Selasa, 15 Mac 2011

Utusan Online - Rencana

Utusan Online - Rencana


'Jaguh Rakyat' - BN atau pembangkang?

Posted:

'Jaguh Rakyat' - BN atau pembangkang?

'Jaguh Rakyat' - BN atau pembangkang?

Mengimbas semula selepas tiga tahun, pasca pilihan raya umum (PRU) ke- 12 menunjukkan bahawa keadaan yang penuh emosi dan provokasi serta keadaan tidak menentu kembali reda walaupun politiking masih berterusan. Perak kembali ditadbir oleh Barisan Nasional (BN) dan perubahan kepimpinan berlaku dalam parti serta lima Ahli Parlimen daripada Parti Keadilan Rakyat (PKR) memilih untuk keluar dan menjadi wakil rakyat Bebas.

Tiga tahun merentasi pasca PRU Ke-12, banyak pencapaian dan cabaran yang boleh diperihalkan. Berlaku pertukaran baton kepimpinan dalam BN secara teratur dan licin dari Tun Abdullah Ahmad Badawi kepada Datuk Seri Mohd. Najib Tun Abdul Razak. Ia membawa suntikan baru dengan kesungguhan dan keazaman Najib untuk mentransformasi parti dan tadbir urus kerajaan. Dari saling tuduh menuduh pada peringkat awal kekalahan pilihan raya, beliau membina semula 'pasukan' ini untuk bersama.

Konsep 1Malaysia dengan beberapa agenda diperkenalkan termasuk PTK, PTE, NKRA, MEB dan RMK-10. 'Rakyat Didahulukan, Pencapaian Diutamakan' menjadi teras kepimpinan yang akan dinilai dalam PRU Ke-13 nanti memandangkan pelaksanaan menyeluruh masih dinantikan.

Najib sedar 'rakyat' adalah kepercayaan beliau. Keyakinan yang mahu dibina adalah dari kepercayaan ke atas 'rakyat' yang juga akan menentukan sama ada BN mampu bertahan dalam PRU Ke-13. Ini selari dengan kesedaran bahawa pemimpin perlu menjadi 'jaguh rakyat' dan bukan 'badut rakyat' kerana pengundi sudah boleh membaca gerak-geri pemimpin dan jika tidak berhati-hati, BN boleh rebah akibat percaturan sendiri.

Sudah pasti pilihan raya kecil (PRK) boleh dijadikan sebarang penanda aras keupayaan dan persediaan parti walaupun ia tidak boleh dijadikan sebagai penentu atau indikator kekuatan sesebuah parti kerana demografi dan geografi yang berbeza-beza memerlukan strategi yang berlainan diguna pakai.

Bagi barisan pembangkang, sepanjang tiga tahun barang kali boleh dinilai sebagai masa 'percubaan' sehingga masih bersifat sebagai 'pembangkang' walaupun menjadi 'pentadbir' di beberapa buah negeri. 'Kuatkah Pembangkang; Lemahkah BN' merupakan persoalan yang perlu diteliti oleh Pas, DAP mahupun PKR kerana sepanjang tiga tahun pasca PRU Ke-12, isyarat berbeza-beza diberikan kepada umum.

Barisan pembangkang dilihat berhadapan dengan krisis keyakinan dan kepercayaan yang getir berbanding ketika Mac 2008. Manipulasi secara terancang dan kreatif dengan menyebar nilai populis menyebabkan ia mampu menyekat penyokong tegar daripada curang tanpa menyedari pengundi yang melakukan undi protes tidak bersifat emosional tetapi lebih rasional dan praktikal.

Bermula dengan sandiwara 16 September 2008 dan kemudian beralih kepada Disember untuk mengambil alih kerajaan melalui pintu belakang, tiga tahun sudah berlalu. Malahan kedangkalan pemimpin ketara sehingga mengekori ke Taiwan untuk berbohong dalam proses meyakinkan keseluruhan masyarakat Malaysia.

Begitu juga dengan 'hubungan Pas-DAP' yang mencurigakan sejauh manakah masing-masing percaya dapat bekerjasama walaupun pemimpin DAP hadir di pentas Pas dan di sebaliknya. Persoalan 'kejujuran' perlu dinilai oleh umum. Sepanjang tiga tahun juga, berlaku kepincangan kepimpinan dalam parti PKR dan DAP dari pemilihan parti yang dilakukan.

Isu legitimasi jawatan 'Ketua Umum' dalam PKR dipersoal dan pemilihan parti dipenuhi dengan penipuan pengundi, campur tangan langsung untuk kemenangan calon tertentu dan meniru tandatangan yang dianggap bertentangan dengan nilai ketelusan dan akauntabiliti yang cuba diperjuangkan parti ini. Daripada 400,000 ahli parti, lingkungan 10 peratus dikatakan keluar mengundi? Jika sebelum ini mereka pelopori demonstrasi, PKR buat julung kali berhadapan dengan demostrasi daripada ahlinya.

Bagi DAP, pemilihan di Perak dan Selangor turut menguji parti tersebut sepanjang tiga tahun selepas PRU Ke-12. Keetnikan menjadi isu terutama dalam pertembungan Kulasegaran dan Ngeh Koo Ham dan Nga Kor Ming yang akhirnya Kula tersungkur.

Pemahaman separuh masak turut menghantui parti Pas. Isu negara Islam masih belum selesai dan DAP sudah pasti tidak mahu menyelesaikannya atas prinsip 'Pas senyap, DAP diam'. Kegelisahan segelintir penyokong Pas jelas kerana belum ada jawapan konkrit daripada DAP yang belum mahu perjelaskan kedudukan mengenai negara Islam walaupun Nik Aziz Nik Mat ada beberapa kali menyuarakan keinginan memberi penjelasan ke atas ketidak setujuan DAP ke atas isu ini.

Ini kerana pemahaman separuh masak penyertaan bersama pihak pembangkang dilihat bercanggah dengan perbezaan perjuangan dan konsep. Isyarat berbeza mengenai perjuangan parti dilontar oleh pemimpin induk parti sehingga melahir rasa tidak puas hati, mengelirukan dan ketidakselesaan dalam kalangan pengikut yang setia pada perjuangan parti.

Dengan persaingan antara BN dan Pas, tiga tahun pasca PRU Ke-12 juga melihat kehadiran 'kuasa ketiga' dalam kalangan pemimpin yang keluar parti sehingga menubuhkan kaukus yang mahu menjadi 'pengimbang' kepada BN dan barisan pembangkang. Kini Parlimen dikuasai oleh 8 Bebas manakala BN adalah 137; DAP dengan 29; PKR merupakan 24 dan Pas jumlahnya 23 serta PSM seorang. Ini menunjukkan bilangan BN jatuh sebanyak 3 kerusi manakala pembangkang sebanyak 5 kerusi daripada angka Mac 2008.

Pasca PRU Ke-12 melihat kemunculan Malaysia Civil Liberties Movement (MCLM) yang dianggap turut tergolong dalam kuasa ketiga telah menyangkal dan menganggap organisasi ini sebagai prorakyat dan bukan kuasa ketiga. Sedemikian juga dengan Parti Kesejahteraan Tanahair (KITA) di bawah Datuk Zaid Ibrahim yang keluar parti UMNO dan PKR barangkali mahu memain peranan dalam konteks demografi perbandaran. Begitu juga dengan kemunculan United Borneo Front (UBF) oleh Jeffrey Kittigan selepas keluar dari PKR.

Sabah dan Sarawak pula dinamakan sebagai 'rakan kongsi', satu pendefinisian yang bercanggah dengan nilai kenegaraan kerana Sabah dan Sarawak adalah sebahagian dari Malaysia. Dengan label sebagai 'rakan kongsi', ia seolah-olah tidak dilihat mempunyai kepentingan dan nilai kesamarataan dengan negeri yang lain.

Begitu juga dengan Program 100 Hari Pakatan Rakyat yang digaris sebagai Dasar Bersama. Persoalannya, bukankah elemen tersebut sedang dilakukan oleh kerajaan dan apakah keunikan 'Buku Jingga' sehingga ketara perbezaannya dari yang sedang diamalkan oleh pemerintah hari ini. Tidak dinafikan imbuhan kepada golongan guru menarik tetapi mampukah dilakukan dalam kedudukan dana hari ini? Jika teras dokumen tersebut berpusat kepada kebajikan, Kg. Buah Pala tidak akan menjadi sejarah hari ini.

Pengundi atas pagar akan bertanya - 'Malaysia mahu diselamatkan dari apa, siapa dan mengapa'? Apakah perlu diubah dari keselesaan semata-mata disebabkan perbezaan fahaman politik atau kebencian ke atas BN walhal proses modenisasi, urbanisasi, industrialisasi berkembang pesat?

Adakah selama 53 tahun merasa tidak selamat ataupun ada pihak sengaja melahirkan rasa tidak selamat? Malahan, dalam PRK di Kerdau dan Merlimau, BN muncul dengan slogan 'Selamatkan Malaysia dari Pembohongan' kerana politik adalah persepsi dan maklumat menjadi sumber kekuatan strategi sesuatu parti politik. Maka, perang psikologi perlu menusuk hati dan bukan minda semata-mata dalam permainan politik yang boleh kita namakan sebagai 'politik pujukan'.

Pelbagai isu juga telah muncul sepanjang tiga tahun pasca PRU Ke-12 termasuklah isu kenaikan harga, Teoh Beng Hock, PKFZ, jenayah, rasuah, kesamarataan dan cabaran ke atas Perlembagaan. Kesemua ini akan menjadi isu PRU Ke-13.

Pembunuhan karakter tokoh politik juga semakin ketara kebelakangan ini dengan memanipulasi media baru sehingga menimbulkan dilema nilai kepercayaan dan kebergantungan ke atas media ini sebagai saluran informasi dan maklumat yang benar dan bukan direka cipta semata-mata keinginan untuk menjatuhkan parti atau pembesar politik. Kredibiliti media baru perlu dipertahankan walaupun ada yang menyalahgunakan saluran ini.

Barangkali, selepas tiga tahun, kesemua parti akan memulakan persediaan untuk berhadapan dengan PRU Ke-13. Persediaan pembangkang sudah bermula sejak Disember dengan siri ceramah ke seluruh negara. Persediaan BN pula dijangka bermula dengan gandingan Najib dan Tan Sri Muhyiddin Yassin menjelajah ke seluruh negara.

Persediaan BN tidak memerlukan hanya Najib dan Muhyiddin turun padang tetapi pemimpin setempat sendiri dan kebanyakan isu dapat diselesaikan dengan sokongan dana kebangsaan serta mengurangkan masalah dalaman, tidak ada sebab BN tidak boleh kembali dengan prestasi lebih baik di PRUKe-13. Ia boleh bermula dengan Sarawak untuk mempertahankan majoriti dua pertiga mereka dan seterusnya membina momentum akhir sebelum PRU Ke-13.

Jatuh bangun BN bergantung kepada tahap persediaan. Kini pencapaian selama 53 tahun hanya bersifat sejarah kerana perubahan kepelbagaian penyaluran maklumat yang sukar dikawal atas nama demokrasi dan kebebasan. Yang penting, semangat 'kemuafakatan', 'kesepaduan', 'perkongsian' dan kesediaan berkompromi serta berkorban perlu ditunjukkan dengan jujur dan akhlak penuh tanggungjawab kerana ia juga merupakan kekuatan BN selama ini.

Bagi pembangkang, ia perlu menunjukkan bahawa masing-masing masih boleh bersama terutama persoalan keikhlasan DAP dan Pas dengan isu terkini tiket loteri menunjukkan masih ada perasaan curiga untuk kekal relevan jika pun ada analisis menunjukkan masing-masing mengambil sikap berhati-hati dan boleh berubah hati jika tumpas dalam PRU Ke-13.

Apakah Pas mampu kembali mendapat semula sokongan pengundi Melayu akibat kebergantungan kepada DAP dan pengundi Cina? Berbanding sebelum ini, kebelakangan ini, Pas lebih bergantung kepada DAP dari di sebaliknya, yang ketara di Merlimau dan Kerdau seolah-olah DAP yang bertanding dari calon Pas.

Politik angka dan politik perkauman akan menjadi asas congakan dalam PRU Ke-13. Selepas tiga tahun, barang kali pihak yang menyatakan budaya politik tanah air sudah melangkaui elemen perkauman perlu mencongak semula kerana nilai kaum, etnik dan agama akan terus menjadi unsur penting dalam menzahirkan politik angka kerana untuk menang, BN mahupun parti pembangkang perlu kembali semula kepada persoalan asas - faktor 'X' atau 'WOW' mengapa perlu pengundi mengundi mereka dalam PRU Ke-13?

Profesor Madya Dr. Sivamurugan Pandian

Pusat Pengajian Sains Kemasyarakatan

Universiti Sains Malaysia

Full Feed Generated by Get Full RSS, sponsored by USA Best Price.

Urbanisasi dan keperluan air

Posted:

Urbanisasi dan keperluan air

Urbanisasi dan keperluan air

Oleh Rozali Ismail

"Manusia bangga dengan inovasi dan penemuan saintifik tetapi amat mengecewakan betapa alpanya kita dalam melindungi sumber yang amat penting bagi penerusan hidup manusia iaitu air. Kini, tibalah masanya bagi kita untuk melaksanakan Pendekatan TRI iaitu taktikal, regional dan inovatif."

Tema program Hari Air Antarabangsa tahun ini ialah Water for Cities: Responding to the Urban Water Challenge. Pada tahun ini, Afrika Selatan dipilih sebagai tuan rumah dan satu konvensyen bakal diadakan di Pusat Konvensyen Antarabangsa, Cape Town pada 20 hingga 22 Mac 2011.

Tema ini bersesuaian dengan perkembangan era baru abad ke-21 yang mana pertambahan penduduk yang tinggi tertumpu di kawasan bandar. Bahagian Kependudukan Bangsa-bangsa Bersatu melaporkan jumlah penduduk dunia dijangka mencecah tujuh bilion pada tahun ini dan meningkat kepada 14 bilion menjelang 2100.

Apa yang menarik perhatian kita ialah trend pergerakan penduduk ke kawasan bandar kini bertambah dengan pesat sehingga mencecah 3.3 bilion. Ia merupakan satu rekod dalam sejarah yang mana lebih separuh daripada penduduk dunia tinggal di bandar. Menjelang tahun 2030, angka tersebut dijangka mencecah 5 bilion! Kita tidak perlu merentas jauh beribu kilometer untuk menyaksikan fenomena ini kerana pembangunan bandar raya Kuala Lumpur sudah memberi contoh yang ideal untuk menilai proses perbandaran.

Daripada jumlah yang kecil, kini penduduk di Kuala Lumpur, Putrajaya dan Selangor mencecah 7.3 juta orang.

Pembangunan ini tidak mungkin berlaku sekiranya kita tiada prasarana yang lengkap bagi menampung pertambahan penduduk dan keperluan infrastruktur perbandaran yang semakin meningkat. Antaranya ialah bekalan air yang berkualiti bagi menyokong pembangunan perindustrian yang pesat untuk muncul sebagai salah sebuah gergasi ekonomi di Asia. Saya yakin, dengan pelaksanaan Program Transformasi Ekonomi, kita akan mencapai pertumbuhan yang pesat dari segi pendapatan mahupun kependudukan.

Seiring dengan proses perbandaran yang pesat, maka dalam tempoh 15 tahun akan datang Malaysia akan menghadapi cabaran pelbagai dimensi, iaitu bandar raya, penduduk dan ekonomi. Dengan jumlah penduduk di Lembah Klang dijangka meningkat kepada 10 juta orang maka cabaran yang akan dihadapi adalah jelas bahawa permintaan sumber air akan turut meningkat dengan mendadak.

Menurut laporan Pertubuhan bagi Kerjasama Ekonomi dan Pembangunan (OECD), walaupun jumlah penduduk dunia meningkat empat kali ganda, namun peningkatan penggunaan air meningkat sembilan kali ganda. Trend ini membimbangkan para penggubal dasar kerana pada tahun 2010 sahaja, lebih daripada satu bilion penduduk dunia tidak mendapat akses sumber air bersih dan 80 peratus daripada penyakit berpunca daripada sumber air yang tidak bersih.

Malah kita akan dibelenggu oleh masalah yang lebih meruncing kerana menjelang 2030, kira-kira 3.9 bilion penduduk dunia akan mengalami masalah kekurangan air yang serius. Oleh itu, ramai berpendapat bahawa urbanisasi membawa kepada kehancuran tamadun moden manakala terdapat pihak lain yang mempersoalkan impak negatif yang timbul akibat pertumbuhan megapolis yang tidak terkawal.

Ironisnya, kesan negatif ini seringkali dikaitkan dengan kepulan asap tebal dan kerosakan alam sekitar yang menjadi penyumbang utama kepada perubahan iklim dan menjadi punca kepada masalah kekurangan bekalan air yang kian meruncing. Kita harus mengakui walaupun banyak tanggapan negatif, pusat bandar memang menjadi tumpuan pertumbuhan ekonomi.

Bagi saya, walaupun terdapat konflik antara urbanisasi, kerosakan alam sekitar dan kekurangan sumber bekalan air, tidak mustahil cabaran ini dapat diatasi secara efektif. Apa yang kita perlu terapkan adalah mengatur langkah proaktif sebagai strategi utama menangani masalah ini.

Sekiranya kita menilai pembangunan Kuala Lumpur serta bandar raya lain, cabaran utama adalah menjamin bekalan air bersih, mencukupi dan mampu dibayar penduduk. Memang sudah menjadi lumrah, bandar yang pesat berkembang maju memerlukan sumber air yang banyak walaupun hakikatnya sumbernya semakin berkurangan.

Oleh itu, bagi memastikan pembangunan bandar berterusan, pengurusan prasarana dan sumber-sumber air perlu dilakukan secara lebih pragmatik dan fokus kerana 'bandar yang ketandusan tidak akan berupaya untuk membangun'.

Bagi penggubal dasar, peniaga dan pengguna, tarif air merupakan isu yang sangat sensitif. Air sering dianggap sebagai sumber yang sentiasa ada. Oleh itu, walaupun air sangat penting tetapi ia selalu dianggap sebagai suatu komoditi yang tidak berharga atau diberi nilai yang rendah, sedangkan kos bagi mendapatkan, memproses dan menapis air adalah sangat tinggi. Tanggapan salah ini menyebabkan berlakunya pembaziran air yang menjadi lumrah rakyat di negara ini.

Tanggapan ini juga menyebabkan sektor itu kurang berkembang maju dan kurang diberi perhatian dari sudut pasaran modal dan pelaburan. Saya amat kecewa betapa orang ramai kurang kesedaran mengenai pentingnya air dan pentingnya melindungi sumber air yang amat berharga bagi penerusan hidup manusia.

Industri air bukanlah satu industri yang mudah dikendalikan ataupun murah disenggarakan. Ia melibatkan perbelanjaan berbilion ringgit.

Terdapat sesetengah pihak yang mahu supaya pemprosesan dan pengedaran air bersih dikendalikan oleh pihak kerajaan dengan perbelanjaan modal yang secukupnya. Bagaimanapun cara ini akan lebih membebankan sumber negara serta tidak selari dengan arus pembangunan ekonomi yang berlandaskan pembangunan yang dipacu sektor swasta. Justeru, bagi membolehkan industri air diurus dengan cekap dan kompetitif, persoalan mengenai kadar tarif dan bandingkannya dengan kos pemprosesan, pengurusan dan pencemaran alam sekitar serta proses penstrukturan semula air perlu diselesaikan terlebih dahulu bagi membolehkan kita maju.

Memandangkan cabaran dan masalah air di bandar adalah pelbagai dan kompleks, maka cara penyelesaian seharusnya tidak terlalu simplistik. Dalam usaha mengatasi masalah ini, kita perlu akui ada kalanya keperluan sosial perlu dikompromi dengan matlamat ekonomi secara amnya, begitu juga sebaliknya.

Bagi melihat isu, masalah dan cabaran dalam industri air dengan lebih luas, serta strategi mengatasinya, saya menggunakan kaedah yang mengambil sempena kekunci nama saya iaitu Kaedah TRI – taktikal, regional dan inovasi.

Kita harus sedar bahawa perbandaran adalah satu fasa pembangunan yang tidak boleh dipinggirkan untuk mencapai aspirasi kerajaan sebagai sebuah ekonomi berpendapatan tinggi menjelang tahun 2020.

Dalam hal ini, kita perlu menggunakan langkah taktikal. Antara lain kita memerlukan perancang bandar yang berwawasan yang akan mengambil kira keperluan masa depan penduduk kawasan bandar – pemuliharaan air, alam sekitar, kualiti udara, kemudahan penjagaan kesihatan, pelupusan sampah dan lain-lain. Langkah taktikal sedemikian amat penting supaya bandar-bandar kita terus lestari dan mesra alam.

Usaha bagi memastikan bekalan air bersih berterusan dan murah adalah melampaui batasan sesebuah bandar raya dan wilayah. Untuk ini, kita perlu meneroka ke tahap wilayah kerana sumber air mengalir merentasi beberapa negeri, daerah dan jajahan. Pendekatan secara kolektif merangkumi kawasan luas yang memerlukan penglibatan pemegang-pemegang kepentingan di sesebuah wilayah dan lembah sungai yang memainkan peranan dalam mengurus sumber air.

Dalam hal ini, penglibatan kerajaan negeri adalah penting bagi mendapatkan kaedah yang cekap dalam penggubalan dasar dan pengurusan air secara kolektif dan telus serta menyusun strategi inovasi teknologi dan insentif kewangan.

Selain itu, saya juga melihat kurangnya idea-idea inovatif dalam industri ini, terutamanya dalam meningkatkan pasaran modal bagi tujuan pembiayaan. Sehingga kini, kita masih mencari kaedah terbaik bagi meningkatkan kecekapan sektor air dan merangsang pasaran modal serta kemasukan pelaburan ke dalam sektor ini.

Dalam hal ini, saya fikir kita ketandusan idea radikal dan inovatif yang boleh menggerakkan sektor swasta seperti yang ada dalam Facebook atau Google dan sekiranya kita berjaya melakukan ini, sudah pasti ia dapat direplikasi dalam industri air untuk mencapai pembangunan yang lebih pesat. Bagi mengatasi cabaran-cabaran ini, pendekatan TRI hanyalah sebagai landasan tetapi industri air perlukan suntikan pendekatan secara kolektif. Ia bukan hanya memerlukan inovasi dalam pengurusan, pembangunan dan pentadbiran sumber air tetapi perlu penglibatan sektor awam dan swasta secara aktif.

Ia juga memerlukan proses inovatif bagi meningkatkan kecekapan melalui keadaan pasaran yang kondusif seperti insentif kewangan, bantuan teknikal, latihan bagi tenaga kerja mahir, rangka perundangan dan piawaian yang baru.

Saya percaya, isu dan masalah yang berlarutan hingga ke hari ini adalah disebabkan kurang pendekatan secara bersepadu. Seperti sebuah pelan pembangunan, apabila kita bekerjasama dan mengenal pasti cara-cara untuk menyambung noktah-noktah dalam pelan tersebut, penyelesaian masalah secara holistik akan dapat menghuraikan pelbagai isu yang kompleks.

Jika langkah proaktif tidak dibuat dari sekarang, saya yakin industri air dan yang berkaitan dengannya akan terus mundur dan kita akan menghadapi masalah kekurangan bekalan air bersih walaupun hujan sentiasa turun membasahi bumi Malaysia yang kita cintai ini.

Tan Sri Rozali Ismail ialah Pengerusi

Eksekutif Puncak Niaga Holdings Berhad

Full Feed Generated by Get Full RSS, sponsored by USA Best Price.

Tiada ulasan:

Catat Komen