Ahad, 6 Mac 2011

Harian Metro: BeritaUtama

Harian Metro: BeritaUtama


Goda pengunjung kafe

Posted: 05 Mar 2011 11:55 AM PST

AHSIA... tawar khidmat seks kepada kaki judi yang menang besar.
AHSIA... tawar khidmat seks kepada kaki judi yang menang besar.

PENAMPANG: Seorang gadis penjaga kafe siber judi haram bukan saja menjadikan premis tempatnya bekerja sebagai punca pendapatan, malah bijak mencari wang saku tambahan apabila turut menawarkan perkhidmatan seks secara rahsia kepada kaki judi yang 'menang besar' pada hari itu.

Tindakan tidak bermoral gadis berusia 19 tahun itu dipercayai dilakukan secara tersembunyi bagi mengelak diketahui majikannya.

Gadis berkenaan yang hanya mahu dikenali sebagai Ahsia pada awalnya terkejut ketika wartawan Metro Ahad yang menyamar sebagai kaki judi mengajukan pertanyaan itu dan dia menafikan sekeras-kerasnya wujud perbuatan sebegitu di kafe berkenaan.

Namun selepas dipujuk dan menunjukkan 'imbuhan' diterima selepas mendakwa menang berjudi di tempat lain, dia akhirnya mengaku menawarkan perbuatan itu dan meminta ia dirahsiakan.


"Kerja di kafe tidak menjanjikan pendapatan lumayan dan saya hanya dibayar gaji sekitar RM300 sebulan selain terpaksa bekerja sehingga awal pagi hampir setiap hari.


"Ketiadaan majikan yang pulang ke rumah sekitar jam 11 malam membolehkan saya mengambil kesempatan menjalankan 'aktiviti sampingan' ini dengan mana-mana lelaki yang memenangi pertaruhan pada hari itu," katanya.

Ahsia berkata, apabila menyedari ada pelanggan menang besar, dia akan cuba mendekati lelaki berkenaan sebelum menawarkan perkhidmatan seks.

"Lelaki yang menang besar biasanya tidak berkira atau menolak tawaran melakukan hubungan seks, walaupun dalam tempoh singkat.

"Biasanya, kami melakukan hubungan seks di tandas atau di mana-mana lokasi di dalam premis ini selepas semua pelanggan pulang," katanya.

Menurut Ahsia, lelaki yang berjaya dijeratnya juga sanggup menunggu sehingga kafe ditutup.

"Saya hanya perlu menggoda mereka yang kebanyakannya asyik berseronok apabila pertaruhan mereka mengena.

"Jika tahu lelaki yang bakal diperangkap ini menang besar, saya menawarkan harga RM300 manakala bagi pelanggan biasa, mereka hanya perlu membayar RM200 untuk sekali perkhidmatan," katanya.

Menurut Ahsia, lewat malam adalah masa sesuai mencari 'mangsa' berikutan waktu itu kaki judi mula mengunjung kafe untuk bertaruh nasib.

"Ada juga kaki judi sudah berkahwin tetapi masih mahukan perkhidmatan ini, malah mereka menawarkan wang lebih jika saya bersetuju mengikut pulang ke rumah.

"Kebanyakan kaki judi yang berkunjung ke kafe ini bukan golongan kaya tetapi selepas memenangi beberapa pertaruhan, wang itulah yang digunakan untuk membayar khidmat seks ditawarkan," katanya.

Ahsia tidak menafikan mampu meraih RM3,000 hingga RM5,000 sebulan, bergantung kepada bilangan kaki judi yang berjaya dipikat.

Menceritakan bagaimana dia terjebak dalam perbuatan itu, Ahsia berkata, dia mulanya bekerja sebagai pelayan di restoran dan bosan apabila sering tidak cukup wang untuk membeli barang berjenama seperti rakan lain.

"Melihat keadaan saya yang sentiasa merungut, seorang rakan serumah menawarkan saya bekerja sebagai penjaga kafe sepertinya.

"Ketika itu saya kurang yakin dengan pekerjaan ini dan beranggapan gaji diterima sama seperti bekerja di restoran.

"Namun, rakan meyakinkan saya supaya mencuba dulu pekerjaan ini, termasuk mengajar cara mendapatkan wang tambahan," katanya.

Ahsia berkata, selepas berfikir panjang, akhirnya dia menerima tawaran bekerja di pusat judi siber dan menawarkan khidmat seks seperti diajar rakannya.

"Lama-kelamaan, saya mendapati pendapatan lebih berbaloi kerana selain mendapat gaji tetap setiap bulan, saya memperoleh pendapatan sampingan yang diberi pelanggan,'' katanya.

Ahsia berkata, walaupun majikan tidak tahu perkara itu, secara tidak langsung tawaran khidmat seks menjadikan kafe berkenaan dikunjungi ramai pelanggan.

"Kewujudan banyak kafe judi siber menyebabkan persaingan menjadi sengit untuk majikan mencari dan mengekalkan pelanggan sedia ada," katanya.

Full Feed Generated by Get Full RSS, sponsored by USA Best Price.

Mati diserang gajah

Posted: 05 Mar 2011 11:46 AM PST

GUA MUSANG: Cubaan seorang pemilik kebun getah menghalau sekumpulan enam gajah liar yang memasuki kebunnya menggunakan mercun bola berakhir dengan tragedi apabila dia 'mati terduduk' selepas diserang seekor daripada gajah itu.

Dalam kejadian kira-kira jam 1 petang di Kampung Serian Batu 11, di sini, kelmarin, Lee Mat Hassan, 46, dikatakan sempat menghubungi ahli keluarganya sebelum ditemui mati oleh abangnya, Che Mohd Zi, 52, dalam keadaan terduduk di sebatang pokok dan cedera parah di kepala, pada jam 2.30 petang.

Ini kejadian kedua membabitkan tragedi serangan gajah dalam tempoh tiga bulan selepas seorang pemuda, Muhamad Adnan Iberahim, 26, menemui ajal apabila dipijak sekumpulan gajah liar di Hutan Bering, dekat Pos Pasik, di sini, ketika mencari buah keranji bersama empat rakannya, Disember lalu.

Menurut Che, ketika kejadian, adiknya yang menetap di Kampung Kala, di sini, ke kebun getah miliknya bersama seorang rakan untuk meracun semak sebelum terserempak dengan sekumpulan enam gajah liar, termasuk seekor ibu gajah bersama anaknya, memasuki kebunnya.


Katanya, adiknya cuba menghalau kumpulan gajah berkenaan menggunakan sebiji mercun bola dengan melemparnya ke arah seekor anak gajah, tetapi tindakan itu membuatkan ibu anak gajah itu naik minyak lalu menyerangnya.


"Rakannya sempat melarikan diri, tetapi adik saya tidak sempat berbuat apa-apa. Ibu gajah itu dikatakan mencengkam adik saya menggunakan belalai sebelum menghumbannya ke arah sebatang pokok.

"Adik saya dikatakan sempat menghubungi ahli keluarganya, namun panggilan dibuat tidak berjawab. Saya bergegas ke tempat kejadian selepas diberitahu rakannya yang berjaya menyelamatkan diri dan menemuinya dalam keadaan cedera parah di kepala, manakala tangannya menutup muka yang lebam di sebatang pokok," katanya.

Che berkata, dia turut hampir menjadi mangsa serangan gajah kerana ketika tiba di tempat kejadian, ibu gajah itu masih berlegar-legar di situ bersama anaknya.

"Saya memang nampak gajah dua beranak itu berada tidak jauh dari mayat adik saya, namun tidak menyangka ia masih naik minyak dan cuba menyerang saya. Dalam keadaan kelam kabut, saya sempat menyelamatkan diri.

"Saya hanya sempat menutup mayat Lee dengan baju yang saya pakai sebelum melaporkan kejadian itu kepada Jabatan Perlindungan Kehidupan Liar dan Taman Negara (Perhilitan) Gua Musang," katanya.

Sepasukan lima anggota jabatan itu diketuai Ketua Perhilitan Daerah Gua Musang, Nor Eliana Muda bergegas ke tempat kejadian pada jam 2.45 petang untuk menghalau gajah berkenaan sebelum membawa mayat mangsa keluar jam 5.30 petang.

Menurut Che, adiknya memang kerap ke kebun getah untuk mengawasinya daripada dimusnahkan sekumpulan gajah yang kerap memasuki kawasan berkenaan.

Katanya, tahun lalu saja banyak pokok getah milik adiknya yang baru berusia tiga tahun musnah angkara gajah.

"Adik saya pernah pergi bersendirian ke kebun getahnya pada jam 4 pagi untuk menghalau sekumpulan gajah kerana tidak mahu menanggung kerugian berulang kali.

"Tak sangka pula dia diserang gajah sehingga menemui ajalnya," katanya.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah, Superintendan Saiful Bahri Abdullah ketika dihubungi mengesahkan kejadian itu dan siasatan lanjut dijalankan.

Katanya, mayat mangsa dihantar ke Hospital Gua Musang untuk bedah siasat sebelum diserahkan kepada keluarganya lewat malam kelmarin dan dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Kampung Kala, pagi semalam.

Full Feed Generated by Get Full RSS, sponsored by USA Best Price.

Tiada ulasan:

Catat Komen