Sabtu, 12 Mac 2011

Berita Harian: Mutakhir

Berita Harian: Mutakhir


Insiden Adenovirus di PULAPOL tidak disorok: Ismail Omar

Posted: 12 Mar 2011 02:55 AM PST

Mutakhir

KOTA BHARU: Maklumat berkaitan jangkitan virus "Adenovirus" yang berlaku di Pusat Latihan Polis (PULAPOL) Jalan Semarak, Kuala Lumpur tidak akan disorok daripada pengetahuan ibu bapa pelatih Inspektor dan Konstabel pusat itu, kata Ketua Polis Negara, Tan Sri Ismail Omar.

Katanya, semua maklumat akan disalurkan terus kepada ibu bapa pelatih itu dan dakwaan yang menyatakan mereka tidak mendapat maklumat sebenar adalah tidak tepat.

"Kita (polis) sudah letak pegawai di PULAPOL dan saya nasihat ibu bapa itu supaya mendapat maklumat terus daripada pegawai itu. "Kita sentiasa memberikan maklumat terkini dan laluan komunikasi kepada mereka," katanya selepas mengadakan lawatan kerja ke Batalion Lapan Pasukan Gerakan Am (PGA), Pengkalan Chepa di sini, hari ini.

Jangkitan virus "Adenovirus" dilaporkan merebak di kalangan pelatih PULAPOL sejak 4 Mac lalu hingga mengorbankan seorang pelatih berumur 21 tahun dari Kuala Kangsar, Perak, yang meninggal dunia di Hospital Kuala Lumpur (HKL) pada Selasa lalu.

Jumlah pelatih yang dirawat di HKL akibat jangkitan virus itu kini berkurangan kepada 24 orang hari ini berbanding 32 orang semalam.

Ismail berkata, beliau yakin keadaan yang berlaku di pusat itu akan kembali pulih jika semua pihak mengambil langkah seperti disyorkan Kementerian Kesihatan.
"InsyaAllah dan terkawal dan sehingga tengah hari ini tidak ada kes baru dan jika semua mengikut arahan saya percaya kes ini akan dapat dibendung sepenuhnya," katanya.

Ismail, yang enggan membuat andaian virus itu menular berpunca daripada masalah kebersihan di pusat itu, berkata pegawai Kementerian Kesihatan telah diminta membuat ujian terhadap pelatih bagi mengetahui punca sebenarnya insiden itu.

Sementara itu, Ismail meminta supaya jangan membuat andaian kononnya kadar penyeludupan banyak berlaku sejak Angkatan Tentera Malaysia (ATM) mengambil alih sepenuhnya tugas mengawal sempadan Malaysia-Thailand daripada PGA sejak November tahun lalu.

"Keadaan di sempadan sangat terkawal. Jangan buat andaian mengenai perkara itu yang kononnya sempadan negara kita seperti tidak selamat dan semua keadaan yang berlaku di sempadan akan tetap di pantau.

"Di sempadan kita ada anggota tentera, kastam dan Unit Pencegah Penyeludupan (yang sentiasa menjaga sempadan negara). Apa pun PDRM tidak akan lepas tangan dalam soal menjaga sempadan ini," katanya.

Beliau berkata, Ketua Polis Kelantan, Datuk Abdul Rahim Hanafi turut diminta membuat penilaian keadaan di sempadan itu dan sentiasa memberikan taklimat kepadanya tentang perkembangan semasa.

"PGA tidak akan ditarik sepenuhnya dalam usaha mengawal sempadan ini dan kita akan lihat perkara ini dari semasa ke semasa. Khidmat mereka diperlukan dalam menjaga keamanan di tempat lain buat masa ini," katanya.

Mengulas insiden kebakaran yang memusnahkan kediaman anggota PGA Pengkalan Chepa pada 19 Februari lalu, Ismail merakamkan perasaan sedih dan dukacitanya dengan keadaan itu.

Beliau mengucapkan terima kasih kepada semua pihak yang membantu meringankan beban 16 keluarga anggota PGA yang terbabit. - BERNAMA


Full Feed Generated by Get Full RSS, sponsored by USA Best Price.

Polis kawal pantai Terengganu susulan gempa bumi Jepun

Posted: 12 Mar 2011 02:36 AM PST

Mutakhir

KUALA TERENGGANU: Polis Terengganu menggerakkan anggotanya mengawal kawasan pantai terutama di lokasi sering dikunjungi orang ramai berikutan gempa bumi dan tsunami yang melanda Jepun.

Tinjauan Berita Harian di Pantai Batu Buruk di sini, mendapati polis mengarahkan orang ramai tidak menghampiri pantai malah peniaga dinasihat menutup premis masing-masing.

Ombak di Pantai Batu Buruk lebih tinggi dengan permukaan laut di beberapa bahagian bertukar kekuningan akibat bercampur pasir. Ketua Polis negeri, Datuk Jamshah Mustapa, berkata pihaknya meningkatkan pemantauan terhadap seluruh pantai sebaik menerima arahan Ibu pejabat Polis Bukit Aman, Kuala Lumpur.

Sementara itu, seorang pengunjung, Mohd Idris Ahmad, berkata beliau terkejut apabila polis membuat pengumuman meminta orang ramai menjauhi pantai.


Full Feed Generated by Get Full RSS, sponsored by USA Best Price.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan