Rabu, 21 Disember 2011

Berita Harian: Wilayah

Berita Harian: Wilayah


Air kumbahan bertakung atas jalan

Posted: 20 Dec 2011 02:56 PM PST

Wilayah

PAIP kumbahan yang pecah menyebabkan air najis terapung di permukaan di Jalan Cenderai 17 dekat Taman Megah Ria.

PAIP kumbahan yang pecah menyebabkan air najis terapung di permukaan di Jalan Cenderai 17 dekat Taman Megah Ria.

Penduduk Taman Megah Ria 'terseksa' sejak tahun lalu

PASIR GUDANG: Kira-kira 1,000 penduduk yang mendiami sekitar Jalan Cenderai 15 dan 17 dekat Taman Megah Ria di sini, merayu pihak berkuasa menyelesaikan kebocoran paip kumbahan pada laluan utama perumahan itu yang berlarutan sejak setahun lalu.

Kebocoran itu mengakibatkan air najis sering bertakung di permukaan jalan dan masa sama menyebabkan laluan itu sukar dilalui kenderaan berikutan lubangnya semakin besar dan dipenuhi sampah sarap yang berkumpul seperti serpihan kayu dan plastik. Penduduk mendakwa sudah banyak aduan dibuat kepada pihak berkuasa tempatan dan syarikat utiliti, namun masing-masing didakwa menuding jari antara satu sama lain hingga menyebabkan tiada sebarang tindakan diambil.

Pembantu stesen minyak, Isa Abdul Karim, 51, mendakwa kehidupan keluarganya cukup terganggu akibat bau kurang menyenangkan berikutan rumah sewa yang didiami terletak hanya 50 meter dari kawasan paip kumbahan bocor.

"Sebelum ini, kami tidak menghadapi sebarang masalah, namun mula berasa tidak selesa kerana bau busuk dari kumbahan itu mencemari udara walaupun kami berada dalam rumah dan perlu menutup tingkap dan pintu rumah sepanjang masa.

"Ini berikutan beberapa paip pecah itu berpunca daripada kerja mendalamkan perparitan yang bertujuan melancarkan aliran air. Sebelum ini ada pihak yang cuba membaiki jalan yang berlubang itu dengan menurap semula jalan terbabit, namun lama kelamaan air bawah tanah mengalir keluar," katanya.
Katanya, selain terganggu masalah bau meloyakan, penduduk juga merayu pihak berkuasa menyegerakan kerja pemasangan pembetung kerana jalan itu tidak dapat dilalui kenderaan selepas digali dengan beberapa paip dibiarkan pecah tanpa dibaiki.

Ejen hartanah, Tan Peng Chye, 48, berkata permukaan jalan yang berlubang itu pernah mengakibatkan kemalangan motosikal berikutan tiada lampu jalan dipasang pada waktu malam, selain mereka berdepan masalah lain kerana laluan itu sering dinaiki air setiap kali hujan lebat kerana tanah cerun.

"Sekurang tiga kemalangan pernah berlaku sepanjang tahun ini yang membabitkan penunggang motosikal kerana tidak menyedari ada permukaan jalan berlubang, meskipun papan tanda amaran sudah diletakkan berdekatan.

"Selain kemalangan, penduduk taman ini dan flet berdekatan sering dijangkiti demam denggi kerana banyak takungan air dibiarkan begitu saja akan menyebabkan pembiakan nyamuk Aedes serta membahayakan kanak-kanak yang gemar bermain air," katanya.

Suri rumah, S Kaliwani, 41, berkata anaknya sering demam dan tiada selera makan kerana tidak tahan bau busuk daripada paip kumbahan yang bocor dan mereka sukar mengunjungi pasar malam kerana laluan masih tidak dibaiki.

"Kebanyakan penduduk di sini berpendapatan rendah, tidak mampu membaiki kerosakan yang berpunca kecuaian pihak berkuasa. Kami berharap masalah ini segera diselesaikan kerana masalah ini sudah berlarutan sekian lama," katanya.

Full content generated by Get Full RSS.

JPJ cadang hantar surat perbaharui cukai jalan

Posted: 20 Dec 2011 02:11 PM PST

Wilayah

Pelaksanaan masih dikaji supaya keperluan undang-undang

KOTA KINABALU: Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) bercadang memperkenalkan kaedah baru pembaharuan cukai jalan dengan menghantar tawaran cukai jalan baru kepada pemilik kenderaan sebelum cukai jalan kenderaan mereka tamat.

Pendekatan itu antara pembaharuan lain dikaji JPJ selepas penetapan tarikh tamat tempoh lesen memandu berdasarkan tarikh lahir yang diperkenalkan baru-baru ini. Ketua Pengarah JPJ, Datuk Solah Mat Hassan, berkata menerusi pendekatan itu, JPJ akan menghantar surat tawaran cukai jalan kepada pemilik kenderaan sebelum mereka memberikan maklum balas sama ada menerimanya atau tidak.

Katanya, penghantaran tawaran cukai jalan kepada pemilik kenderaan secara tidak langsung dapat mengingatkan mereka mengenai cukai jalan yang hampir tamat, sekali gus memastikan pemilik tidak membiarkan kenderaan tanpa cukai jalan yang sah.

"Selama ini, pemilik kenderaan perlu meminta JPJ memperbaharui cukai jalan, tetapi ada juga terus memandu kenderaan yang tiada cukai jalan sah.

"Bagi mengatasi keadaan ini, JPJ bercadang memberi cukai jalan kepada pemilik kenderaan tanpa perlu diminta dan mereka hanya perlu membuat pengesahan sama ada menerimanya atau tidak.
"Bagaimanapun, perkara ini masih diteliti kerana pelaksanaannya perlu diselaraskan dengan keperluan perundangan berikutan cukai jalan hanya boleh diperbaharui selepas membeli insurans," katanya kepada media selepas mempengerusikan mesyuarat pengurusan JPJ di sini, semalam.

Sementara itu, Solah berkata, sebanyak 923,554 kenderaan baru didaftar di seluruh negara dari Januari hingga September lalu, meningkat 46,919 kenderaan atau 5.35 peratus berbanding tempoh yang sama tahun lalu.

Peningkatan itu, katanya, menambah jumlah kenderaan di negara ini kepada 21.1 juta setakat September lalu berbanding 20.1 juta pada tahun lalu.

"Bagi lesen memandu, sehingga 30 September lalu secara keseluruhannya JPJ melesenkan 12.65 juta pemandu, iaitu peningkatan 414,955 orang berbanding 12.23 juta pemandu pada tahun lalu," katanya.

Solah berkata, peningkatan itu membolehkan JPJ mengutip hasil sebanyak RM2.39 bilion pada suku ketiga tahun ini berbanding RM2.19 bilion pada tempoh sama 2010, peningkatan RM202 juta atau 9.22 peratus.

Daripada jumlah itu, katanya, sejumlah RM1.64 bilion adalah hasil pembaharuan cukai jalan, diikuti bayaran lesen memandu (RM289 juta) dan bayaran tender nombor pendaftaran kenderaan (RM133 juta).

Beliau berkata, JPJ mensasarkan 85 peratus urusan dengan jabatan itu dilaksanakan secara dalam talian menjelang 2015 berbanding tidak sampai 50 peratus ketika ini.

Mulai tahun depan, katanya, semua urusan dengan jabatan itu boleh dibuat secara dalam talian, termasuk urusan tukar hak milik kenderaan yang kini masih di peringkat pelaksanaan.

Urusan lain termasuk pembaharuan lesen memandu, cukai jalan, pembayaran saman dan pendaftaran kenderaan, sudah dibuat secara dalam talian sejak 2007, katanya.

Full content generated by Get Full RSS.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan