Jumaat, 25 Mac 2011

Berita Harian: Wilayah

Berita Harian: Wilayah


Badi Solok Serompong

Posted: 24 Mar 2011 03:54 PM PDT

Wilayah

PERSIMPANGAN Solok Serompong di Jalan Kampung Tun Razak-Tehel kerap berlaku kemalangan membabitkan penduduk kampung.

PERSIMPANGAN Solok Serompong di Jalan Kampung Tun Razak-Tehel kerap berlaku kemalangan membabitkan penduduk kampung.

Penduduk dakwa jalan terlalu gelap punca kerap kemalangan

BUKIT KATIL: Sejak mula dibuka kepada orang ramai empat tahun lalu, Jalan Kampung Tun Razak-Tehel menjadi laluan menggerunkan bagi kira-kira 200 keluarga di Kampung Tehel kerana kerap berlaku kemalangan terutama di Persimpangan Solok Serompong.

Penduduk mendakwa masalah itu berlaku disebabkan laluan di situ sangat gelap pada waktu malam gara-gara tidak mempunyai kemudahan lampu jalan, selain pemandu kenderaan sentiasa dikesan memandu laju.

Mereka berharap pihak berkuasa mengambil tindakan susulan segera dengan memasang lampu, selain memasang lampu isyarat dan tanda amaran lain bagi mengingatkan pengguna supaya sentiasa berhati-hati bila melalui kawasan itu. Penduduk, Sahari Ibrahim, 87, berkata rungutan masyarakat di situ berhubung masalah berkenaan wujud sejak laluan berkenaan dibuka kira-kira empat tahun lalu dan ia berterusan hingga sekarang.

Katanya, kebanyakan kemalangan di situ berpunca daripada pemandu memandu laju dari kedua-dua arah melalui Jalan Kampung Tun Razak-Tehel hingga tidak sempat mengelak orang ramai yang melintasi jalan di situ akibat cuaca gelap.

"Masalah laluan ini gelap bukan lagi rahsia, malah hampir semua penduduk dan orang ramai yang pernah melalui kawasan ini sedar keadaan itu. Lampu yang disediakan pihak berkuasa di kawasan persimpangan tertentu saja.

"Pernah berlaku kematian akibat kemalangan di laluan ini terutama di persimpangan Solok Serompong sehingga menyebabkan penduduk melabelkannya 'persimpangan maut," katanya.
Sahari berkata, sebelum ini penduduk kampung pernah menyuarakan masalah berkenaan tetapi sehingga kini tiada tindakan memasang lampu di sepanjang jalan terbabit.

"Pemasangan lampu di sepanjang laluan itu penting bagi memudahkan semua pengguna termasuk penduduk di kampung berkenaan yang menggunakan kemudahan itu pada waktu malam," katanya.

Sementara itu, Zaidah Abu Bakar, 42, pula berkata, setiap hari penduduk kampung yang melintasi Persimpangan Solok Serompong terdedah kepada bahaya terutama pelajar yang berulang-alik ke sekolah berhampiran.

"Saya melalui persimpangan itu setiap hari untuk menghantar anak ke Sekolah Kebangsaan (SK) Tehel dengan menunggang motosikal dan apabila melalui persimpangan, kita perlu lebih berwaspada kerana pemandu kenderaan yang melalui jalan utama sentiasa memandu laju kerana tiada sebarang tanda amaran kawasan kampung dipasang," katanya.

Zaidah berharap pihak bertanggungjawab memasang lampu isyarat di Persimpangan Solok Serompong bagi mengelak kemalangan berulang.

"Selain itu, garisan amaran kuning dan papan tanda had kelajuan kawasan kampung perlu dipasang supaya pemandu kenderaan dapat mengurangkan kelajuan apabila tiba di sini," katanya.


Full Feed Generated by Get Full RSS, sponsored by USA Best Price.

Terima kasih BN

Posted: 24 Mar 2011 03:51 PM PDT

Wilayah

Penduduk Skim Skrang nikmati manfaat pembangunan di bawah pimpinan BN

SRI AMAN: Sebelum berpindah ke penempatan semula Skim Skrang di Engkilili di sini, lebih 40 tahun lalu, kehidupan penduduk yang tinggal di perkampungan berdekatan sempadan Malaysia-Indonesia di Nanga Delok, Lubok Antu, cukup daif.

Rutin harian mereka hanya mengusahakan tanaman padi dan ubi kayu untuk menyara keluarga, selain memburu haiwan liar dan menahan bubu untuk menangkap ikan, manakala kediaman mereka pula hanya diperbuat daripada buluh dan daun rumbia.

Apabila konfrontasi tercetus pada 1962, keselamatan penduduk pribumi yang tinggal di sempadan turut terancam, namun mereka bernasib baik kerana kerajaan bertindak pantas memindahkan mereka ke penempatan baru yang jauh dari sempadan bagi memastikan mereka tidak menjadi mangsa tentera negara jiran yang menceroboh. Kini, kehidupan masyarakat Iban yang dipindahkan dari sempadan itu sudah jauh berubah. Mereka sudah mampu menikmati kehidupan selesa dengan semua kemudahan infrastruktur yang sempurna diterima.

Salah seorang daripada mereka, Singkot anak Badi, 72, berkata mereka mengambil keputusan tepat dengan menerima tawaran kerajaan untuk berpindah sekitar 1964.

Beliau berkata, kerajaan menyediakan kediaman kepada mereka di skim penempatan semula itu dan menyediakan pekerjaan kepada mereka sebagai buruh untuk membuka hutan di kawasan Skrang.

"Pada mulanya kami hidup aman damai di Nanga Delok. Kami bebas masuk hutan untuk memburu dan mencari sayuran liar, tetapi apabila konfrontasi tercetus, kehidupan kami mula berubah.
"Keselamatan kami mula terancam. Mujurlah kerajaan ketika itu cepat bertindak dan memindahkan kami ke tempat lain yang kini terus menjadi kampung kami," katanya.

Singkot berkata, selepas 47 tahun perkampungan mereka semakin berkembang dan kini wujud lebih 10 rumah panjang di kawasan berkenaan dengan penduduk hampir 2,000 orang.

Seorang lagi generasi pertama yang berpindah dari sempadan itu, Serit anak Kanchau, 65, pula berkata ekonomi penduduk kini semakin meningkat sejak mereka menyertai skim penanaman kelapa sawit yang dikendalikan Lembaga Perlindungan dan Pemulihan Tanah Sarawak (SALCRA).

Katanya, generasi kini bertuah kerana menerima semua kemudahan yang disediakan kerajaan berbanding mereka yang meneroka penempatan semula itu dulu.

"Ketika mula berpindah ke sini, kami ditempatkan di sebuah rumah panjang sementara yang serba kekurangan.

"Tetapi di sini kami mula mengubah cara hidup daripada bergantung kepada hasil buruan dan tanaman sara diri untuk hidup, kami mula bekerja makan gaji apabila kami mengambil upah menebas hutan untuk dibuka sebagai kawasan pertanian," katanya.

Serit berkata, generasi hari ini harus berterima kasih kepada kerajaan kerana jika mereka terus tinggal di sempadan, kehidupan mereka tidak mungkin selesa seperti sekarang.

"Sekarang ini, kampung kami terletak di tepi jalan raya utama yang menghubungkan semua bahagian di Sarawak. Kita sepatutnya berterima kasih kepada kerajaan yang memindahkan kita ke sini dulu," katanya.


Full Feed Generated by Get Full RSS, sponsored by USA Best Price.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan