Sabtu, 12 Mei 2012

Harian Metro: BeritaUtama

Harian Metro: BeritaUtama


2 madu pegang amanat

Posted: 11 May 2012 03:18 PM PDT

BATU PAHAT: Walaupun suami mereka sudah enam tahun meninggal dunia, dua wanita warga emas yang hidup bermadu tetap selesa tinggal sebumbung di rumah perlindungan Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) di Kampung Muhibbah, Jalan Peserai Lama, di sini.

Keikhlasan dua wanita itu membuktikan persefahaman utuh antara mereka yang terjalin sejak puluhan tahun lalu ketika tinggal bersebelahan di rumah panjang tanpa bilik di Batu 3, Tanjung Labuh, dekat sini, ketika suami masih hidup.

Berbekalkan beberapa petua, kedua-dua madu itu bukan saja mengelak perselisihan faham, malah hidup bahagia sejak berkahwin walaupun dihimpit kemiskinan.

Jainah Diso, 61, isteri pertama arwah Abdul Aziz Asot berkata, arwah suami berpesan supaya mereka saling menjaga diri masing-masing dan hidup bersama tanpa mengira keadaan susah atau senang.


Menurutnya, sejak arwah suami memberitahu hasrat berkahwin dengan seorang wanita dari Minyak Beku, di sini, pada pertengahan 1980-an, dia menerima berita itu dengan reda.

Dapatkan akhbar Harian Metro untuk berita selanjutnya.




Ingat 7 prinsip!

Posted: 11 May 2012 03:18 PM PDT

KUALA LUMPUR: Datuk Seri Najib Razak semalam menggariskan tujuh prinsip yang perlu bermain di minda rakyat apabila mahu membuat penilaian dan pertimbangan siapa paling layak mentadbir negara ini selepas Pilihan Raya Umum (PRU) ke-13 akan datang.

Sambil berseloroh yang beliau mahu mengadap Yang di-Pertuan Agong, Tuanku Abdul Halim Mua'dzam Shah hari ini, Presiden Umno itu berkata, beliau tidak menjangka Stadium Nasional Bukit Jalil dipenuhi 'lautan merah' penyokong Umno umpama perlawanan akhir bola sepak.


"Umno sudah berusia 66 tahun, hampir tujuh dekad, bahang pilihan raya sudah dirasai dan ramai sudah demam pilihan raya.

"Di sini, saya mahu supaya kita semua berfikir bila sampai masanya nanti, prinsip yang pertama, antara Barisan Nasional (BN) dengan pembangkang, yang mana satu kepimpinannya boleh dipercayai dan janji ditepati? "Siapa bagi BR1M (Bantuan Rakyat 1Malaysia), baucar buku, bantuan murid sekolah, bantuan peneroka Felda, Kedai Rakyat 1Malaysia, Klinik Rakyat 1Malaysia, prasarana negara dan siapa yang buat segalanya kalau bukan BN," katanya pada Majlis Perhimpunan Ulang Tahun Umno ke-66 di Stadium Nasional Bukit Jalil, di sini, malam tadi.


Hadir sama, Datin Seri Rosmah Mansor, Timbalan Presiden Umno, Tan Sri Muhyiddin Yassin dan mantan Presiden Umno, Tun Dr Mahathir Mohamad.


Perdana Menteri berkata, prinsip kedua ketika mahu memilih nanti ialah siapa dapat tentukan bahawa esok lebih baik daripada hari ini.

"Ketiga, siapa yang mempertahankan keluhuran Perlembagaan, kedaulatan undang-undang, kesucian Islam, kedudukan raja-raja Melayu dan hak kaum lain.


"Keempat, siapa boleh menguruskan ekonomi dengan baik sehingga mencapai pertumbuhan yang memberansangkan," katanya di hadapan kira-kira 100,000 ahli dan penyokong Umno yang hadir dari seluruh negara.

Najib berkata, prinsip kelima ialah siapa mampu menjanjikan perpaduan dan keharmonian kaum selama ini.


"Keenam, siapa yang melaksanakan pembaharuan, penambahbaikan yang tersusun dan transformasi. Terakhir, siapa yang memakmurkan negara sehingga dengan izin Allah akan menjadi sebuah negara maju dan berpendapatan tinggi," katanya.


Selain itu, beliau turut menempelak pihak pembangkang kononnya lebih demokratik dan terbuka, tetapi bersikap sebaliknya apabila dikritik pemimpin sendiri.


"Sebenarnya Umno lebih demokratik berbanding pihak sebelah sana, ada namanya parti demokratik tetapi tiada demokrasi pun apabila pemimpin parti yang mengkritik jangan berdemonstrasi tapi lebih baik berhimpun dalam stadium, jawatan senatornya tidak disambung.


"Ada pemimpin parti yang satu lagi, tak peduli ibu kandung sendiri (tetapi) Umno pula dipersalahkan.


"Justeru itu, tuan-tuan jangan kita terpalit sandiwara pihak lawan. Biar putih tulang jangan rakyat dan bangsa berputih mata," katanya.


Pada majlis itu juga, dua individu dianugerahkan Tokoh Melayu Terbilang Umno 2012 masing-masing Tan Sri Arshad Ayub, 84, dan Khalidah Adibah Amin atau lebih dikenali sebagai Adibah Amin, 76, atas sumbangan mereka kepada negara.




Tiada ulasan:

Catat Ulasan