Selasa, 8 Mei 2012

Harian Metro: Setempat

Harian Metro: Setempat


Naik bumbung

Posted: 07 May 2012 10:45 AM PDT

BATANG KALI: "Air deras merempuh rumah saya menyebabkan dinding roboh. Saya, anak dan cucu terkejut melihat air naik tinggi segera ke dapur lalu memanjat tangga besi untuk naik ke bumbung.

"Bimbang keselamatan dua cucu perempuan, saya menjerit meminta tolong sebelum saudara dan pasukan bomba memasang tali untuk menyelamatkan kami," kata Nuriah Mohamad, 59, mangsa banjir lumpur yang menyebabkan 14 kampung di sini, terjejas teruk.


Difahamkan, hujan lebat tanpa henti bermula jam 1 pagi semalam menyebabkan air Sungai Batang Kali melimpah sehingga menyebabkan lebih 150 keluarga dipindahkan.

Nuriah yang tinggal di Kampung Genting Malik bersama lima anak serta dua cucu perempuan berusia lapan dan 12 tahun mendakwa mengalami kerugian besar selain tinggal sehelai sepinggang selepas rumah peninggalan arwah moyangnya itu rosak teruk akibat banjir sedalam dua meter.


"Saya dikejutkan jiran yang datang ke rumah jam 5 pagi memberitahu banjir dan minta menyelamatkan barangan sebelum dihanyutkan.


"Namun, ketika kami mahu mengangkat barang berharga, saya dengar dentuman kuat. Rupa-rupanya dinding rumah roboh dan air mula naik tinggi," katanya ketika ditemui di tempat kejadian, semalam.

Timbalan Pengarah Operasi Jabatan Bomba dan Penyelamat Selangor, Mohd Sani Harul yang ditemui di tempat kejadian berkata, pihaknya menerima panggilan jam 4.55 pagi sebelum jentera dari tiga Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) iaitu Kuala Kubu Bharu, Rawang dan Batu Arang bergegas ke tempat kejadian.


"Selain itu, kami mendapat bantuan daripada bomba sukarela, polis, Jabatan Pertahanan Awam Malaysia (JPAM) dan Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM).

"Seramai 109 anggota terbabit bertugas bagi kerja menyelamat dan menghulurkan bantuan kepada lebih 150 keluarga di 14 kampung yang dilanda banjir," katanya.




Atap rumah diterbang ribut

Posted: 07 May 2012 10:42 AM PDT

KLANG: Angin kencang dan hujan lebat tiga jam bermula jam 2.30 pagi semalam, menyebabkan bumbung rumah dan lebih 15 pokok di bandar ini dan beberapa kawasan di Bandaraya Shah Alam diterbangkan angin dan tumbang.

Beberapa rumah di pinggir Sungai Klang terutama di Bukit Badak, di sini, terjejas teruk apabila ada antara bumbung rumah diterbangkan sejauh 20 meter manakala banjir kilat turut berlaku membabitkan Taman Desa Kemuning di Shah Alam menyebabkan pelajar gagal ke sekolah apabila laluan utama ditenggelami air.


Seorang mangsa di Bukit Badak, Ahmad Shahrin Mad Arus, 43, berkata, bumbung rumahnya diterbangkan angin kira-kira 20 meter dalam kejadian jam 3.15 pagi, semalam.

"Kejadian berlaku ketika kami sekeluarga tidur nyenyak, tetapi apabila terdengar bunyi kuat sebelum menyedari sebahagian bumbung rumah kami diterbangkan angin.


"Sebahagian ruang dapur dimasuki air kerana hujan lebat. Namun, kami bersyukur tidak cedera dalam bencana ini," katanya.


Ahmad Sahrin berkata, kejadian ribut itu paling teruk pernah dialami keluarganya sejak mendiami kawasan itu lebih 20 tahun lalu.




Tiada ulasan:

Catat Ulasan