Rabu, 16 Mac 2011

Utusan Online - Mahkamah

Utusan Online - Mahkamah


Beng Hock tidak minta pulang

Posted:

Beng Hock tidak minta pulang

Beng Hock tidak minta pulang

Oleh NOOR AZMAH IBRAHIM
pengarang@utusan.com.my

KUALA LUMPUR 16 Mac – ''Kalau Teoh Beng Hock beritahu bahawa dia hendak berkahwin esok, saya akan lepaskan dia malam itu. malah saya akan beritahu Mohd. Anuar Ismail supaya tidak perlu bawa dia ke pejabat."

Itulah penjelasan Ketua Unit Siasatan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) Selangor, Hairul Ilham Hamzah semasa disoal adakah beliau akan memberi kebenaran sekiranya Setiausaha Politik Exco Selangor itu meminta untuk pulang pada malam 15 Julai 2009.

Bagaimanapun, katanya, beliau mengarahkan percakapan dirakam pada malam itu kerana Beng Hock sendiri tidak meminta untuk pulang selain tidak mengetahui bahawa lelaki itu akan berkahwin dengan tunangnya, Sor Cher Wei pada keesokan hari.

Katanya, penyesalan kerana tidak membenarkan Beng Hock pulang apabila diminta oleh Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Seri Kembangan, Ean Yong Hian Wah pada pukul 11.45 malam juga bermain di fikirannya selepas lelaki itu dijumpai mati di tingkat lima pada 16 Julai 2009.

Menurut Hairul Ilham, beliau mengetahui tentang kematian Beng Hock daripada Mohd. Anuar selaku pegawai penyiasat pada pukul 2 petang dan melihat satu mayat ditutup dengan plastik hitam semasa menjenguk ke bawah melalui tingkap sebelum memaklumkan perkara itu kepada Timbalan Pengarah SPRM Selangor, Hishamuddin Hashim.

Beliau juga mengakui merasa panik dan buntu kerana ia merupakan pertama kali saksi di bawah jagaannya meninggal dunia selain agak kelam kabut apabila diarah ke SPRM Putrajaya dan berpatah balik ke Ibu pejabat Polis Daerah (IPD) Shah Alam sebelum kembali ke Pejabat SPRM Selangor di Plaza Masalam.

''Hishamuddin mengarahkan saya dan Mohd. Anuar ke SPRM Putrajaya untuk memberi penjelasan tentang kejadian itu. Selepas singgah di rumah Mohd. Anuar di Puchong, kami terus ke Putrajaya.

''Semasa sampai di tempat letak kereta, Hishamuddin arahkan kami berpatah balik ke Shah Alam untuk membuat laporan polis di IPD Seksyen 11. Sebelum sempat buat laporan, kami diarah pulang ke pejabat semula,'' jelas beliau semasa menjawab soalan pegawai pengendali, Awang Armadajaya Awang Mahmud.

Atas alasan bimbangkan tahap keselamatan selain berlaku kekecohan di pejabat SPRM Selangor, Hairul Ilham mengarahkan seorang pegawai, Khairul Anuar Alias mengambil mereka berdua di IPD dan hanya keluar dari pejabat sehingga pukul 8 malam, 17 Julai 2009 untuk memberi kenyataan kepada pihak polis.

Menjawab soalan peguam Cheow Wee yang mewakili Majlis Peguam Malaysia, Hairul Ilham menjelaskan, sebarang kekerasan tidak dibenarkan dalam soal siasat sebaliknya pendekatan psikologi digunakan seperti memainkan perasaan suspek dengan menimbulkan rasa sedih dan menyesal.

Katanya, beliau hanya mengetahui terdapat hampir 20 laporan polis tentang penggunaan kekerasan fizikal oleh pegawai-pegawai SPRM semasa menyoal siasat suspek termasuk pada tahun 2006, selepas kematian Beng Hock.

Berhubung aduan wujudnya penggunaan kekerasan itu, Pengerusi suruhanjaya, Tan Sri James Foong Cheng Yuen memaklumkan, beliau menerima beberapa khidmat pesanan ringkas (SMS) daripada orang ramai yang membuat dakwaan sedemikian.

Antara SMS yang dibaca oleh Cheng Yuen ialah dakwaan bahawa seorang lelaki yang ditahan oleh Hairul Ilham dan seorang lagi pegawai penyiasat, Mohd. Ashraf Mohd. Yunus pada 24 Jun 2009 telah diserang dan pemeriksaan hospital mengesahkan terdapat kecederaan serta penggunaan objek.

Beliau yang mengambil berat dakwaan tersebut termasuk tuduhan mengatakan Mohd. Ashraf adalah budak suruhan Hairul Ilham, memaklumkan kesemua maklumat itu akan disiasat.

Pada prosiding hari ini, Cheng Yuen turut mengumumkan siasatan di tempat letak kereta dan jalan di sekitar Blok 8, Seksyen 7 Shah Alam mendapati bahawa berlaku kesesakan antara pukul 9 malam dan 3 pagi.

Menurut beliau, hasil pemerhatian penyiasat bebas, Michael Leslie Squires pada 13 dan 14 Mac lalu mengesahkan seseorang akan mengalami kesukaran untuk meletakkan kereta pada waktu puncak dan kenderaan hanya mula berkurangan pada awal pagi.

Hasil siasatan itu sekali gus mengesahkan kesahihan keterangan Mohd. Ashraf sebelum ini bahawa dia tidak terus pulang ke rumah selepas selesai kerja pada awal pagi 16 Julai 2009 kerana menghadapi kesukaran untuk meletak kereta di kawasan rumahnya.

Suruhanjaya turut membenarkan permohonan Majlis Peguam Malaysia dengan mengarahkan agar telefon bimbit dan komputer riba milik Hishamuddin, Hairul Ilham, Mohd. Anuar, Mohd. Nazri, Khairul Anuar dan Raymond Nion dirampas untuk dianalisis.

Prosiding suruhanjaya yang diadakan di Mahkamah Tinggi Sivil Baharu (NCvC) di Kompleks Mahkamah di sini akan bersambung esok.

Beng Hock, 30, setiausaha politik kepada Hian Wah ditemui mati pada 16 Julai 2009 selepas memberi keterangan di pejabat SPRM Selangor yang terletak di tingkat 14, Plaza Masalam.

Mahkamah Koroner pada 5 Januari lalu memutuskan hasil inkues menyiasat kematian lelaki itu sebagai keputusan terbuka (open verdict).

Full Feed Generated by Get Full RSS, sponsored by USA Best Price.

Juruelektrik didakwa culik kanak-kanak

Posted:

Juruelektrik didakwa culik kanak-kanak

Juruelektrik didakwa culik kanak-kanak


WAN Chee How ketika hadir di Mahkamah Majistret, Kuala Terengganu, semalam.


KUALA TERENGGANU 16 Mac - Seorang juruelektrik dihadapkan ke Mahkamah Majistret di sini hari ini atas tuduhan menculik seorang kanak-kanak perempuan berusia tiga tahun untuk mendapatkan wang tebusan sebanyak RM50,000, lima tahun lalu.

Wan Chee How, 30, didakwa melakukan perbuatan itu di sebuah rumah beralamat PT, 983K, Taman Ibai Indah, Kampung Tok Adis, Kuala Ibai di sini kira-kira pukul 12 tengah hari, 22 Oktober 2006.

Mengikut kertas pertuduhan, lelaki itu didakwa mengurung kanak-kanak berkenaan di dalam sebuah kereta dengan niat untuk menuntut wang tebusan tersebut.

Dakwaan terhadapnya dikemukakan mengikut Seksyen 3 Akta Culik 1961 yang memperuntukkan hukuman mati atau penjara seumur hidup serta sebatan jika sabit kesalahan.

Memandangkan kes ini melibatkan hukuman mati, tiada pengakuan direkodkan daripada tertuduh.

Majistret Nor Azizah Yusof menetapkan 28 April ini sebutan semula kes tersebut.

Pendakwaan dikendalikan oleh Timbalan Pendakwa Raya, Ooi Chooi Gaik manakala tertuduh tidak diwakili peguam bela.

Memetik laporan akhbar, lelaki itu dipercayai melarikan kanak-kanak itu ketika ibu bapa mangsa tiada di rumah sebelum menuntut sejumlah wang tebusan.

Dia sebelum itu dilaporkan pernah bekerja memasang wayar di rumah ibu bapa kanak-kanak berkenaan yang bekerja sebagai peniaga.

Tertuduh ditahan dalam serbuan sepasukan anggota dari Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) negeri di Inanam, Kota Kinabalu, Sabah pada 1 Mac lalu.

Full Feed Generated by Get Full RSS, sponsored by USA Best Price.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan