Sabtu, 31 Disember 2011

Utusan Online - Jenayah

Utusan Online - Jenayah


2 lagi ditahan kes bunuh Rozana

Posted:

2 lagi ditahan kes bunuh Rozana

2 lagi ditahan kes bunuh Rozana

SHAH ALAM 31 Dis. - Polis menahan dua lagi lelaki bagi membantu siasatan kes pembunuhan kejam seorang kerani bank, Rozana Mohd. Yusak yang ditikam sebanyak 15 kali di sebuah rumah kedai di Jalan Puncak Jaya, Kepong minggu lalu sekali gus menjadikan jumlah tangkapan meningkat kepada lima orang.

Salah seorang suspek yang berusia 20 tahun ditahan kira-kira pukul 11 malam tadi di sebuah hotel di Bukit Bintang, Kuala Lumpur manakala seorang lagi suspek berusia 23 tahun ditahan ketika menyerah diri di Balai Polis Gombak, pukul 4 pagi ini.

Ketua Polis Selangor, Datuk Tun Hisan Tun Hamzah berkata, dengan penangkapan kelima-lima lelaki tersebut, polis percaya kes pembunuhan kejam wanita berusia 35 tahun itu telah selesai.

"Polis turut menemui sebuah telefon bimbit dipercayai milik mangsa ketika menahan suspek berusia 20 tahun di Bukit Bintang. Kedua-dua suspek termasuk yang menyerah diri kepada pihak polis didapati positif mengambil dadah jenis syabu," katanya pada sidang akhbar di Pusat Media Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Selangor di sini, hari ini.

Turut hadir, timbalan beliau, Datuk A. Thaiveegan dan Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Selangor, Senior Asisten Komisioner Mohd. Adnan Abdullah.

Akhbar hari ini melaporkan, polis menahan tiga lelaki, dua daripadanya berusia 19 tahun bagi membantu siasatan pembunuhan itu kelmarin.

Dua suspek berusia 19 tahun itu ditahan di sekitar Lembah Pantai manakala seorang lagi suspek berusia 22 tahun ditahan di Kampung Datuk Keramat.

Tun Hisan dalam pada itu berkata, dalam tangkapan pertama di Lembah Pantai, polis menemui beberapa bahan bukti antaranya telefon bimbit, kad ATM, beg tangan jenama Bonia, kasut dan sebuah motosikal milik si mati," katanya.

Tambah beliau, barang bukti lain yang ditemui adalah seluar, baju, tuala yang terdapat kesan darah. Topi keledar milik mangsa pula ditemui di rumah flat Kampung Datuk Keramat selain kad kredit tertera nama Rozana.

"Sebilah pisau yang disyaki digunakan dalam pembunuhan ini turut dirampas dari salah seorang suspek, namun polis percaya, lebih daripada satu senjata digunakan," jelasnya.

Kelima-lima suspek, kata Tun Hisan dipercayai mengenali antara satu sama lain dan hasil siasatan awal pihaknya mendapati, mereka tiada rekod jenayah lampau.

Selepas sidang akhbar itu, Tun Hisan turut menyampaikan sijil penghargaan kepada dua pegawai penyiasat kes tersebut iaitu Asisten Supritendan Mohd. Fadhli Minhat dari Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Gombak dan Asisten Supritendan Ahmad Fauzi Mohamed Zin dari Cawangan D9, Jabatan Siasatan Jenayah Selangor.

Full content generated by Get Full RSS.

41 ditahan dalam operasi JAIS

Posted:

41 ditahan dalam operasi JAIS

41 ditahan dalam operasi JAIS

Oleh ASSIM HASSAN
pengarang@utusan.com.my


Hasan Ali (kiri) turut sama menyertai Ops Mungkar bersama Jabatan Agama Islam Selangor ketika melakukan serbuan ke atas pusat-pusat hiburan di sekitar Damansara dan Petaling Jaya, semalam.


SHAH ALAM 31 Dis. - Jabatan Agama Islam Selangor (JAIS) menahan seramai 41 individu beragama Islam yang terlibat dalam kegiatan tidak bermoral selepas menyerbu dua premis pusat hiburan di Petaling Jaya, awal pagi ini.

Serbuan 'Ops Mungkar' yang diadakan menjelang sambutan tahun baru 2012 itu diketuai oleh Pengerusi Jawatankuasa Hal Ehwal Agama Islam, Adat-adat Melayu, Infrastruktur dan Kemudahan Awam Selangor, Datuk Dr. Hasan Ali.

Kesemua mereka ditahan ketika berada dua buah pusat hiburan yang diperiksa JAIS bermula pukul 12 tengah malam hingga 3 pagi ini.

Menurut Hasan, daripada jumlah itu, 18 individu termasuk enam wanita akan dibawa ke muka pengadilan dalam tempoh terdekat atas kesalahan meminum arak.

"Ops Mungkar ini dibuat mengikut peruntukan yang terdapat dalam Enakmen Jenayah Syariah 1995 selain memastikan umat Islam tidak terus hanyut menjelang sambutan tahun baru 2012," katanya pada sidang akhbar di pejabat JAIS di sini awal pagi ini.

Beliau berkata, kesemua mereka akan dipanggil untuk menjalani sesi kaunseling oleh JAIS pada 11 dan 12 Januari depan.

Katanya lagi, mereka yang ditahan berusia antara 18 hingga 58 tahun. Penahanan beberapa remaja dalam operasi itu juga sudah dimaklumkan kepada ahli keluarga mereka untuk diikat jamin.

Dalam pada itu, Hasan menafikan penglibatannya dalam operasi JAIS awal pagi ini bakal mewujudkan kontroversi, sebaliknya penglibatan beliau menggambarkan komitmen bersama khususnya penguatkuasaan di jabatan agama ini.

"Selama ini saya memang serahkan semua operasi kepada JAIS atas sebab keselamatan, bagi memastikan kejayaan kepada semua operasi yang dilakukan.

"Awal pagi ini, saya terlibat secara langsung untuk melihat dan menentukan prosedur operasi standard (SOP) kita dipatuhi," katanya.

Full content generated by Get Full RSS.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan