Sabtu, 12 Mac 2011

Utusan Online - Utara

Utusan Online - Utara


Iklan haram cemar Pulau Pinang

Posted:

Iklan haram cemar Pulau Pinang

Iklan haram cemar Pulau Pinang

Oleh ROKIAH ABDULLAH
rokiah.abdullah@utusan.com.my


S.M Mohamed Idris menunjukkan gambar-gambar iklan dirakam oleh penyelidik CAP yang didakwanya dipasang dalam kawasan sebuah sekolah di Pulau Pinang. – utusan/Zhafaran Nasib


PULAU PINANG 11 Mac – Kebanjiran iklan haram sama ada ditampal atau digantung di sekitar bandar raya ini nyata mencemarkan pemandangan dan menyakitkan mata sesiapa sahaja yang memandang.

Apatah lagi apabila mereka yang tidak bertanggungjawab itu semakin berani menampal iklan-iklan tersebut di merata tempat, terutamanya di perhentian bas, papan tanda jalan, dinding bangunan, tiang-tiang elektrik dan pondok telefon.

Malah, pokok, dinding premis dan kenderaan orang awam turut menjadi sasaran mereka untuk mengiklankan perkhidmatan seperti pinjaman wang termasuk oleh ah long.

Selain iklan ah long, perkhidmatan lain yang turut diiklankan dengan kaedah itu adalah rumah sewa, perkhidmatan membaiki bumbung atau paip, perkhidmatan urut, pengiring sosial, kelas tuisyen dan lelongan rumah.

Namun, tindakan pengiklan itu semakin melampau apabila turut menjadikan sekolah sebagai sasaran terbaru untuk mengiklankan perkhidmatan masing-masing.

Taktik terbaru itu didedahkan Persatuan Pengguna Pulau Pinang (CAP) yang telah membuat tinjauan di seluruh negeri ini, baru-baru ini.

Presidennya, S.M. Mohamed Idris berkata, tindakan memasang papan iklan komersial yang besar dalam kawasan sekolah yang tidak ada sebarang kaitan dengan aktiviti sekolah itu perlu dihentikan dengan segera kerana menyalahi undang-undang malah, menyebabkan suasana sekolah tidak harmoni.

''Tindakan itu amat tidak bertanggungjawab. Sekolah adalah kawasan pelajar menimba ilmu dan bukannya satu kawasan untuk iklan-iklan ditampal. Tindakan tegas patut diambil terhadap pihak tidak bertanggungjawab ini.

''Kita tidak mahu minda dan pemikiran anak-anak tercemar dengan gambar-gambar tidak elok yang terpampang dalam iklan tersebut," katanya pada sidang akhbar di pejabat CAP di Jalan Masjid Negeri, di sini baru-baru ini.

Menurut S.M Mohamed, pihaknya turut menggesa pihak berkuasa tempatan (PBT) menyemak semula peruntukan undang-undang sedia ada bagi mengawal aktiviti pemasangan iklan ditempat terbuka yang semakin tidak terkawal di negeri ini.

Jelasnya, tindakan berkenaan perlu dilakukan kerana undang-undang sedia ada terlalu lemah sehingga membuka peluang segelintir pihak tidak bertanggungjawab dengan sewenang-wenangnya mengambil jalan mudah untuk mengiklankan perkhidmatan masing-masing.

Katanya, iklan serta promosi yang terdapat di mana-mana termasuk di batang pokok bukan sahaja menjejaskan pandangan malahan dalam keadaan tertentu boleh membahayakan orang awam.

''Hasil tinjauan yang dibuat CAP di sekitar negeri ini mendapati iklan berkenaan tidak kira saiz, bilangan, kepadatan dan kepelbagaian terdapat di mana-mana tanpa sebarang kawalan termasuk di kawasan sekolah.

''Pokok-pokok besar juga terpaksa ditebang untuk memberi peluang kepada pemasangan papan iklan selain jalan-jalan yang sibuk sudah bertukar menjadi galeri iklan," ujarnya.

Menurut beliau, semua itu berlaku kerana undang-undang yang ada di negeri ini terlalu lemah sehingga menyebabkan pihak tidak bertanggungjawab mengambil kesempatan.

Jelasnya, walaupun iklan di kawasan luar dan terbuka itu mendatangkan hasil kepada kerajaan negeri, namun, keselamatan orang awam dan memelihara kecantikan semulajadi serta landskap berkenaan perlu diutamakan kerana jika tidak, pelancong asing mungkin akan beralih ke destinasi lain.

S.M. Mohamed menambah, keadaan berkenaan berlaku di seluruh negeri itu termasuk kawasan luar bandar dan sepanjang lebuh raya.

''Papan iklan besar dalam kawasan sekolah, banting dan kain pemidang iklan pada pokok, papan tanda dan tiang lampu. Iklan bagi acara-acara yang telah berlangsung beberapa bulan juga masih terpasang.

''Begitu juga di beberapa persimpangan jalan dan bulatan utama seperti Jalan Masjid Negeri, Jalan Sultan Ahmad Shah dan Jalan Yap Chor Yee, iklan menjolok mata terpampang begitu sahaja.

"Tindakan segera perlu dilakukan Majlis Perbandaran Pulau Pinang (MPPP) supaya landskap semula jadi di negeri ini dapat dikekalkan," katanya.

Justeru, beliau menyeru PBT terlibat menjadikan negara-negara yang telah berjaya mengawal aktiviti pengiklanan di tempat terbuka seperti Brazil, China dan Singapura sebagai panduan dalam melaksanakan peraturan sama di negeri ini.

Katanya, negara terlibat telah membentuk satu dasar pengiklanan yang tidak menggalakkan pemasangan tanda iklan di sepanjang laluan pengangkutan utama termasuk jalan raya , jalan kereta api dan juga kawasan premis.

''Seruan ini bukan sahaja untuk negeri ini, malahan tindakan sama perlu dilakukan oleh semua PBT di negara ini. Satu garis panduan secara spesifik perlu dibuat.

''Jangan hanya memikirkan tentang hasil yang dapat dikutip daripada pengiklanan tersebut tetapi impaknya kepada persekitaran kita.

"Kita tidak mahu sektor pelancong negeri jatuh hanya kerana kurangnya keprihatinan MPPP membendung masalah ini," katanya.

Full Feed Generated by Get Full RSS, sponsored by USA Best Price.

Peniaga kecewa tindakan MDKP

Posted:

Peniaga kecewa tindakan MDKP

Peniaga kecewa tindakan MDKP

Oleh SAFINA RAMLI
utusankedah@utusan.com.my


Sebahagian peniaga di Sungai Korok, Jitra menunjukkan dokumen termasuk notis sita yang diserahkan kepada mereka pada hari sama premis mereka disita.


KUBANG PASU 11 Mac - Para peniaga di sekitar Sungai Korok di sini, tidak berpuas hati dengan tindakan Majlis Daerah Kubang Pasu (MDKP) yang mengambil tindakan menyita premis perniagaan mereka tanpa memberi notis amaran terlebih dahulu.

Anggota penguat kuasa MDKP juga didakwa bertindak kasar dan tidak berhemah semasa menyita premis perniagaan di sekitar kawasan tersebut.

Seorang peniaga makanan, Rokiah Saad, 59 berkata, MDKP menyita kedai makannya yang terletak berhampiran pasar Sungai Korok, Isnin lalu.

"Tiada notis amaran diterima oleh peniaga dan bayaran sewa bulanan saya hanya tertunggak sebulan bernilai RM390.

"Mereka (pegawai MDKP) datang tanpa bercakap apa-apa dan dengan kasar terus menyita gerai saya," katanya ketika ditemui di gerai makannya di Sungai Korok di sini hari ini.

Menurutnya, di kawasan tersebut terdapat hampir 15 lagi gerai peniaga lain yang turut disita oleh MDKP tanpa memberi sebarang notis amaran.

"Sepatutnya mereka memberikan kami notis amaran terlebih dahulu dan kami akan cuba menjelaskan sewa secara beransur-ansur.

"Saya hairan kenapa MDKP mengambil tindakan tersebut kepada kami, sedangkan ada ramai lagi peniaga yang turut mempunyai sewa tertunggak tidak dikenakan sebarang tindakan," ujarnya.

Seorang lagi peniaga, Norhidayu Salleh, 17, berkata, sewa gerai bihun supnya juga tertunggak sebulan sebanyak RM180 dan ketika pegawai MDKP datang dia bersama ibunya di gerai tersebut.

"Saya terkilan apabila pegawai tersebut tidak menjawab persoalan kami dan terus dengan tindakannya menyita gerai ini," ujarnya.

Sobri Basirun, 45, seorang peniaga barangan elektrik berkata, kedainya juga menerima nasib yang sama seperti peniaga gerai makanan di kawasan tersebut.

"Ketika pegawai MDKP datang masih ada pelanggan di kedai saya dan saya tidak dapat berbuat apa-apa ketika itu.

"Sewa saya juga hanya sebulan tertunggak namun tiada notis diterima dan saya sangat tidak berpuas hati dengan tindakan MDKP ini," jelasnya.

Sobri berkata, peniaga-peniaga di kawasan tersebut mencadangkan kepada MDKP supaya bayaran sewa gerai-gerai mereka dibayar setiap hari dan bukannya secara bulanan bagi mengelakkan MDKP datang menyita gerai mereka.

"Saya rasa cara ini lebih baik berbanding secara bulanan dan pihak MDKP mesti datang mengutip bayaran sewa harian daripada kami kerana kami mahu pegawai MDKP yang menjalankan tugas bersikap lebih mesra dan berhemah," katanya.

Full Feed Generated by Get Full RSS, sponsored by USA Best Price.

Ubatan herba antara punca buah pinggang rosak

Posted:

Ubatan herba antara punca buah pinggang rosak

Ubatan herba antara punca buah pinggang rosak


Sebahagian daripada peserta Program Jalan Sihat, 10,000 Langkah Membawa Faedah di Taman Rimba, Alor Setar, semalam.


ALOR SETAR 11 Mac - Orang ramai dinasihatkan supaya berhati-hati mengambil ubat-ubatan berasaskan herba yang dipasarkan secara meluas di pasar atau kaki lima kerana dikhuatiri mengandungi bahan yang boleh mengancam kesihatan, termasuk kerosakan buah pinggang.

Pengarah Kesihatan negeri, Datuk Dr. Marzukhi Mad Isa berkata, pemakanan ubat-ubatan herba yang dijual tanpa kelulusan Kementerian Kesihatan turut menjadi antara punca yang boleh menyebabkan penyakit buah pinggang.

Katanya, mungkin ramai yang selesa mengambil ubat-ubatan herba, tetapi mereka sebenarnya tidak mengetahui ia mengandungi racun yang membahayakan kesihatan dalam jangka masa panjang.

"Ada ubat-ubat herba itu didaftarkan dengan nama Kementerian Kesihatan, tetapi ia tidak mendapat kelulusan kementerian, itu pun perlu diambil berat," katanya kepada pemberita selepas merasmikan 'Program Jalan Sihat, 10,000 Langkah Membawa Faedah' sempena Hari Buah Pinggang Sedunia 2011, peringkat negeri di sini hari ini.

Kira-kira 600 peserta termasuk 150 pesakit buah pinggang menyertai program berkenaan.

Marzukhi berkata, amalan hidup masyarakat pada masa ini juga menjadi antara punca kepada penyakit buat pinggang, seperti tidak menjaga pemakanan sehingga mendapat penyakit kencing manis.

Menurut beliau, punca utama penyakit buah pinggang kronik (CKD) adalah kencing manis dan tekanan darah tinggi.

Katanya, jumlah pesakit buah pinggang di negara ini meningkat saban tahun yang mana seramai 21,159 pesakit menjalani rawatan dialisis pada 2009 berbanding 11,873 pesakit pada 2004.

"Sejak lima tahun lalu, terdapat antara 3,000 hingga 4,000 pesakit baru yang menjalani dialisis setiap tahun," katanya.

Marzukhi berkata, berdasarkan kajian, dijangkakan 10 peratus atau 2.8 juta daripada keseluruhan penduduk di negara ini mengalami penyakit buah pinggang.

Sehubungan itu, beliau menyeru masyarakat supaya menjaga pemakanan dan mengamalkan gaya hidup sihat untuk kesejahteraan hidup.

Full Feed Generated by Get Full RSS, sponsored by USA Best Price.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan