Rabu, 28 Disember 2011

Berita Harian: Wilayah

Berita Harian: Wilayah


Warga asing banjiri tempat awam merimaskan

Posted: 27 Dec 2011 01:06 PM PST

Wilayah

PEKERJA asing membanjiri sekitar Lebuh Pudu dan Jalan Silang, Kuala Lumpur.

PEKERJA asing membanjiri sekitar Lebuh Pudu dan Jalan Silang, Kuala Lumpur.

KUALA LUMPUR: Kehadiran puluhan warga asing dari pelbagai negara seperti Afrika, Bangladesh, Nepal dan Myanmar yang melepak di sekitar Puduraya setiap hari tanpa mengira waktu, bukan saja merimaskan orang ramai, malah menakutkan warga tempatan terutama wanita yang bekerja atau berkunjung ke kawasan berkenaan.

Tinjauan Berita Harian kelmarin mendapati warga asing membanjiri kawasan sekitar Kotaraya dan Puduraya tanpa sebarang aktiviti dan berkumpul di kawasan tumpuan awam sehingga menyebabkan warga tempatan pula berasa seperti berada di negara asing.

Pekerja kedai serbaneka beroperasi 24 jam, Aisyah Yunus, 23, berkata kebanyakan warga asing berkenaan terutama dari Afrika dan Bangladesh gemar menghabiskan masa dengan melepak di depan kedai tempatnya bekerja bermula petang hingga dinihari, menyebabkan beliau takut kerana sering diusik.

Paling menyakitkan hati apabila warga asing ini berani mengusik wanita tempatan tanpa segan silu termasuk ibu yang membawa anak - Maryam Adnan, pelancong.

Beliau berkata, kehadiran warga asing di situ bukan perkara baru, menyebabkan warga tempatan sendiri takut untuk keluar sendirian.

"Mereka selalu berkumpul beramai-ramai pada Jumaat petang hingga lewat pagi di depan kedai saya bekerja dan sering bergaduh sesama sendiri, menyebabkan saya takut terutama apabila terpaksa bekerja sehingga lewat pagi.

"Warga asing dari Bangladesh dan Afrika paling ramai di sini. Ada sesetengahnya cuba berkomunikasi dengan saya dalam bahasa mereka tetapi apabila saya tidak memahaminya, mereka akan memarahi saya.

"Sebagai wanita, memang menakutkan apabila saya terpaksa berdepan situasi ini dan berharap pihak berkuasa bertindak menyekat mereka daripada berkumpul beramai-ramai sehingga lewat pagi," katanya.
Maryam Adnan, 32, yang baru tiba untuk menghabiskan cuti umum di sini, turut melahirkan rasa terkejut dengan kehadiran warga asing yang ramai di kawasan berkenaan sehingga menimbulkan rasa kurang selesa dan tidak selamat kepada warga tempatan.

"Saya tidak sangka pusat tumpuan ibu kota Kuala Lumpur dipenuhi warga asing sehingga menyebabkan saya pula terasa seperti berada di Bangladesh. Kehadiran mereka yang melepak secara berkumpulan di bawah pokok, kawasan lapang dan tempat meletak kereta memang cukup menggerunkan.

"Sebagai rakyat negara ini, saya memang tidak selesa dengan kehadiran mereka yang gemar merenung golongan wanita dan cuba bercakap dalam bahasa tidak difahami. Saya rasa tiada jaminan keselamatan apabila wanita seperti saya keluar berjalan-jalan di sini," katanya.

Sehubungan itu, Maryam mahu pihak berkuasa seperti polis termasuk Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) menjalankan tindakan sewajarnya termasuk memantau kehadiran warga asing di tengah bandaraya demi keselamatan warga tempatan.

"Paling menyakitkan hati apabila warga asing ini berani mengusik wanita tempatan tanpa segan silu termasuk ibu yang membawa anak.

"Jadi, rondaan lebih kerap serta pemeriksaan dokumen perjalanan mereka wajar dilakukan, selain mengenakan peraturan tidak membenarkan mereka berkumpul di tempat awam," katanya.

Full content generated by Get Full RSS.

Bantah musnah hutan bakau

Posted: 27 Dec 2011 01:01 PM PST

Wilayah

Kerajaan PAS Kedah diminta telus dedah status projek cemar alam

GEORGETOWN: Persatuan Pengguna Pulau Pinang (CAP) dan Sahabat Alam Malaysia (SAM) mendesak Kerajaan PAS Kedah bersikap telus dan mendedahkan status projek akuakultur yang memusnahkan hutan paya bakau di Kampung Permatang Tengah, Kota Kuala Muda.

Presidennya, SM Mohamed Idris, berkata pihaknya kesal dan mahu kerajaan negeri itu bertindak segera melindungi kawasan terbabit supaya ia tidak musnah dan mendatangkan pencemaran kepada alam sekitar. "CAP dan SAM membantah tindakan pihak tidak bertanggungjawab memusnahkan hutan paya bakau di kawasan itu sejak sebulan lalu sehingga menjejaskan kehidupan kira-kira 2,000 penduduk dan 100 nelayan kecil di sana.

"Kerajaan Kedah dan agensi yang terbabit perlu menyiasat pihak yang mengendalikan projek ini sama ada ia sudah mendapat kebenaran pihak berkuasa atau Kajian Kesan Alam Sekitar (EIA).

"Setakat ini, kira-kira 112 hektar hutan paya bakau dimusnahkan oleh pihak terbabit bagi melaksanakan projek akuakultur di kawasan itu," katanya dalam kenyataan media di sini, semalam.

SM Mohamed berkata, tinjauan pihaknya mendapati air sungai di kawasan terbabit yang menjadi tempat nelayan mencari rezeki tercemar teruk sehingga menyebabkan pelbagai hidupan air mati.
Katanya, perkara itu mengakibatkan hasil tangkapan berkurangan dan sumber pendapatan nelayan yang terbabit menyusut daripada RM100 sehari kepada RM30 sehari.

Selain itu, hidupan liar di kawasan hutan paya bakau turut terancam menyebabkan binatang seperti monyet, babi hutan dan biawak memasuki rumah untuk mencari makanan.

"CAP dan SAM kesal dengan kejadian ini dan bimbang keadaan itu akan menjadi lebih buruk jika dibiarkan tanpa sebarang perhatian serius dan tindakan berkesan daripada kerajaan negeri," katanya.

SM Mohamed yang mencadangkan supaya nelayan yang terjejas disebabkan projek akuakultur itu diberi pampasan, menggesa kerajaan negeri mewartakan hutan paya bakau berkenaan sebagai hutan simpan kekal.

Katanya, pihak yang bertanggungjawab memusnahkan hutan paya bakau itu harus menanam semula spesies tumbuhan semula jadi bagi memulihkan kemusnahan yang berlaku serta membiakkan semula hidupan air yang menjadi sumber pendapatan nelayan.

Full content generated by Get Full RSS.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan