Khamis, 29 Disember 2011

Utusan Online - Utara

Utusan Online - Utara


Menara komunikasi di Pulau Payar

Posted:

Menara komunikasi di Pulau Payar

Menara komunikasi di Pulau Payar

Oleh SAFINA RAMLI
utusankedah@utusan.com.my


Mohd. Johari Baharum (tiga dari kiri) melihat luka pada tangan Md. Habib Kasa selepas menyampaikan sumbangan di Persatuan Nelayan Negeri Kedah, Alor Setar, semalam.


ALOR SETAR 28 Dis. - Sebuah menara telekomunikasi perlu dibina di Pulau Payar, Langkawi untuk memastikan kawasan perairan di Kedah mempunyai liputan selular yang sempurna bagi kemudahan nelayan.

Timbalan Menteri Pertanian dan Industri Asas Tani, Datuk Mohd. Johari Baharum berkata, ketika ini, liputan selular di perairan adalah tidak menyeluruh dan ia menyebabkan nelayan yang tidak mempunyai alat perhubungan lengkap terputus hubungan.

"Kita akan minta melalui kerajaan persekutuan agar sebuah menara telekomunikasi dibina di Pulau Payar.

"Dengan adanya liputan selular yang baik, sekiranya dalam bahaya nelayan yang terlibat boleh menyalurkan maklumat kepada pihak berkuasa dengan cepat," katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas menyampaikan sumbangan Persatuan Nelayan Negeri Kedah (Nekad) kepada 11 mangsa bot karam dalam kejadian di perairan Langkawi pada pagi Isnin lalu di Wisma Nelayan, Kuala Kedah di sini hari ini.

Setiap mangsa menerima wang sebanyak RM200 bagi menampung perbelanjaan harian sementara mereka boleh turun ke laut semula.

Dalam pada itu, Mohd. Johari turut menasihatkan semua nelayan agar mendapatkan maklumat daripada agensi berkaitan seperti Jabatan Perikanan dan Maritim Malaysia mengenai keadaan laut dan perubahan angin sebelum ke laut.

"Selain itu, nelayan juga perlu pastikan bot yang dinaiki mempunyai kelengkapan dan peralatan keselamatan yang lengkap sekiranya berlaku kejadian tidak diingini seperti bot karam," ujarnya.

Sementara itu, tekong bot nelayan yang hanyut selama lapan jam dalam kejadian bot karam itu, Md. Habib Kasa, 51, berkata, dia bersyukur kerana menerima bantuan kewangan yang dapat digunakan untuk menampung kehidupan sementara menunggu waktu yang sesuai untuk turun ke laut semula.

"Saya dimaklumkan lokasi bot karam telah dikesan iaitu di perairan dekat Pulau Segantang dan kemungkinan ia akan ditarik esok," jelasnya.

Full content generated by Get Full RSS.

Bernas bina rumah untuk golongan miskin

Posted:

Bernas bina rumah untuk golongan miskin

Bernas bina rumah untuk golongan miskin

JITRA 28 Dis. - Padi Beras Nasional Berhad (Bernas) membina tiga rumah baru untuk golongan miskin dan ibu tunggal di dua daerah di negeri ini pada tahun ini.

Pengurus Besar Sektor Perniagaan Beras Tempatan Bernas Wilayah Utara, Amiruddin Ahmad Tajuddin berkata, kos membina tiga rumah berkenaan bernilai RM85,000 dibina melalui gotong-royong oleh kakitangan Bernas .

Katanya, sebuah rumah di Ulu Melaka, Langkawi telah siap sepenuhnya dan pihaknya telah menyerahkan kunci 19 Disember lalu manakala dua buah lagi dalam proses pembinaan iaitu di daerah Kubang Pasu.

"Tahun ini merupakan projek perintis Bernas yang bermula sejak November lalu dan tahun depan kita yakin lebih banyak rumah bakal dibina dalam usaha Bernas membantu golongan yang memerlukan bantuan," katanya ketika ditemui pada program gotong-royong membina rumah di Kampung Padang Teja di sini hari ini.

Katanya, mereka yang layak dipilih berdasarkan kriteria yang ditetapkan malah turut diluluskan oleh Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Kampung Persekutuan (JKKKP) bagi mengelak sebarang penipuan.

Kira-kira 30 sukarelawan Bernas bersama Anggota Parlimen Kubang Pasu, Datuk Mohd. Johari Baharum bergotong-royong membantu menyiapkan rumah seorang ibu tunggal, Aishah Morad, 66.

"Saya gembira kerana dapat rumah baru yang lebih selesa. Terima kasih kepada pihak Bernas yang sudi memberi sumbangan ini kepada saya," kata Aishah ketika ditemui pada majlis itu.

Aishah yang sakit tua berkata, dia tinggal di rumah tersebut seorang diri sejak 20 tahun lalu sejak berpisah dengan suaminya dan tidak mampu untuk memperbaiki rumahnya yang rosak akibat dimakan anai- anai. — BERNAMA

Full content generated by Get Full RSS.

Program 'walkabout' diadakan lebih kerap

Posted:

Program 'walkabout' diadakan lebih kerap

Program 'walkabout' diadakan lebih kerap

KUBANG PASU 28 Dis. - Polis Kedah akan memperbanyakkan program 'walkabout' di seluruh negeri ini pada tahun depan sebagai usaha mendekati masyarakat sekali gus mengeratkan kerjasama dalam usaha mengurangkan kadar jenayah.

Ketua Polis Kedah, Datuk Ahmad Ibrahim berkata, pihaknya merancang untuk mengadakan program itu secara lebih kerap iaitu sekurang- kurangnya tiga bulan sekali di kesemua 11 daerah polis dengan kerjasama agensi lain seperti Jabatan Pertahanan Awam (JPAM) dan Ikatan Relawan Rakyat Malaysia (Rela).

Beliau berkata, meskipun kawasan bandar menjadi fokus kejadian jenayah tetapi program di kawasan lain juga tidak kurang pentingnya dalam mendapatkan sokongan masyarakat selain menaikkan imej polis di kampung-kampung.

"Saya telah meminta semua ketua polis daerah memikirkan cara hendak mengadakan program di bandar, luar bandar dan di pedalaman supaya segenap lapisan masyarakat memperoleh perkhidmatan polis dan tidak hanya fokus di bandar sahaja," katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas merasmikan program Kempen Pencegahan Jenayah (Walkabout) anjuran Ibu Pejabat Polis Kubang Pasu di Pekan Jitra II di sini semalam.

Menurut Ahmad, tahun ini sahaja pihaknya telah mengadakan sekurang-kurangnya enam program seumpama itu dan kehadiran polis di lokasi terlibat ternyata mendapat maklum balas positif daripada orang ramai.

Kata beliau, program tersebut bukan sahaja dapat mendekatkan masyarakat dengan pihak polis dengan cara berkongsi maklumat tetapi meningkatkan kesedaran orang awam mengenai kepentingan mencegah jenayah dan menjaga keselamatan.

"Kerjasama erat antara polis dan masyarakat membolehkan usaha memerangi jenayah dilakukan secara efisien dan pantas. Tanggungjawab mencegah jenayah tidak boleh diletakkan di atas bahu polis semata-semata, sebaliknya orang ramai juga perlu memainkan peranan mereka," katanya.

Ahmad berkata, meskipun kadar indeks jenayah di negeri ini secara keseluruhan mencatat penurunan termasuk di Kubang Pasu yang menurun sebanyak sebanyak 4.1 peratus berbanding tahun lalu, namun usaha lebih gigih perlu dilakukan bagi memastikan penurunan itu berterusan.

Katanya, antara tumpuan yang akan diberikan adalah jenayah pecah rumah kerana berlaku peningkatan kes khususnya di daerah ini pada tahun ini.

"Di daerah ini, sebanyak 161 kes pecah rumah pada waktu malam direkodkan pada tahun ini berbanding 135 kes tahun lepas manakala kes pecah rumah pada waktu siang menurun kepada 29 berbanding 32 kes pada tahun lepas.

"Sebab itu kita akan memberi tumpuan terhadap jenayah ini termasuk dengan memberi kesedaran kepada pemilik rumah atau premis perniagaan supaya lebih berwaspada mengenai tahap keselamatan premis masing-masing," katanya.

Full content generated by Get Full RSS.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan