Rabu, 9 Mei 2012

Berita Harian: Nasional

Berita Harian: Nasional


Haniff ketuai panel bebas siasat BERSIH

Posted: 09 May 2012 04:40 PM PDT

Nasional

Majlis Peguam, SUHAKAM tiada dalam senarai 6 ahli

PUTRAJAYA: Kerajaan semalam mengumumkan senarai enam ahli Panel Penasihat Bebas dipengerusikan bekas Ketua Polis Negara, Tun Haniff Omar bagi menyiasat kejadian rusuhan ketika perhimpunan BERSIH 3.0 di ibu negara pada 28 April lalu.

Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Hishammuddin Hussein, berkata panel itu akan mengadakan mesyuarat pertama dalam waktu terdekat bagi menentukan terma rujukan dan fungsinya. Ahli lain panel itu ialah bekas Ketua Hakim Borneo, Tan Sri Steve Sim; Ketua Eksekutif Kumpulan Media Karangkraf, Datuk Husammuddin Yaacob; Penasihat Undang-Undang Kumpulan Akhbar Sin Chew, Liew Peng Chuan; Pengurus Besar Kanan Hal Ehwal Korporat PETRONAS, Datuk Medan Abdullah dan pakar psikologi Universiti Kebangsaan Malaysia, Prof Dr Ruszmi Ismail.

"Matlamat utama panel penasihat ini ialah untuk mendapatkan gambaran sebenar kejadian 28 April lalu," katanya pada sidang media selepas mesyuarat pasca Kabinet kementeriannya di sini, semalam.

Beliau berkata, panel itu memberi ruang kepada semua pihak mengemukakan laporan, bantahan, maklum balas dan bahan bukti berkaitan kejadian berkenaan.

Katanya, kerajaan berharap hasil siasatan panel itu akan mendedahkan perkara sebenar secara menyeluruh di sebalik pelbagai hujah dan dakwaan oleh banyak pihak pada masa ini.
Hishammuddin juga berkata, terpulang kepada panel itu juga sama ada mahu mencadangkan untuk menjemput ahli panel dari luar negara dalam siasatan mereka.

Mengenai ketiadaan wakil Majlis Peguam dan Suruhanjaya Hak Asasi Manusia Malaysia (SUHAKAM) dalam panel itu, Hishammuddin berkata:

"Majlis Peguam mempunyai masalah mereka sendiri, maksud saya kita melihat banyak perbahasan berkaitan laporan mereka, akan ada perbahasan dalam mesyuarat agung luar biasa dan daripada yang saya dengar, lebih baik mereka selesaikan itu dulu."

Mengenai penyertaan SUHAKAM, katanya, beliau terbuka jika panel mahu menjemput wakil suruhanjaya itu.

Sementara itu, Haniff yang dihubungi Berita Harian semalam memberi jaminan siasatan akan dilakukan berdasarkan fakta dan bukti, bukannya dipengaruhi emosi.

Komen Anda

Terima kasih diatas penyertaan anda. Berita Harian berhak untuk tidak memaparkan sebarang komen yang menyentuh isu-isu sensitif dan yang berbentuk iklan komersial. Alamat IP anda akan direkodkan dan mungkin digunakan untuk menghalang penghantaran komen seterusnya jika melanggar peraturan yang ditetapkan.

Senarai komen


Guna lebihan perolehan manfaatkan peneroka

Posted: 09 May 2012 04:39 PM PDT

Nasional

FELDA perlu dana untuk pengurusan, tanam semula

KUALA LUMPUR: FELDA semalam menjelaskan lebihan perolehan daripada penyenaraian FELDA Global Ventures Holdings (FGVH) akan digunakan agensi itu untuk pembangunan, pengurusan dan tanam semula.

Pengerusinya, Tan Sri Isa Abdul Samad, berkata lebihan itu adalah milik mutlak FELDA dan terpulang kepada pengurusan untuk menggunakannya sebaik mungkin bagi memastikan nasib peneroka terus terbela. "Saya tak dapat sebut berapa jumlah FELDA dapat. Tapi dari segi logik dan jika difikir secara rasional, jika RM1.6 bilion durian runtuh, maka bakinya pastilah milik FELDA.

"Jika tidak bagaimana nak uruskan FELDA," katanya pada sidang akhbar selepas melancarkan produk baru lepa mentega kacang dan koko keluaran anak syarikat FELDA, Delima Oils Product Sdn Bhd di sini, semalam.

Isa mengulas kenyataan Pengarah Strategi PKR, Mohd Rafizi Ramli, kelmarin yang mempersoalkan pemberian durian runtuh RM15,000 kepada setiap peneroka, padahal perkiraannya menunjukkan peneroka sepatutnya dapat RM50,000.

Rafizi berkata, perkiraannya berdasarkan prospektus penyenaraian FGVH bahawa FELDA bakal memperoleh RM5.6 bilion menerusi tawaran 1,208,890,900 saham pada harga RM4.65 sesaham, manakala FGVH mendapat suntikan dana tambahan RM4.557 bilion melalui tawaran 980,000,000 saham.
Isa berkata, perolehan FELDA daripada penyenaraian akan diumumkan selepas proses penyenaraian awam selesai.

"Baki itu kita akan umum kemudian. Sebenarnya kita belum tahu. Mereka persoal ke mana pergi duit itu dan membuat pelbagai tuduhan tidak baik terhadap kerajaan dan parti memerintah.

"Tapi soalan itu (pembangkang) begitu bodoh sekali kerana bila kita katakan RM1.6 bilion untuk peneroka, takkan kerajaan dan parti politik nak ambil pula. Kita akan disenaraikan dan bukan mudah untuk keluarkan duit.

"Pembangkang kata kita nak guna untuk pilihan raya, mana boleh, kerana duit itu akan diaudit nanti dan macam mana pula kita nak terangkan kepada pemegang saham.

"Pembangkang sudah mengganggu peneroka FELDA sejak pilihan raya umum 1959 lagi dan peneroka sendiri pun memang arif dengan kerja kotor mereka.

"Pembangkang akan datang dekat pilihan raya untuk mengelirukan pemikiran peneroka, ini bukan baru," katanya.

Kelmarin, Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak mengumumkan durian runtuh RM15,000 untuk setiap peneroka membabitkan lebih RM1.6 bilion serta beberapa insentif lain berikutan penyenaraian FGVH di Bursa Malaysia, hujung bulan depan.


Tiada ulasan:

Catat Ulasan