Selasa, 5 Julai 2011

Berita Harian: Wilayah

Berita Harian: Wilayah


Skuad 42 buru mat rempit

Posted: 04 Jul 2011 01:48 PM PDT

Wilayah

SUSPEK pelumba haram  menolak motosikal  masing-masing ke IPK Pulau Pinang.

SUSPEK pelumba haram menolak motosikal masing-masing ke IPK Pulau Pinang.

Langkah banteras kegiatan lumba haram di Pulau Pinang

GEORGETOWN: Tidak ramai menyedari kewujudan Skuad 42, malah ramai juga tidak mengetahui peranan unit yang ditubuhkan Jabatan Ketenteraman Awam dan Trafik Pulau Pinang yang kini sudah berusia tiga setengah tahun.

Pasukan itu yang ditubuhkan pada 4 Januari 2008, berperanan 'memburu' mat rempit dalam usaha membanteras kegiatan lumba haram di Pulau Pinang. Penubuhan pasukan itu mempunyai serampang dua mata kerana ada mat rempit turut terbabit dalam kegiatan jenayah seperti curi motosikal, ragut dan penyalahgunaan dadah, selain ada antara mereka pendatang asing tanpa izin.

Dianggotai seorang pegawai dan 15 anggota, pasukan itu dinamakan Skuad 42 mengambil sempena Seksyen 42 Akta Pengangkutan Jalan 1987 yang membabitkan kesalahan menunggang secara berbahaya dan melulu.

Pasukan itu meronda, membuat tangkapan, mengeluarkan saman dan mendapatkan maklumat risikan dengan melakukan penyamaran bagi mengenal pasti lokasi tertentu yang menjadi 'litar' lumba haram.

Ketua Ketenteraman Awam dan Trafik Pulau Pinang, Superintendan Wan Aziz Wan Husin, berkata pasukan itu mencapai banyak kejayaan dalam usaha membanteras lumba haram di seluruh negeri.
Sejak penubuhan Skuad 42 hingga Mei lalu, skuad itu mengadakan lebih 2,000 operasi dengan sebanyak 99,463 kenderaan diperiksa. Dalam tempoh itu, skuad berkenaan juga mengeluarkan 76,787 saman bagi pelbagai kesalahan.

Sebanyak 1,461 motosikal turut disita sepanjang tempoh itu, manakala seramai 1,029 pesalah ditahan.

Katanya, menerusi penyelarasan dan perancangan serta tindakan yang diambil oleh Skuad 42, pasukan itu berjaya membendung kegiatan lumba haram di negeri ini.

"Sejak penubuhan Skuad 42, kami berjaya mengurangkan kegiatan lumba haram di seluruh negeri," katanya kepada Berita Harian.

Antara 'litar' lumba haram di bahagian pulau dalam pengawasan skuad itu ialah Batu Feringgi-Tanjung Tokong-Padang Kota Lama-Lebuhraya Tun Dr Lim Chong Eu-Bulatan Bayan Baru-Arena Sukan Antarabangsa Pulau Pinang dan berakhir di Bukit Gambir.

Di tanah besar pula, ia bermula di Bagan Ajam-Lingkaran Luar Butterworth (BORR) ke Lebuhraya Kulim Butterworth (BKE) dan Jalan Transkrain-Nibong Tebal (berhadapan dengan Universiti Sains Malaysia di Transkrian.

Wan Aziz berkata, kebiasaannya sebahagian peserta lumba haram akan berkumpul di stesen Petronas Batu Feringgi sebelum bergerak untuk menyertai mat rempit yang sedia menunggu di Tanjong Tokong.

Mereka juga akan meronda satu pusingan terlebih dulu di kawasan yang dijadikan litar kerana khuatir kehadiran anggota polis. Hanya selepas mendapat isyarat 'line clear,' barulah mereka berlumba.

"Selalunya lumba haram bermula kira-kira jam 2 pagi khususnya pada malam minggu. Mereka akan bergerak dari satu lokasi ke lokasi lain tanpa menghiraukan pengguna jalan raya yang lain.

"Bila ada yang sedang berlumba, ahli kumpulan itu akan sepakat menutup setiap simpang jalan bagi menghalang kenderaan atau pengguna lain mengganggu program mereka," katanya.

Beliau berkata, mat rempit juga tidak menghiraukan keselamatan masing-masing dan apabila terserempak dengan polis, mereka sanggup melarikan diri dengan memasuki kawasan belukar dan antara mereka tercedera akibat terjatuh motosikal.


Full Feed Generated by Get Full RSS, sponsored by USA Best Price.

128 pegawai masjid terima watikah

Posted: 04 Jul 2011 01:47 PM PDT

Wilayah

IPOH: Raja Muda Perak, Raja Dr Nazrin Shah berkenan menyampaikan watikah pelantikan kepada 128 pegawai masjid atau imam baru dari seluruh daerah kariah di negeri ini pada majlis ringkas di Institut Tadbiran Islam (INTIM) Perak, pagi semalam.

Raja Nazrin Shah yang juga Yang Dipertua Majlis Agama Islam dan Adat Melayu Perak (MAIAMP) menyampaikan watikah itu untuk tempoh 23 Mei tahun ini hingga 22 Mei 2014.

MAIAMP melantik 144 imam baru meliputi 31 imam di daerah kariah Teluk Intan, 17 orang (Taiping), 16 orang (Ipoh), 15 orang (Seri Iskandar), 12 orang masing-masing di Kuala Kangsar dan Bagan Serai, 11 orang (Manjung), lapan (Parit Buntar), lima masing-masing di Tapah dan Lenggong, tiga masing-masing di Kampar, Batu Gajah dan Grik dan dua masing-masing di Slim River dan Kampung Gajah. Hadir sama, Menteri Besar, Datuk Seri Dr Zambry Abdul Kadir.

Sementara itu, imam baru yang dilantik, Mohd Razif Ramli, 25, berkata sasaran beliau ialah mengajak lebih ramai golongan muda bukan saja bersolat jemaah di masjid tetapi terbabit dengan aktiviti dan program anjuran masjid dan Jabatan Agama Islam Perak (JAIP).

Beliau yang bertugas di Masjid Kampung Rapoh, Batu Kurau, berkata antara cabaran yang sedang dan bakal dihadapi ialah apabila golongan yang lebih berusia serta sebaya tidak dapat menerima nasihat yang disampaikannya berikutan usianya yang dianggap masih muda untuk menyandang jawatan itu.

Sehubungan itu, beliau akan menggunakan pendekatan lebih berhemah dan bijaksana dalam memastikan matlamat dakwah iaitu untuk mengajak lebih ramai ummah mendekatkan diri dengan Allah SWT akan tercapai secara beransur-ansur.
Sementara itu, Penolong Pengarah Bahagian Pengurusan Masjid JAIP, Kamal Izzat Ahmad, berkata proses pelantikan imam baru dilakukan secara berkala bagi mengisi kekosongan imam lama yang meninggal dunia atau meletakkan jawatan.


Full Feed Generated by Get Full RSS, sponsored by USA Best Price.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan