Sabtu, 5 Mei 2012

Berita Harian: Nasional

Berita Harian: Nasional


Atur strategi luar biasa: Najib

Posted: 05 May 2012 04:06 PM PDT

Nasional

NAJIB bersalaman dengan orang ramai pada Majlis Perayaan Hari Wesak bersama penganut Buddha, di Brickfields, Kuala Lumpur, semalam.

NAJIB bersalaman dengan orang ramai pada Majlis Perayaan Hari Wesak bersama penganut Buddha, di Brickfields, Kuala Lumpur, semalam.


KUALA LUMPUR: Ahli UMNO diingatkan supaya melipatgandakan usaha dan mengatur strategi luar biasa bagi memastikan parti kekal relevan dan menjadi tonggak membawa negara ke arah mencapai Wawasan 2020.
Presidennya, Datuk Seri Najib Razak, berkata lebih 3.3 juta ahli UMNO seharusnya tidak berasa selesa dengan kejayaan yang diraih dalam 12 pilihan raya lalu, sebaliknya perlu menjadi tunjang kepada segala transformasi yang diterapkan kerajaan. "Kita tidak boleh ada sikap 'business as usual' (urusan seperti biasa). Kita mesti sedar lebih-lebih lagi di negeri yang kita kalah. Kita mesti buat sesuatu yang luar biasa dari segi strategi, kesungguhan, perancangan, program yang kita laksanakan dan peranan kita dalam media sosial.
"Jangan kita (hanya memberi sumbangan) pada tahap mendatar atau biasa saja. Kalau kita ingin menumbangkan pembangkang di negeri tertentu, kita mesti berusaha lebih daripada biasa. Ini mesej saya dan kita mesti bersatu lebih daripada biasa," katanya dalam temu bual oleh UMNO Online sempena ulang tahun UMNO ke-66.

Beliau ditemuramah Ketua Pengarang UMNO Online, Ahmad Kamal Zailani dan Pengarang Beritanya, Rofikah Ahmad yang menyentuh cabaran yang dihadapi UMNO, acara sambutan Hari UMNO pada Mei ini serta visi Najib dalam era kepemimpinannya.

Najib berkata, sejajar program transformasi menyeluruh kerajaan, ahli UMNO juga perlu berubah sikap, melakukan perubahan dalam aspek budaya kerja UMNO serta sistem nilai dalam parti.
Beliau juga berkata, ahli UMNO perlu melihat parti itu dalam konteks masa kini dan akan datang kerana pengundi sekarang tidak lagi melihat kepada kegemilangan lampau atau jasa yang pernah disumbangkan parti itu.

"Pengundi tidak melihat kegemilangan dan jasa (UMNO) dalam sejarah. Walaupun sudah lama wujud dan terlalu besar nilai dan jasa UMNO, pengundi tidak melihat kepada kegemilangan itu.

"Mereka nak tahu apa yang kita perjuangkan masa kini dan akan datang. Pemimpin UMNO mesti menghayati dan mencerminkan nilai kepemimpinan yang disenangi rakyat dengan itu rakyat akan memberi sokongan padu kepada UMNO dan Barisan Nasional (BN)," katanya.

Ditanya mengenai semangat perjuangan ahli UMNO yang mula pudar sejak kebelakangan ini, Najib berkata, ia berpunca daripada kewujudan pihak yang mengutamakan kepentingan diri lebih daripada keutamaan parti.

Najib berkata, berbeza dengan pembangkang, hubungan UMNO dengan parti komponen, MCA, GERAKAN dan lain-lain terus ampuh berpaksikan realiti dan hakikat sejajar dengan falsafah serta amalan BN.

"Kita tidak bersandiwara kepada rakyat. Selepas empat tahun pembangkang sehingga kini masih belum membentuk kabinet bayangan. Pengundi seharusnya boleh menilai siapa yang boleh membawa negara dalam tempoh lima tahun akan datang. Yang akan membawa lebih banyak kebaikan," katanya.

Menjawab soalan mengenai sambutan Hari UMNO, Najib berkata, apa yang ingin diketengahkan adalah UMNO sebagai parti keramat Melayu dan satu-satunya parti yang memperjuang serta membela rakyat selama ini.

"Ini yang ingin kita tekan dan terapkan di samping mengingatkan kepada ahli bahawa mereka perlu berbangga, tidak berasa terhina menjadi ahli kepada sebuah parti terbesar dan berjasa di negara ini.

"Kita mesti menganggap bahawa perhimpunan raksasa yang akan diadakan bakal menjadi tanda kekuatan dan kita akan mara dengan satu barisan yang ampuh, komitmen, jitu dan insya-Allah, berbekal semangat baru, kita akan mencapai kemenangan besar dalam pilihan raya akan datang," katanya.

Komen Anda

Terima kasih diatas penyertaan anda. Berita Harian berhak untuk tidak memaparkan sebarang komen yang menyentuh isu-isu sensitif dan yang berbentuk iklan komersial. Alamat IP anda akan direkodkan dan mungkin digunakan untuk menghalang penghantaran komen seterusnya jika melanggar peraturan yang ditetapkan.

Senarai komen

sherifah hanom

Setuju dgn saranan PM..orang melayu kena bersatu kerana ingatlah...'Bersatu Teguh Bercerai Roboh" ..ayuh, keluar beramai2 utk mengundi parti keramat kita ini...jangan kerana ikutkan perasaan nanti..'menang sorak negeri tergadai"...ingatlah, hanya "dacing" aje yg boleh membawa kesejahteraan kepada semua golongan...ahli UMNO yg tamak haruslah dihukum dan di "neutralized" supaya tidak berjangkit kepada ahli yg lain yg cintakan negara dan Agama....


Pelajar UiTM antara tiga ditahan

Posted: 05 May 2012 04:02 PM PDT

Nasional

KUALA LUMPUR: Tiga individu, termasuk seorang penuntut Universiti Teknologi Mara (UiTM) ditahan setakat ini kerana disyaki terbabit dalam rusuhan ketika Perhimpunan BERSIH 3.0 di ibu negara, pada 28 April lalu.

Penuntut UiTM itu, Khalid Mohd Ismath, 22, ditahan selepas menyerah diri di Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Kuala Lumpur jam 10 pagi semalam.

Dia diiringi peguam, Nasar Khan Mirbas Khan bersama ibu bapanya. Dua lagi yang ditahan di sini dan Negeri Sembilan adalah antara 91 individu yang gambar mereka disiarkan media selepas siasatan polis mendapati mereka dapat membantu siasatan berhubung kekacauan dan rusuhan yang mengakibatkan kerugian harta benda awam dan kecederaan.
Ketua Polis Kuala Lumpur, Datuk Mohmad Salleh, berkata kedua-dua mereka ditahan hasil maklumat orang awam.

Katanya, penuntut tahun satu Ijazah Sarjana Undang-Undang UiTM itu ditahan kerana dipercayai bertanggungjawab dalam insiden menendang anggota polis trafik dan merempuh halangan polis.

"Kita juga sudah mengenal pasti beberapa lagi suspek yang terbabit berdasarkan maklumat yang diberikan dan kini Polis Kuala Lumpur dengan dibantu Polis Bukit Aman sedang menjejaki mereka," katanya ketika dihubungi, semalam.
"Hasil siasatan awal, kita percaya, penuntut ini menendang anggota polis yang bertugas serta merempuh halangan yang dipasang di Dataran Merdeka, ketika perhimpunan itu," katanya.

Sementara itu, bapa Khalid, Ismath Mohd Habib berkata, beliau menyangkakan anaknya ditahan kerana komen dalam akuan facebooknya 'saya ingin membunuh semua polis yang ada'.

"Saya rasa tidak adil anak saya ditahan merempuh sekatan dan menyerang polis kerana pada hari perhimpunan itu anak dan isteri saya turut dipukul polis.

"Malah, dakwaan anak saya menyiarkan komen ingin membunuh anggota polis juga tidak benar, kerana dia sering mendakwa akaun Facebooknya sering diceroboh pihak tidak bertanggungjawab," katanya ketika ditemui di IPK, semalam.

Khalid ditahan mengikut Seksyen 440 Kanun Keseksaan kerana melakukan khianat dalam rusuhan dan Seksyen 188 kanun yang sama atas kesalahan mengingkari perintah yang ditetapkan polis.

Di KUCHING, Timbalan Ketua Polis Negara, Datuk Seri Khalid Abu Bakar, ketika mengulas mengenai rusuhan itu, berkata pihaknya akan menyiarkan lebih banyak gambar mereka yang dikehendaki bagi membantu polis.

"Sehingga tengah hari tadi (semalam), tiga lelaki termasuk seorang penuntut sudah ditahan, manakala tiga lagi individu sudah menghubungi polis dan akan menyerah diri," katanya.

Beliau berkata, sehingga kini 73 laporan mengenai dakwaan kekerasan polis telah dibuat dan pihaknya sudah membuka 20 kertas siasatan.

"Kita memberi jaminan setiap laporan akan turut diteliti jawatankuasa khas yang akan diumumkan kerajaan (minggu depan)," katanya.

Beliau berkata, siasatan ke atas Khalid yang didakwa mengugut untuk membunuh anggota polis akan dilakukan Polis Selangor sebaik siasatan terhadap pembabitannya dalam perhimpunan BERSIH 3 selesai.


Tiada ulasan:

Catat Ulasan