Selasa, 27 Disember 2011

Berita Harian: Wilayah

Berita Harian: Wilayah


Gadai nyawa naik bot haram

Posted: 26 Dec 2011 01:34 PM PST

Wilayah

PASIR MAS: Segelintir rakyat Malaysia yang berkunjung ke Pekan Mundok, Selatan Thailand, sengaja menempah bahaya apabila menggunakan perkhidmatan bot haram.

Ketua Polis negeri, Datuk Jalaluddin Abdul Rahman, berkata pekan berkenaan yang hanya dipisahkan dari Bukit Lata, Jeram Perdah, Kelantan oleh Sungai Golok, menjadi tarikan pengunjung terutama hari Isnin dan Jumaat.

Katanya, tanpa disedari pengunjung terbabit terdedah kepada bahaya apabila menggunakan perkhidmatan bot haram yang disediakan rakyat Thailand kerana tidak menyediakan ciri keselamatan iaitu jaket keselamatan. "Dianggarkan kira-kira 5,000 rakyat Malaysia setiap minggu sanggup menggadai nyawa hanya untuk ke pekan berkenaan untuk membeli belah tanpa menghiraukan keselamatan diri serta keluarga.

"Bot berkenaan tidak menyediakan jaket keselamatan sekali gus mendedahkan penumpang kepada risiko lemas sekiranya berlaku bencana ketika menyeberangi sungai berkenaan.

"Saya menasihatkan pengguna supaya memikirkan keselamatan ketika hendak ke pekan berkenaan terutama menggunakan bot tidak berlesen itu," katanya ketika meninjau kawasan sempadan Kelantan-Thailand, di Bukit Lata, Jeram Perdah, dekat sini, kelmarin. Hadir sama, Ketua Polis Daerah Pasir Mas, Asisten Komisioner, Haliludin Rahim.

Jalaluddin berkata, rakyat Malaysia yang menggunakan menyeberang ke pekan itu dari pangkalan haram juga terdedah kepada undang-undang negara mengikut Akta Imigresen.
"Selain terdedah kepada maut (sekiranya lemas), rakyat Malaysia juga berisiko ditangkap pegawai Imigresen mengikut Akta Imigresen kerana tiada dokumen sah.

"Ada 66 pangkalan haram dikesan sepanjang Sungai Golok dengan 28 daripadanya masih aktif digunakan untuk pelbagai kegiatan," katanya.

Full content generated by Get Full RSS.

Pengusaha bas tunggu bantuan

Posted: 26 Dec 2011 01:20 PM PST

Wilayah

PENUMPANG bas henti-henti di Kuantan merosot sehingga 50 peratus.

PENUMPANG bas henti-henti di Kuantan merosot sehingga 50 peratus.

Jumlah pelanggan berkurangan, kos operasi tinggi

KUANTAN: Pengusaha bas henti-henti berskala kecil di daerah ini berharap memperoleh bantuan dana khas RM400 juta seperti yang diumumkan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak minggu lalu, sekali gus menyelamatkan perniagaan mereka daripada gulung tikar.

Pengurus Operasi Bee Huat OmniBus Sdn Bhd, Mohd Akmal Kong Abdullah berkata, ketika ini hanya separuh daripada 45 bas milik syarikat diusahakan keluarganya sejak 1973, beroperasi berikutan kos operasi tinggi dan pelanggan yang semakin berkurang. "Sejak 2009, jumlah pelanggan yang menggunakan bas henti-henti di daerah ini merosot kira-kira 40 hingga 50 peratus, namun dalam masa sama, kos operasi dan penyelenggaraan pula meningkat setiap tahun," katanya ketika ditemui di sini, semalam.

Beliau menyambut baik usaha kerajaan meluluskan peruntukan terbabit walaupun belum jelas mengenai kaedah yang akan digunakan bagi membantu mereka menerusi dana itu.

"Kami belum menerima maklumat lanjut bagaimana dana itu akan digunakan atau diagihkan, namun berharap jalan penyelesaian terbaik dapat dilaksanakan untuk kepentingan semua pengusaha bas henti-henti," katanya.

Selasa lalu, Perdana Menteri mengumumkan dana RM400 juta bagi menyelamatkan perkhidmatan bas henti-henti yang terjejas berikutan masalah kewangan untuk menjaga kepentingan rakyat yang bergantung kepada perkhidmatan awam berkenaan.
Beliau berkata, dana yang diluluskan itu akan diuruskan Suruhanjaya Pengangkutan Awam Darat (SPAD) yang akan mengagihkan RM100 juta pada suku pertama 2012, bagi membantu syarikat pengusaha bas meneruskan operasi.

"Untuk fasa pertama, dana bantuan ini akan digunakan bagi membantu syarikat bermasalah di Selangor diikuti negeri lain seperti Negeri Sembilan dan Pahang.

"Dana ini adalah langkah sementara yang diharap dapat menyelamatkan perkhidmatan bas henti-henti demi kepentingan rakyat," katanya.

Sementara itu, Pengurus Operasi Rahmat Alam Enterprise Sdn Bhd, Rohazila Rahmatullah berkata, kebanyakan pengusaha bas henti-henti di daerah ini dibebani masalah kewangan untuk meneruskan operasi sehingga ada yang terpaksa menanggung rugi.

"Namun, dana yang diumumkan kerajaan memberi nafas baru kepada pengusaha bas henti-henti kecil terutama di daerah ini yang sebelum ini hidup segan, mati tak mahu," katanya yang mewarisi perniagaan itu daripada bapanya.

Rohazila berkata, syarikat miliknya itu mempunyai sembilan bas tetapi hanya dua yang beroperasi dan mampu memberi pendapatan yang konsisten berikutan destinasi laluan bas berkenaan tidak bersaing dengan syarikat bas lain.

"Namun, bagi pengusaha bas lain, pendapatan mereka tidak menentu, malah ada ketika terpaksa menanggung rugi berikutan jumlah pelanggan semakin berkurangan namun kami tetap perlu menanggung kos operasinya," katanya.

Full content generated by Get Full RSS.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan