereta tolak, ikan dan sayur, pasar tani dan malam, pengusaha kedai makan, kedai runcit, bengkel, tekstil dan lain-lain.

Tambahnya, penjaja dan peniaga kecil Melayu Jengka yang terdiri hampir 1,000 peniaga dari 37 tanah rancangan Felda dan Bandar Jengka wajar memanfaatkan skim pembangunan usahawan mikro ini.

Tegasnya, kerajaan enggan sokongan padu institusi kewangan seperti BSN, Agro Bank dan lain-lain termasuk Tabung Ekonomi Kumpulan Usahawan Niaga (Tekun) Nasional dalam memastikan peniaga mendapat pembiayaan perniagaan.

"Potensi kepesatan Bandar Jengka sebagai milik bumiputera mendorong gabungan persatuan menjemput Perdana Menteri melancar produk hasil keluaran penjaja dan peniaga Melayu," katanya.

Mengenai produk Penjaja The Tube itu, beliau memberitahu, produk tersebut adalah bersih, berkualiti tinggi dan mendapat penganugerahan ISO 22000: 2005 yang menghasilkan produk berasaskan kepekatan jus dan sari buah-buahan.

Menurutnya, selain kegunaan sebagai minuman, Penjaja The Tube boleh dipelbagaikan dengan menghasilkan produk makanan bagi meningkatkan ekonomi dan pendapatan para usahawan.

"Penjaja The Tube turut terbabit dengan pelan komprehensif program perlindungan dan kebajikan usahawan mikro skala kecil dan sederhana yang bernatijah mereka terbela jika mengalami kesulitan," katanya.

Full Feed Generated by GetFullRSS.com, sponsored by USA Best Price.

Menyamar jadi pegawai pelajaran

Posted:

Menyamar jadi pegawai pelajaran

Menyamar jadi pegawai pelajaran

KUANTAN 14 Jan. - Kontraktor di negeri ini diminta berwaspada terhadap seorang individu yang menyamar sebagai pegawai pelajaran daerah untuk menawarkan tender membuat laluan pejalan kaki di sekolah di negeri ini.

Individu yang dikesan menjalankan penipuan itu melalui panggilan telefon akan meminta wang pendahuluan RM1,500 hingga RM3,000 bagi mendapatkan tender.

Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Komersial negeri, Supritendan Zaini Jass berkata, wang itu yang dimasukkan ke dalam sebuah akaun peribadi kononnya untuk sumbangan kepada sekolah terbabit.

Setakat ini, katanya, pihaknya menerima lapan aduan berhubung kes tersebut sejak Oktober tahun lalu.

"Kes terbaru dilaporkan pada Isnin lalu melibatkan dua kontraktor kelas F, masing-masing di Kuantan dan Bera.

"Kita percaya suspek adalah orang sama berdasarkan nombor telefon dan akaun yang diberikan kepada mangsa," katanya.

Beliau berkata, siasatan kes itu dilakukan mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan kerana menipu.

Full Feed Generated by GetFullRSS.com, sponsored by USA Best Price.

Media berperanan atasi keruntuhan institusi keluarga

Posted:

Media berperanan atasi keruntuhan institusi keluarga

Media berperanan atasi keruntuhan institusi keluarga

Oleh SITI NORIZAT SHIKH ABDUL JALIL
utusanpahang@utusan.com.my

KUANTAN 14 Jan. - Media memainkan peranan penting dalam membantu kerajaan menangani masalah keruntuhan institusi kekeluargaan yang semakin membimbangkan sekarang.

Pengerusi Jawatankuasa Pelancongan, Warisan, Pembangunan Keluarga dan Hal Ehwal Wanita negeri, Datuk Shafik Fauzan Shariff berkata, pihak media dan agensi kerajaan termasuk muzium perlu berganding bahu mengambil langkah-langkah proaktif bagi menangani masalah tersebut.

Menurut beliau, muzium bukan sekadar tempat untuk mempamerkan barang lama atau pameran fotografi serta lukisan malah ia turut membantu kerajaan menangani penyakit sosial.

''Dengan kerjasama antara pihak muzium dan media, saya cadangkan satu bentuk pameran fotografi diadakan sebagai cara menyampaikan mesej kepada orang ramai bagi memberi kesedaran kepada mereka," katanya ketika berucap merasmikan program Lembaga Muzium Negeri Pahang (LMNP) bersama Kelab Media Pahang (KMP) di pekarangan Muzium Seni di sini malam semalam.

Turut hadir Pengarah Muzium Negeri, Ahmad Farid Abdul Jalal; Ketua Unit Pendidikan dan Pemasaran Muzium Negeri, Helmi Abu Bakar dan Presiden KMP, Nik Naizi Husin.

Shafik Fauzan berkata, dalam usaha menangani masalah keruntuhan institusi keluarga, tumpuan harus diberikan kepada kaum lelaki yang merupakan ketua keluarga.

''Sebagai ketua keluarga, peranan seorang lelaki adalah penting untuk memimpin agar kebajikan anak-anak dan isteri tidak terabai terutama dari segi nafkah," tegasnya.

Katanya, kaum lelaki kini semakin melupakan tanggungjawab masing-masing sehingga ada isteri terpaksa mencari nafkah sendiri untuk menyara anak-anak berikutan suami mencari keseronokan di luar tanpa memikirkan keluarga.

Akibatnya jelas beliau, berlaku pertelingkahan dengan pasangan sekali gus mengundang kejadian negatif seperti penderaan membabitkan anak-anak tidak berdosa.

''Sebagai contoh kita adakan pameran dengan menampilkan foto atau lukisan berkaitan isu penderaan dan pembuangan bayi dan melaluinya masyarakat dapat menyelami keperitan dan kesengsaraan hidup yang dialami mangsa," tambahnya.

Beliau yang juga Pengerusi LMNP berkata, dengan pendekatan tersebut media dan agensi berkaitan mampu mengajak masyarakat menyertai program tersebut untuk membantu mewujudkan sebuah keluarga yang harmoni.

Dalam pada itu Shafik Fauzan memberitahu, antara program yang akan dilaksanakan oleh pihak muzium ialah mewujudkan sebuah galeri yang menempatkan artifak sejarah di setiap sekolah di negeri ini bermula bulan depan.

Katanya, ia bertujuan memberi kesedaran dan pendedahan kepada setiap pelajar terhadap kepentingan sejarah.

''Ini merupakan cara untuk kita mewujudkan elemen-elemen sejarah dalam pelajaran yang tidak hanya tertumpu kepada buku teks tetapi mereka dapat melihat sendiri elemen tersebut agar pembelajaran menjadi lebih seronok," katanya.

Pada peringkat permulaan katanya, pihak muzium akan melancarkan galeri

tersebut di lima sekolah menengah sekitar daerah Pekan sebelum diperluaskan secara berperingkat ke seluruh negeri.

''Dengan adanya galeri ini diharap dapat meningkatkan mutu pembelajaran subjek Sejarah kepada setiap pelajar sekali gus menambah minat mereka untuk menghayati bidang tersebut," katanya.

Full Feed Generated by GetFullRSS.com, sponsored by USA Best Price.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan