Rabu, 16 Mac 2011

Utusan Online - Rencana

Utusan Online - Rencana


Risiko keracunan radiasi global

Posted:

Risiko keracunan radiasi global

Risiko keracunan radiasi global

Oleh NURUL ANUAR KARI
anuar.kari@utusan.com.my

KEROSAKAN reaktor nuklear di Fukushima, Jepun yang mula membebaskan bahan radioaktif ke udara pada minggu ini bukannya kemalangan pertama melibatkan loji tenaga nuklear dunia dan mungkin bukan yang terakhir.

Walaupun telah banyak langkah pencegahan diambil, namun akhirnya benteng konkrit loji tersebut tewas di tangan alam semula jadi selepas gempa bumi dan tsunami membadai perairan negara itu, Jumaat lalu.

Sungguhpun begitu, angka kematian yang dijangka jauh melangkaui 10,000 orang akibat bencana alam ini nampaknya tenggelam di sebalik bayangan bencana loji nuklear Chernobyl pada 1986.

Letupan kuat loji nuklear Chernobyl di Ukraine pada 26 April 1986 menyebabkan 32 orang terbunuh akibat kesan langsung keracunan radiasi sementara 8,000 yang lain mengalami kesan pencemaran radioaktif akibat bahan radioaktif tersebar ke udara sehingga ke barat Eropah.

Jika perkara sama berlaku di Jepun, bencana yang jauh lebih besar melibatkan pencemaran dan keracunan bahan radioaktif bakal menimpa semua bentuk hidupan di rantau Pasifik, mungkin juga seluruh dunia.

Bagaimanapun, kemungkinan itu disanggah Setiausaha Jawatankuasa Saintifik Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) bagi Kesan Radiasi Atom, Malcolm Crick dengan alasan loji di Chernobyl dahulu tidak mempunyai sistem keselamatan moden terkini.

Crick juga mendakwa Chernobyl menjadi padang jarak padang tekukur disebabkan loji tersebut sedang beroperasi ketika letupan berlaku seterusnya memudahkan penyebaran bahan radioaktif ke udara.

Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) buat masa ini melaporkan risiko kejadian di loji Fukushima ke atas kesihatan manusia masih rendah tetapi 140,000 penduduk di sekitar zon bencana telah dipindahkan sebagai langkah berjaga-jaga.

Menurut Profesor Fizik Perubatan, Jabatan Radiologi Fakulti Perubatan Universiti Malaya, Profesor Dr. Ng Kwan-Hoong, penduduk dunia akan didedahkan kepada dua jenis bahan radioaktif jika loji nuklear itu meletup iaitu Caesium-137 (Cs-137) dan Iodine-131 (I-131).

"Cs-137 dengan separuh hayat (half-life) 30 tahun, larut dalam air dan toksik (kepada hidupan) walaupun pendedahan dalam jumlah kecil. Selepas masuk ke dalam badan, bahan ini akan merebak, terutamanya berkumpul dalam otot.

"I-131 pula mempunyai separuh hayat lapan hari dan boleh diserap melalui makanan yang tercemar. Bahan ini akan terkumpul di dalam kelenjar tiroid kerana diserap seperti iodin biasa," jelasnya.

Tambahnya, secara biologi (dalam badan) Cs-137 akan mula mengurai selepas 70 hari sementara penguraian I-131 pula membebaskan radiasi yang boleh merosakkan kelenjar tiroid serta meningkatkan risiko kanser tiroid dalam jangka panjang.

Bagaimanapun, bukan sahaja warga Jepun dan penduduk negara jirannya cemas memerhatikan situasi di Fukushima, malahan rakyat Malaysia sendiri gempar apabila khidmat pesanan ringkas (SMS) mendakwa pencemaran radiasi akan sampai ke perairan kita mula disebarkan.

Kementerian Sains, Teknologi dan Inovasi Malaysia telah memberi jaminan pembebasan bahan radioaktif di Jepun akan dipantau secara rapi melalui alat pengesan radiasi di Chuping, Ipoh, Kota Kinabalu, Kuantan, Kudat dan Senai sementara kebanyakan pintu masuk negara juga dilengkapi pengimbas radiasi.

Namun, persoalan yang bermain di fikiran semua pihak kini adalah tentang sebaran bahan radioaktif melalui udara kerana ia tidak dapat dilihat dengan mata kasar dan hanya dapat dirasakan selepas gejala keracunan mula timbul.

Orang ramai di negara ini sebenarnya tidak perlu panik dengan kebarangkalian tersebut kerana jika berlaku bencana kebocoran bahan radioaktif yang teruk, ia pasti dapat dikesan lebih awal dan akan diumumkan kepada penduduk seluruh dunia terutamanya penduduk Jepun yang tinggal berhampiran tempat kejadian.

Pihak berkuasa tempatan dan antarabangsa juga akan memaklumkan kepada orang ramai tentang langkah pencegahan yang perlu diambil bagi mengelak atau mengurangkan kesan pendedahan bahan radioaktif ke atas diri dan keluarga.

Sementara usaha menghalang bencana ini masih dijalankan, semua pihak perlu bertenang dan tidak panik tentang sesuatu yang belum tentu akan berlaku.

Untuk mengurangkan kebimbangan umum melibatkan situasi di Fukushima itu, adalah lebih baik jika orang ramai terlebih dahulu memahami gejala keracunan radiasi dan langkah yang perlu diambil dalam kecemasan.

Pening dan muntah merupakan gejala utama dikaitkan dengan keracunan bahan radioaktif yang bermula beberapa jam selepas seseorang terdedah kepada radiasi tahap rendah atau tinggi.

Gejala ini diiringi pening kepala, cirit-birit dan demam jika terdedah kepada jumlah radiasi yang tinggi sementara kesan melibatkan sistem saraf badan seperti lumpuh atau sawan secara tiba-tiba menandakan kesan radiasi yang amat tinggi.

Pendedahan secara berpanjangan akan menyebabkan sistem imuniti badan menjadi lemah, demam panas, serta muntah, pening kepala dan cirit birit yang teruk.

Pendedahan kepada jumlah radiasi yang tinggi juga akan membawa maut dalam tempoh singkat tetapi mereka yang terdedah kepada radiasi yang rendah dalam jangka panjang atau pendek mungkin dapat diselamatkan jika menerima rawatan sewajarnya.

Langkah pencegahan pula banyak bergantung kepada kemampuan kita untuk menjauhkan diri dari sumber radiasi dan mengurangkan tempoh terdedah kepada bahan tersebut. Dari sudut jarak, kadar risiko kepada penduduk di Malaysia sebenarnya jauh lebih rendah berbanding penduduk di Jepun dan negara jirannya.

Tempoh pendedahan pula dapat dikurangkan dengan menggunakan alat perlindungan khas serta mengikut arahan pihak berkuasa untuk berlindung di tempat khusus yang ditetapkan atau di dalam rumah dengan menghalang atau mengurangkan aliran udara masuk.

Hakikatnya, jika bencana melanda loji nuklear Fukushima, tiada siapa di dunia yang dapat melarikan diri kerana hanya jarak yang membezakan bila sesebuah negara akan terdedah kepada bahan radioaktif yang dibebaskan ke udara.

Selagi tragedi itu belum menjadi kenyataan, kita cuma mampu melihat serta mendoakan segalanya akan pulih dan semoga dunia diberi peluang mengambil iktibar daripada kejadian tersebut demi masa depan generasi berikutnya.

Full Feed Generated by Get Full RSS, sponsored by USA Best Price.

Impak rangkaian sosial keselamatan

Posted:

Impak rangkaian sosial keselamatan

Impak rangkaian sosial keselamatan

Oleh Husin Jazri


Rangkaian sosial yang pada awal penggunaannya berfungsi sebagai alat perhubungan, kini berubah menjadi satu platform yang efektif untuk menjana sesuatu revolusi. – gambar hiasan


KEMUNCULAN perkhidmatan rangkaian sosial dilihat sebagai satu revolusi yang mengubah cara pengguna Internet bersosial dan berinteraksi di ruang siber.

Para pengguna yang terdiri daripada golongan remaja dan dewasa begitu ghairah menggunakan rangkaian sosial tersebut seperti Facebook, Twitter dan pelbagai perkhidmatan lain seumpamanya bagi memenuhi pelbagai tujuan. Trend penggunaan laman sosial media ini semakin meningkat dan seolah-olah tiada petanda bahawa ia akan menurun. Persoalannya, mengapa isu-isu yang berkaitan rangkaian sosial begitu menarik perhatian masyarakat dunia terutama pakar-pakar keselamatan siber?

Mengimbas kembali, pada Jun 2010 yang lalu, Twitter telah memainkan peranan penting dalam menyebarkan mesej protes golongan pembangkang Iran sewaktu kemelut pilihan raya di negara tersebut. Malahan, Jabatan Negara Amerika Syarikat telah meminta pengendali Twitter supaya menangguhkan proses menaik taraf perkhidmatannya agar tidak mengganggu penggunaannya oleh warga Iran.

Pada akhir Januari sehingga awal Februari yang lalu, seluruh dunia dikejutkan dengan krisis yang melanda Mesir sehingga membawa kepada keputusan pengunduran Presiden Hosni Mubarak. Gerakan protes rakyat di Mesir mula dicetuskan oleh sekumpulan aktivis muda yang menuntut agar proses pembaharuan politik dilakukan di negara tersebut. Ia merupakan rentetan kepada krisis politik yang telah melanda Tunisia sebelum itu.

Ironiknya, revolusi di Mesir merebak ke negara-negara serantau dan mencetuskan pelbagai gerakan anti-kerajaan seperti di Algeria, Yemen, Bahrain dan Libya. Krisis di Timur Tengah juga menarik perhatian pakar-pakar keselamatan siber dan mereka menganggapnya sebagai satu fenomena. Kajian menunjukkan rangkaian sosial memainkan peranan penting dalam membantu golongan aktivis melancarkan propaganda siber mereka dan mempengaruhi persepsi rakyat untuk menentang kerajaan.

Perkhidmatan seperti Facebook dan Twitter telah digunakan sebagai platform dalam mencetuskan kebangkitan rakyat Mesir dan pengisytiharan tarikh 25 Januari 2011 sebagai hari pelancaran revolusi. Media juga melaporkan bahawa golongan aktivis ini mendapat bantuan dari seorang kakitangan Google warga Mesir bagi membolehkan semua bentuk komunikasi disalurkan secara selamat menerusi sistem pesanan segera (instant messaging system) Google.

Apa yang wajar diberi perhatian adalah mengenai keupayaan rangkaian sosial dan impaknya terhadap sesebuah negara. Rangkaian sosial dijadikan platform oleh rakyat Mesir untuk mereka berinteraksi dan berkomunikasi sesama sendiri, dan melancarkan gerakan revolusi menentang kerajaan.

Kerajaan Mesir mula menyedari perkara ini dan mereka mengambil tindakan terdesak pada 28 Januari 2011 untuk menyekat akses Internet menerusi keempat-empat Penyedia Perkhidmatan Internet (ISP) utama. Namun, tindakan tersebut agak terlambat dan tidak mampu untuk mengubah persepsi rakyat Mesir yang begitu mendalam terhadap seruan revolusi. Malahan tindakan tersebut telah menimbulkan reaksi negatif oleh gergasi enjin perisian Google.

Tanpa berselindung, pihak Google telah menyatakan sokongannya terhadap rakyat Mesir dan mengadakan kerjasama dengan pengendali Twitter bagi mewujudkan perkhidmatan baru yang dikenali sebagai 'speak2tweet'. Secara khusus, perkhidmatan tersebut membolehkan rakyat Mesir menghebahkan situasi terkini menerusi Twitter dengan menggunakan telefon.

Impak revolusi di Mesir ternyata tidak terhenti di negara tersebut sahaja. Malah ia telah merebak ke Algeria, Yemen, Bahrain, Libya dan Oman. Dalam krisis di Libya, kerajaan pimpinan Kolonel Muammar Gaddafi telah melaksanakan sekatan akses terhadap sejumlah laman web dan perkhidmatan Internet seperti Facebook, YouTube dan juga Hotmail.

Tampaknya, krisis di Mesir telah memberi pengajaran kepada Kerajaan Libya. Mereka berpendapat sekatan gerakan protes oleh rakyat Libya boleh dikekang hanya menerusi sekatan terhadap perkhidmatan Internet termasuk rangkaian sosial.

Di sini wujud pelbagai persoalan yang perlu difikirkan oleh pihak-pihak tertentu yang pastinya memantau perkembangan krisis politik di Timur Tengah. Krisis yang melanda di Tunisia, Mesir, Algeria, Yemen, Bahrain, Libya dan Oman bukanlah sekadar kebetulan. Rangkaian sosial terbukti memainkan peranan yang amat penting dalam mempengaruhi persepsi rakyat, dan ledakan penggunaannya jelas sekali mampu memberi impak kepada suasana sosio-politik sesebuah negara.

Rangkaian sosial yang pada awal penggunaannya berfungsi sebagai alat perhubungan, kini berubah menjadi satu platform yang efektif untuk menjana sesuatu revolusi. Maklumat berbentuk fitnah, tohmahan, desakan, kutukan dan seruan kini semakin ghairah dipaparkan di ruang siber. Fenomena yang dicetuskan oleh rangkaian sosial sudah pasti memberi cabaran kepada negara.

Pendekatan terbaik perlu diambil agar teknologi tersebut boleh digunakan secara seimbang terutamanya oleh pengguna. Mereka seharusnya dididik agar menggunakan rangkaian sosial secara berhemah. Adalah menjadi hasrat semua pihak agar penggunaan teknologi siber sebegini dapat memberi manfaat kepada kesejahteraan masyarakat, membantu pertumbuhan ekonomi dan meningkatkan daya saing negara.

Kita semua tidak mahu teknologi tersebut digunakan secara tidak terkawal kerana ia bakal mencetuskan suasana yang boleh mengancam keselamatan negara.

Lt. Kol. (B) Husin Jazri

Ketua Pegawai Eksekutif CyberSecurity Malaysia.

Full Feed Generated by Get Full RSS, sponsored by USA Best Price.

Tiada ulasan:

Catat Komen