Jumaat, 11 Mei 2012

Harian Metro: Setempat

Harian Metro: Setempat


Terpaku lihat adik lemas

Posted: 10 May 2012 01:32 PM PDT

BUKIT BERUNTUNG: "Saya amat sedih dengan kejadian menimpa adik saya yang lemas dan tidak mampu berbuat apa-apa untuk menyelamatkannya," kata Mohd Rohaimin Noor Azlee, 19, menceritakan detik cemas melihat adiknya, Mohd Rizal, 18, tenggelam ketika mereka memukat ikan di sebuah bekas lombong berhampiran Taman Adenium, di sini.

Menurutnya, kejadian berlaku jam 2 pagi kelmarin ketika dia bersama arwah dan empat rakan berumur 18 hingga 20 tahun pergi ke lombong berkenaan untuk memancing dan memukat ikan.


Katanya, mereka pergi selepas selesai bekerja sebagai pelayan di restoran di Bandar Bukit Sentosa, jam 1 pagi kelmarin.

"Saya dan seorang rakan berada atas tebing lombong ketika arwah bersama tiga rakan lain memukat ikan dalam bekas lombong timbus sedalam satu meter itu.


"Saya melihat arwah tenggelam sedikit demi sedikit dalam cahaya malap pagi itu. Bagaikan terpaku, saya tidak sempat menyelamatkannya," katanya ketika ditemui di sini, semalam. Sementara itu, Penolong Kanan Pengusaha Bomba dan Penyelamat Hulu Selangor, Abd Latif Mohd Noor berkata, mereka menerima panggilan kecemasan pada jam 8.45 pagi daripada majikan mangsa.


Katanya, 25 anggota dikejarkan ke tempat kejadian untuk gerakan mencari dan menyelamat mangsa yang dilaporkan tenggelam dalam lombong itu.

"Usaha menyelamat dibantu polis dan penduduk yang tiba sejak awal pagi kelmarin," katanya.


Menurutnya, anggota bomba daripada Unit Skuba, Balai Bomba dan Penyelamat Shah Alam turut membantu.

Mayat mangsa dihantar ke Hospital Kuala Kubu Bharu, jam 5.25 petang semalam.




Terbiar lepas 80% siap

Posted: 10 May 2012 01:29 PM PDT

KLANG: "Dulu, pemaju menjalankan projek ini dengan lancar hingga menyiapkan hampir 80 peratus dan keadaan ini meyakinkan pembeli untuk menduduki rumah berkenaan dalam masa terdekat.

"Tetapi, sejak tiga tahun kebelakangan ini, projek terbabit seperti terhenti dan terbengkalai," kata pembeli projek perumahan Pangsapuri Anggerik di sini, semalam.


Mereka mendakwa pemaju bersikap lepas tangan dan mereka ditipu serta teraniaya dengan tindakan pemaju selepas gagal menyiapkan pangsapuri berkenaan dalam masa ditetapkan.

Pengerusi Persatuan Pembeli Pangsapuri Anggerik, Fauzi Mohd Nor berkata, projek pembinaan pangsapuri itu bermula pada 2002 dan pemaju sepatutnya menyiapkan 200 rumah dalam masa tiga tahun.


Bagaimanapun, katanya, projek itu sehingga sekarang tidak disiapkan dan 20 peratus lagi untuk disiapkan.


Fauzi berkata, akibat kegagalan pemaju menyiapkan rumah itu pembeli menyewa rumah lain dan membayar hutang bank bagi pembelian pangsapuri berkenaan.




Tiada ulasan:

Catat Ulasan