Selasa, 15 Mac 2011

Malaysiakini :: Berita

Malaysiakini :: Berita


Penahanan alkitab Injil BM ditarik balik

Posted: 15 Mar 2011 04:26 AM PDT

Setelah dibidas pelbagai pihak, berhubung tindakan Kementerian Dalam Negeri yang menahan ribuan alkitab Injil berbahasa Melayu, kerajaan hari ini bersetuju untuk mengeluarkan kitab yang dirampas dan ditahan di Kuching dan Pelabuhan Klang.

NONEDalam kenyataan medianya hari ini, Menteri di Jabatan Perdana Menteri Datuk Seri Idris Jala, berkata tindakan kerajaan itu selaras dengan warta 1982 di bawah Akta Keselamatan Dalam Negeri (ISA) yang telah membenarkan pengeluaran serta penyebaran Kitab Injil dalam Bahasa Melayu secara terhad dan terkawal.

Bagaimanpun semua kitab berkenaan mesti dicop dengan tag "Untuk penganut agama Kristian sahaja".

"Sejak tahun 1982, dengan akta tersebut, laporan menunjukkan bahawa tiada sebarang isu atau masalah yang dihadapi dalam pelaksanaannya. Dengan merujuk kepada fakta tersebut, Kerajaan Malaysia telah bersetuju untuk menggunakan warta 1982 yang sama dalam pengeluaran Kitab Injil.

"Setelah pemerhatian serta analisa yang teliti, Peguam Negara (AG) juga telah menetapkan bahawa pengeluaran Kitab Injil yang telah diterjemahkan dalam Bahasa Malaysia tidak akan memberi kesan dalam kes mahkamah yang berkaitan isu Kalimah Allah.

"Oleh itu, dalam konteks berikut Kerajaan telah dapat secara amnya mengeluarkan buku Kitab Injil tersebut," kata Idris.

Menurut beliau, kerajaan sangat komited dan akan memberikan komitmen yang berterusan untuk menyelesaikan masalah atau isu-isu berkaitan agama dengan penuh adil dan saksama demi kebaikan negara Malaysia yang berbilang kaum dan agama.

Oleh itu, katanya, kerajaan akan terus mengadakan dialog khas untuk membincangkan jalan penyelesaian isu-isu tertentu dengan melibatkan semua penganut pelbagai agama.

NONE"Kerajaan Sarawak juga bersetuju dan berpendapat bahawa penahanan buku Kitab Injil yang telah sekian lama ditahan seharusnya dikeluarkan," katanya.

Idris yang merupakan penganut agama Kristian dan berasal dari Sarawak berkata beliau telah berhubung dengan Persekutuan Kristian Malaysia (CFM).

"Ini adalah satu kompromisi yang memanfaatkan kedua-dua belah pihak dalam menangani perbezaan pendapat antara penganut agama Kristian dan Islam di negara ini. Bagi penganut agama Kristian, kerajaan telah bersetuju untuk mengeluarkan Kitab Injil di Kuching mahupun di Pelabuhan Klang," katanya.

Dari perspektif penganut agama Islam pula, katanya, seperti yang telah ditetapkan oleh Peguam Negara, pelaksanaan ini tidak akan memberi kesan dalam kes mahkamah yang berkaitan isu Kalimah Allah.

"Kerajaan jelas sangat komited dalam menyelesaikan masalah berkaitan agama sejajar dengan konsep 1Malaysia," akhiri kenyataan itu.

Full Feed Generated by Get Full RSS, sponsored by USA Best Price.

Anwar dakwa Putrajaya anak tirikan negeri Pakatan

Posted: 15 Mar 2011 04:13 AM PDT

Kerajaan Persekutuan Umno-Barisan Nasional menganak-tirikan negeri-negeri pimpinan Pakatan Rakyat dalam pengagihan peruntukan sungguhpun Selangor dan Pulau Pinang menjadi tonggak utama ekonomi Malaysia, kata Ketua Pembangkang Datuk Seri Anwar Ibrahim.

NONE"Sebagai contoh, Selangor menyumbang RM16 bilion setahun kepada Kerajaan Persekutuan tetapi hanya diberikan RM400 juta setahun atau 2.9 peratus…ini adalah jumlah yang tidak munasabah," kata Anwar kepada TV Selangor.

Beliau berkata demikian selepas menyampaikan wacana berjudul Federalism: Keadilan Dalam Pengagihan Kekayaan Negara di Dewan Majlis Bandaraya Shah Alam.

"Amat jelas bahawa beberapa prinsip asas Perlembagaan bersabit hak-hak negeri semakin terhakis…bukan sahaja yang membabitkan Sabah dan Sarawak tetapi juga di negeri yang ditadbir oleh PR," katanya.

Anwar berkata sebelum pilihanraya umum 2008, negeri-negeri seperti Selangor yang ditadbir oleh BN menerima dua kali ganda peruntukan daripada apa yang diberikan ketika ini.

Beliau yang juga ketua umum PKR berkata perlembagaan Malaysia memperuntukan bahawa jumlah peruntukan untuk negeri harus berasaskan formula tertentu termasuk jumlah kepadatan penduduk.

"Yang kita pertikaikan ialah, mereka (kerajaan pusat) tidak mempunyai kaedah yang tetap dan rasional. Jika negeri itu diperintah oleh Pakatan Rakyat, maka peruntukan disekat, malah untuk Pulau Pinang jumlah peruntukan adalah lebih kecil" kata Anwar.

Pulau Pinang menyumbangkan hasil cukai RM2.5 bilion kepada kerajaan persekutuan dan merekodkan Keluaran Dalam Negara Kasar RM48 bilion pada tahun lalu. Namun peruntukan Putrajaya untuk kerajaan negeri pimpinan Pakatan Rakyat itu hanya sekitar RM150 juta.

Anwar berkata beliau peka kepada keperluan kerajaan pusat membela nasib penduduk di negeri-negeri yang kurang maju dan justeru itu memerlukan peruntukan yang lebih tinggi.

"Saya menerima prinsip itu. Tetapi jelas mereka (kerajaan pusat) tidak mempunyai kaedah pengagihan yang rasional dan konsisten. Jika negeri itu ditadbir oleh Pakatan Rakyat, peruntukan serta merta disekat.

"Kami terima hakikat bahawa BN adalah kerajaan pusat dan mempunyai kuasa untuk menguruskan dana awam dan dasar-dasar tetapi mereka harus mengiktiraf mandat penduduk di negeri-negeri (pimpinan Pakatan)," katanya.

Menurut Anwar, ini bukan soal menyusup kuasa kerajaan persekutuan dalam pengagihan peruntukan, namun amalan berkenaan jelas tidak telus dan konsisten.

"Tidak logik jika negeri-negeri Pakatan diberikan hanya 2.9 peratus dan negeri-negeri pimpinan Umno-BN diberi 20 peratus. Saya menekankan pengagihan peruntukan harus berlandaskan sistem yang rasional dan berpaksi kepada ketelusan dan prosedur kewangan yang ditetapkan.

"Tidak apa jika negeri-negeri miskin diberi peruntukan lebih, namun di Selangor juga bukan semua rakyatnya berpendapatan tinggi. Justeru mereka juga harus dibantu. Kita seharusnya memberi pertimbangan kepada kawasan-kawasan di mana penduduknya di pinggirkan," katanya.

Full Feed Generated by Get Full RSS, sponsored by USA Best Price.

Tiada ulasan:

Catat Komen