Khamis, 10 Mei 2012

Kosmo Online

Kosmo Online


Loji terbakar: Seorang maut, sembilan cedera

Posted:

Loji terbakar: Seorang maut, sembilan cedera

Loji terbakar: Seorang maut, sembilan cedera

10/05/2012 10:15pm

DUNGUN – Seorang pekerja kontrak maut dan sembilan lagi cedera dalam kebakaran di pusat pemprosesan gas di Loji Pemprosesan Gas (GPP) dalam kawasan Kompleks A milik Petronas di sini, hari ini.

Pekerja itu, Rosli Mansor, 31, disahkan meninggal dunia di tempat kejadian dalam kebakaran kira-kira 3 petang itu, menurut kenyataan Petronas Gas Berhad (PGB).

Menurut kenyataan itu, jenazah Rosli yang berasal dari Kuala Terengganu dihantar ke Hospital Kemaman untuk bedah siasat.

Seorang lagi pekerja Mohd Zamri Fithri Mat Nor, 25 berasal daripada Padang Pulut di sini yang mengalami kecederaan parah dengan 90 peratus bahagian badannya melecur, dihantar ke Hospital Sultanah Nur Zahirah untuk rawatan lanjut.

Lapan lagi pekerja yang cedera dirawat di Hospital Kemaman dan Hospital Dungun.

Menurut PGB, kesemua mangsa merupakan kakitangan kontraktor, Hyundai PFCE, yang sedang menjalankan kerja menyenggara di loji berkenaan.

Menurut kenyataan itu, kebakaran berjaya dikawal sepenuhnya kira-kira 3.30 petang. – BERNAMA

Lima pelajar dibenarkan cabar keputusan KUIN

Posted:

Lima pelajar dibenarkan cabar keputusan KUIN

Lima pelajar dibenarkan cabar keputusan KUIN

10/05/2012 10:12pm

KUALA LUMPUR – Mahkamah Tinggi membenarkan permohonan semakan kehakiman yang difailkan lima pelajar Kolej Universiti Insaniah (KUIN) untuk mencabar keputusan kolej itu yang menggantung pengajian mereka selepas didapati bersalah melakukan kesalahan tatatertib.

Hakim Abang Iskandar Abang Hashim dalam penghakimannya berkata, keputusan Jawatankuasa Tatatertib Pelajar KUIN perlu dibatalkan kerana ia adalah melampaui kuasa (ultra vires) Akta Institusi Pendidikan Tinggi Swasta 1996 (Akta 555).

Mohd Faiz Mohd Arshad, 25; Muhamad Aiman Che Abdul Razab, 23; Mohd Azlan Mat Zain, 32; Ahmad Remi Mohd Arof, 25; dan Zulkhilatiff Marzukhi, 26, memfailkan permohonan itu pada 15 Ogos 2011 di pejabat pendaftar Mahkamah Tinggi di sini.

Mereka mendakwa pada 26 Mei 2011, Jawatankuasa Tatatertib Pelajar telah memutuskan mereka bersalah melakukan kesalahan tatatertib dan keputusan itu dikekalkan oleh Jawatankuasa Rayuan Tatatertib Pelajar pada 6 Julai 2011.

Keputusan jawatankuasa itu juga menyebabkan Mohd Faiz digantung pengajian dan semua kemudahan kolej selama dua semester, manakala rakannya yang lain digantung pengajian selama satu semester.

Media sebelum ini melaporkan mereka digantung pengajian kerana terlibat dalam demonstrasi membantah tindakan pihak pengurusan kolej mengambil bangunan asrama untuk dijadikan Sekolah Bestari Insan. – BERNAMA

Lelaki dilapor hilang di Taman Rimba Templer

Posted:

Lelaki dilapor hilang di Taman Rimba Templer

Lelaki dilapor hilang di Taman Rimba Templer

10/05/2012 7:57pm

KUALA LUMPUR – Seorang eksekutif sebuah syarikat cari gali minyak dan gas tempatan dilaporkan hilang selepas keluar mendaki bukit di Hutan Taman Rimba Templer, Rawang, dekat sini, petang semalam.

Hardip Singh, 51, dipercayai hilang kira-kira 5.30 petang selepas memberitahu keluarganya ingin keluar mendaki bukit secara bersendirian.

Sepupu mangsa, Mohinder Singh, 43, berkata, keluarga Hardip membuat laporan di Balai Polis Selayang pagi tadi dan pasukan mencari dan menyelamat berusaha mengesan lelaki itu sejak 2.30 petang tadi.

Pasukan penyelamat yang terdiri daripada unit anjing pengesan K9, bomba dan renjer hutan digerakkan untuk mengesan mangsa, dan setakat 5.30 petang, usaha mencari masih diteruskan, katanya ketika dihubungi Bernama hari ini.

Mohinder Singh berkata, hujan lebat sejak semalam sedikit sebanyak menyukarkan usaha mencari mangsa yang telah hilang lebih 24 jam.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Gombak, ACP Abd Rahim Abdullah ketika dihubungi, mengesahkan menerima laporan daripada keluarga mangsa.

"Kita percaya mangsa sesat di hutan tersebut, kerana mangsa pergi secara bersendirian," katanya. – BERNAMA

Tiada ulasan:

Catat Ulasan