Jumaat, 14 Januari 2011

Kosmo Online - Rencana Utama

Kosmo Online - Rencana Utama


Jelajah empat buah negara

Posted:

Jelajah empat buah negara

Jelajah empat buah negara

Oleh KHADIJAH MOHAMAD NOR
khadijah.mohamadnor@kosmo.com.my



JIKA sebuah buku berada di depan mata kita, apakah yang dapat kita terangkan mengenainya? Lazimnya perkara pertama yang kita semak sudah pasti penulis atau pengarang buku tersebut.

Kemudian, barulah kita membaca sinopsis yang dicetak di bahagian belakang buku berkenaan. Jika berkenan, barulah kita akan mengambilnya untuk dibaca. Namun, jika ia tidak menepati cita rasa, tentunya buku itu akan ditinggalkan tanpa dibelek sepenuhnya.

Itu mungkin perkara yang pernah dilakukan oleh sebilangan besar masyarakat hari ini yang menganggap budaya buku sekadar melalui pembacaan sesebuah buku.

Hakikatnya, budaya buku bukan sekadar aktiviti membaca, bahkan ia mempunyai skop yang sangat luas.

Hal itu ditegaskan oleh penerbit merangkap pengacara program travelog Kembara Buku, Sayed Munawar Sayed Mohd. Mustar yang menjelajah ke empat buah negara iaitu Malaysia, Indonesia, Mesir dan Arab Saudi untuk merakam pelbagai kisah menarik di sebalik buku. Sebagai individu yang menjadikan lapangan buku sebagai tempat permainan, Sayed Munawar, 38, berkata istilah budaya buku sangat luas.

"Sebenarnya, budaya buku bukan sekadar membaca, sebaliknya ia melibatkan seluruh ekosistem perbukuan itu. Daripada penulis, penerbit, pencetak, pengedar, penjual dan juga pembeli, semuanya terlibat dan itu yang kami panggil budaya buku. Proses penggambaran Kembara Buku ini mengambil masa kira-kira lima bulan. Penggambaran di Arab Saudi bermula pada pertengahan bulan November hingga awal bulan Disember 2009.

Rakaman di Malaysia antara bulan Disember 2009 hingga Mac 2010 manakala rakaman di Mesir memakan masa selama 12 hari iaitu pada 4 hingga 15 Februari 2010. Akhir sekali rakaman di Indonesia dijalankan pada 1 hingga 9 Mac 2010.

Rakaman dalam bentuk audio visual itu dilaksanakan oleh krew penerbitan daripada Layar Consult Sdn. Bhd.

Ditanya mengenai relevan pemilihan empat buah negara tersebut, Sayed Munawar berkata, ketika rakaman diadakan, acara Pesta Buku Antarabangsa di negara-negara tersebut juga berlangsung.


PERPUSTAKAAN Iskandariah di Mesir dianggap perpustakaan tercanggih di dunia.


"Tetapi untuk musim kedua kelak, dokumentari ini akan membawa penonton menjelajah pula ke Eropah dan negara Asia Pasifik yang lain.

"Namun, antara simbolik rakaman di Arab Saudi bertujuan untuk mengingati peristiwa penurunan wahyu pertama kepada Junjungan Besar Nabi Muhammad S.A.W di Gua Hira' di Mekah sekali gus sebagai perintah daripada Allah kepada umat manusia untuk membaca menerusi turunnya lima ayah terawal dalam surah al-A'laq," ungkap beliau

"Jika kita mengetahui apa-apa buku dan kita tahu apa yang berada di sebalik buku tersebut seperti kisah tentang penulisnya, ia akan menjadikan kita lebih teruja untuk mendapatkannya," ujar Sayed Munawar yang merupakan Timbalan Presiden Persatuan Kontraktor Buku Malaysia dan Setiausaha Majlis Industri Buku Malaysia.

Tambah beliau, karya Laskar Pelangi tulisan Andrea Hirata dari Indonesia boleh dijadikan contoh untuk memberitahu masyarakat tentang cerita unik dan menarik di sebalik dunia buku.

Bongkar rahsia

Dalam program dokumentari Kembara Buku, Sayed Munawar berpeluang menemubual Andrea dan mengorek rahsia yang mungkin tidak diketahui oleh peminatnya.

"Bayangkan, Andrea bukan berlatarbelakang bidang sastera, tetapi seorang ahli ekonomi. Tetapi, Laskar Pelangi adalah novel sulung beliau. Penulisan kali pertama tanpa guru yang memberi tunjuk ajar.

"Namun, novel tersebut meletup dan menjadi fenomena hingga terjual melebihi 15 juta naskhah di seluruh dunia. Cerita beginilah yang kami ketengahkan dalam dokumentari ini," jelasnya. Syed Munawar berpendapat, ibu bapa yang mahu memberi buku kepada anak-anak, mereka perlu menceritakan tentang kehebatan buku tersebut untuk menarik minat si anak.


RAKAMAN dokumentari Kembara Buku di Arab Saudi.


"Contohnya buku Harry Potter karya J.K Rowling, apakah yang diketahui mengenainya? Kenapa penulisnya menukar nama menjadi lelaki? Di manakah dia mengarang cerita itu? Mengapakah dia menulis di kafe siber? Adakah orang tahu bahawa dia membawa anaknya sewaktu menulis? Adakah orang tahu bahawa manuskrip Harry Potter sebenarnya sudah berkali-kali dihantar untuk diterbitkan tetapi ditolak mentah-mentah? Tahukah kita Rowling adalah billionaire pertama di kalangan penulis buku? Sebelum ini tidak pernah ada penulis buku yang mampu bergelar jutawan. Itulah fenomena.

"Apabila cerita-cerita begini ditampilkan, masyarakat akan mempunyai perspektif baru tentang sesebuah buku tersebut," ujar Sayed Munawar sambil memberitahu bahawa di Indonesia dan di Malaysia juga sudah ada penulis novel yang bergelar jutawan. Malah, penulis buku resipi di negara ini mampu memperoleh pendapatan RM17,000 sebulan hasil royalti buku yang terjual.

Salinan buku

Menceritakan pengalaman membuat rakaman dokumentari Kembara Buku di Mesir, pengacara segmen bual bicara Di Luar Lingkungan itu juga ghairah berkongsi maklumat tentang Perpustakaan Iskandariah atau Bibliothecca Alexandrina.

Dianggap sebagai perpustakaan paling canggih di dunia, Bibliothecca Alexandrina dilengkapi dengan planetarium, dua buah muzium, arkib negara, dewan pameran dan menjadi satu-satunya perpustakaan yang ada filharmonik.

"Mengikut catatan sejarah, pada zaman keagungan Mesir, semua kapal yang masuk berdagang ke Iskandariah yang membawa apa-apa buku, kerajaan Mesir akan mengambil buku itu. Salinan buku itu akan dibuat dan dipulangkan semula.

"Bayangkan kerajaan dahulu mempunyai inisiatif untuk membuat salinan secara manual dengan menulisnya semula satu persatu di atas permukaan kulit kayu.

"Situasi itu menunjukkan komitmen ilmu mereka sangat tinggi. Jadi apabila mengembara, kita beritahu orang tentang cerita sebegini atau istilahnya book trailers iaitu orang yang mengembara untuk mencari buku atau pemburu buku," tuturnya.

Apa yang pasti, dalam setiap episod Kembara Buku, terdapat tiga cerita atau perkara yang akan dimuatkan. Ada kisah individu, acara dan institusi yang menyimpan koleksi buku.

Sementara itu, penulis buku tersohor di Malaysia, Rejab F.I atau nama sebenarnya Rejab Ismail yang turut ditemubual dalam program tersebut juga memuji usaha yang dilakukan pihak berkenaan dalam menerbitkan Kembara Buku.

Melalui penerbitan dokumentari sebegini, masyarakat akan lebih menghargai nilai sesebuah buku.

"Secara peribadi, saya gembira dengan inisiatif krew penerbitan Kembara Buku termasuk PNM yang sanggup menjadi penaja dalam usaha menggalakkan masyarakat memahami apa yang dimaksudkan dengan budaya buku.


SAYED MUNAWAR (dua dari kiri) mendengar penerangan tentang salinan kitab lama ketika membuat rakaman Kembara Buku di Mesir.


"Sebagai penulis, saya juga rasa dihargai apabila mereka sudi menampilkan cerita atau dunia kami yang tidak seberapa ini," kata Rejab atau lebih mesra dengan panggilan Pak Rejab sambil merendah diri.

Pengarah dokumentari terbabit, Abu Hassan Morad, turut berkongsi pengalaman menarik. Menurut Abu Hassan, antara cabaran yang dihadapi sewaktu proses rakaman berlangsung adalah masa yang diperlukan untuk menemubual tokoh-tokoh penulis.

"Mereka kadang-kadang mempunyai jadual yang sangat ketat. Justeru, kami perlu menyusun waktu dengan baik agar pertemuan dapat dijalankan.

"Kami juga berdepan cabaran di mana bahan atau maklumat terlalu banyak, tetapi bagi setiap episod hanya 30 minit diperuntukkan. Jadi, kami perlu memaparkan apa yang terbaik," katanya.

Impak besar

Antara catatan menarik sepanjang kembara itu, krew rakaman berpeluang membawa masuk kamera ke dalam Masjid Nabawi di Madinah dan mengetahui bahawa di atas masjid itu terdapat sebuah perpustakaan yang dibuka kepada orang ramai.

Dalam pada itu, Ketua Pengarah PNM, Datuk Raslin Abu Bakar melahirkan harapan agar rancangan itu mampu memberi impak yang besar kepada masyarakat di Malaysia.

"Saya percaya, Kembara Buku dapat meningkatkan ilmu berkaitan perbukuan dan menghindari persepsi negatif di kalangan masyarakat bahawa buku itu sesuatu yang membosankan.

"Dengan pendekatan yang santai dan segar, dokumentari ini secara tidak langsung boleh memberi gambaran sebenar kepada rakyat Malaysia berkaitan budaya buku sama ada di dalam mahu pun di luar negara sekali gus melahirkan rakyat yang mampan dalam aspek intelektual," katanya.

Program dokumentari Kembara Buku mula disiarkan pada 12 Disember lalu setiap hari Ahad pada pukul 2 petang di saluran RTM1. Disiarkan dalam 13 episod, dokumentari itu membawa penonton menyelami dunia buku daripada dimensi yang berbeza-beza.

Ia merupakan rancangan terbitan Kementerian Penerangan, Komunikasi dan Kebudayaan (KPKK) melalui Perpustakaan Negara Malaysia (PNM) dengan kerjasama Jabatan Penyiaran Malaysia/Radio Televisyen Malaysia (RTM).

Full Feed Generated by GetFullRSS.com, sponsored by USA Best Price.

Padam kebakaran pencakar langit

Posted:

Padam kebakaran pencakar langit

Padam kebakaran pencakar langit

Oleh LUQMAN NUL HAKIM MAZLAN


DALAM operasi memadam kebakaran bangunan tinggi pihak bomba juga harus menitikberatkan keperluan menyelamatkan mangsa yang terperangkap.


SEIRING dengan kemajuan yang dicapai oleh Malaysia sejak merdeka, saban tahun bangunan pencakar langit kian bertambah. Di Lembah Klang sahaja, bangunan setinggi 12 tingkat kini mencecah jumlah 548 dan jika dihitung di seluruh Malaysia sudah pasti angkanya mencecah ribuan.

Negara turut mempunyai bangunan pencakar langit iaitu Menara Berkembar Petronas KLCC yang mempunyai ketinggian sehingga 88 tingkat.

Persoalannya adakah bangunan tinggi itu selamat? Jika berlaku kebakaran, adakah Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) yang mempunyai petugas tetap seramai 13,456 orang mampu menanganinya?

Ketua Pengarah JBPM, Datuk Wan Mohd. Nor Ibrahim berkata, kesemua bangunan tinggi di negara ini memenuhi piawaian dan mematuhi undang-undang yang ditetapkan di samping mempunyai ciri-ciri keselamatan yang memuaskan terutama dalam menghadapi kebakaran.

Bangunan tinggi di Malaysia terutama yang dibina selepas tahun 1984 mematuhi undang-undang yang dipanggil Undang-Undang Kecil Bangunan Seragam (UBBL) 1984.

"Undang-undang ini umumnya telah dipertingkatkan daripada versi 1976 iaitu selepas kejadian kebakaran bangunan Kompleks Campbell pada 8 April, 1976," katanya ketika ditemui di pejabatnya di Putrajaya.

Menurutnya, bangunan-bangunan tinggi di Malaysia dilengkapi dengan alat pencegahan kebakaran yang mencukupi selain mempunyai ciri-ciri keselamatan dan sistem tersendiri sekiranya berlaku kebakaran.

"Antaranya ialah pintu rintangan api, kamera litar tertutup (CCTV), sistem sprinkeler protected corridor, dan lobi bagi membolehkan penghuni keluar dengan selamat sekira berlaku kebakaran.

"Ini bermakna sistem yang dipasang itu berupaya memadamkan kebakaran atau memberi amaran kepada mereka yang berada dalam bangunan tinggi", katanya.

Wan Mohd. Nor berkata, bomba sememangnya mempunyai peralatan yang mencukupi dan mampu menghadapi apa juga situasi kebakaran meskipun ia berlaku di tempat tinggi seperti KLCC.

Ini kerana KLCC yang mempunyai 88 tingkat dan terdiri daripada dua bahagian (bangunan berkembar) mempunyai ciri keselamatan yang ketat. Semua sistem di KLCC telah pun diambil kira keselamatannya oleh pihak bomba semasa proses pembinaan.


KAEDAH pemadaman secara agresif adalah teknik pilihan pasukan bomba untuk kejadian kebakaran di bangunan tinggi.


"Lagipun bangunan seperti ini sememangnya diberikan lebih perhatian. Ada bilik kawalan 24 jam, kamera CCTV untuk mengesan kebakaran dengan cepat dan alat bantuan yang mencukupi sekiranya berlaku kebakaran.

Ciri keselamatan di KLCC

KLCC sememangnya mempunyai reka bentuk berbeza dengan bangunan lain di Malaysia dan sekiranya berlaku kebakaran, ketinggian bukanlah faktor yang paling utama kepada bomba sebaliknya nyawa orang ramai.

"Bukan faktor ketinggian itu sahaja yang perlu diberi perhatian tetapi masalahnya ialah orang di dalamnya ramai, ada beribu orang.

"Jadi yang paling penting ialah sistem perlindungan keselamatan di dalamnya mesti dalam keadaan baik. Kalau ada berlaku kebakaran, automatik akan memadamkan kebakaran," katanya lagi.

Anggota bomba di negara ini sememangnya terlatih dalam menghadapi apa jua kebakaran dan dalam menghadapi kebakaran di bangunan tinggi dua kaedah biasanya akan digunakan.

Beliau berkata kaedah tersebut dikenali sebagai Internal Fire Fighting dan External Fire Fighting.

Bagi Internal Fire Fighting ataupun dirujuk juga sebagai Offensive Fire Fighting, ia merujuk kepada satu teknik pemadaman secara agresif yang mewajibkan pasukan bomba memasuki sesebuah bangunan atau struktur untuk tujuan pemadaman serta menyelamat.

Teknik itu digunapakai apabila terdapat mangsa yang terperangkap di bangunan dan berdasarkan penilaian kemungkinan mangsa itu masih hidup adalah tinggi atau berdasarkan penilaian awal analisis risiko, struktur bangunan adalah selamat untuk dimasuki dan tidak akan runtuh.

External Fire Fighting pula atau juga dikenali Defensive Fire Fighting merupakan teknik pemadaman dari luar bangunan bagi tujuan isolasi dan menstabilkan sesuatu kebakaran supaya ia tidak musnah sama sekali dan merebak ke struktur lain.

Daripada kedua-dua kaedah tersebut, Internal Fire Fighting lebih menjadi pilihan oleh anggota bomba dalam menghadapi kebakaran di bangunan tinggi.

Ini kerana tangga yang dimiliki bomba hanya boleh naik setinggi 15 tingkat. Selain itu anggota bomba juga mendapat bantuan daripada bahagian dalaman bangunan itu sendiri yang dilengkapi alat pemadam api seperti sprinkler dan sebagainya.

"Kaedah ini sememangnya menjadi pilihan apabila bomba menghadapi situasi kebakaran di tempat tinggi, kerana memadamkan api dari dalam adalah lebih cepat," katanya. – Bernama

Full Feed Generated by GetFullRSS.com, sponsored by USA Best Price.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan