Selasa, 20 Disember 2011

Berita Harian: Wilayah

Berita Harian: Wilayah


Kenderaan berat ancam keselamatan penduduk

Posted: 19 Dec 2011 04:38 PM PST

Wilayah

MANSOR menunjukkan tanda amaran lastik kepada kenderaan berat supaya lebih berhati-hati selain mengurangkan laju.

MANSOR menunjukkan tanda amaran lastik kepada kenderaan berat supaya lebih berhati-hati selain mengurangkan laju.

Pemandu kejar masa ulang-alik angkut tanah, batu

JITRA: Kira-kira 600 penduduk di Kampung Banai di sini, kesal dengan sikap pemandu kenderaan berat terutama lori muatan tanah, pasir dan batu yang memandu laju sehingga mengancam keselamatan penduduk setempat.

Keadaan itu sekali gus menyebabkan peningkatan kemalangan maut akibat sikap pemandu lori yang mementingkan diri sehingga mengabaikan keselamatan pengguna jalan raya yang lain terutama penunggang motosikal. Pengerusi Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Kampung Persekutuan (JKKP) Kampung Banai, Mansor Din, 56, berkata penduduk terutama penunggang motosikal di kampung itu kecewa dengan tindakan pemandu lori terbabit dan mahu pihak berkuasa mengambil tindakan sewajarnya.

Katanya, perbuatan tidak bertanggungjawab pemandu kenderaan berat itu sekali gus meletakkan nyawa penduduk dalam keadaan bahaya menyebabkan penduduk bersepakat meletakkan papan tanda amaran kepada golongan terbabit.

"Bagi mengelakkan sebarang musibah, penduduk berusaha meletakkan papan tanda amaran yang mempunyai lambang lastik selain memberi peringatan kepada pemandu lori yang melalui kawasan itu supaya memperlahankan kenderaan mereka.

"Justeru, kita berharap supaya pemandu kenderaan berat ini dapat mematuhi peraturan memandu 40 kilometer (km) sejam di kawasan berkenaan bagi mengelak kemalangan terutama kepada penunggang motosikal.
"Hasil pemantauan penduduk, kebanyakan pemandu lori memandu dalam keadaan laju kerana mahu mengejar trip perjalanan untuk berulang alik mengambil pasir, tanah dan batu di kuari berhampiran.

"Apabila muatan yang dibawa terlalu berat, ia boleh menyebabkan ketidakseimbangan lori yang boleh menyebabkan kemalangan apabila dipandu laju," katanya ketika ditemui di sini, semalam.

Pengarah Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) Kedah, Ahmad Musadad Sulaiman ketika dihubungi berkata, pihaknya sedang giat menjalankan operasi untuk memantau kegiatan lori yang dipandu laju terutama di kawasan berhampiran kuari di seluruh negeri ini.

Full content generated by Get Full RSS.

15 lubang sepanjang 50 meter

Posted: 19 Dec 2011 04:35 PM PST

Wilayah

KENDERAAN yang melalui Jalan Sungai Kayu Ara, Seksyen 32, Shah Alam terpaksa berhati-hati di laluan berlubang.

KENDERAAN yang melalui Jalan Sungai Kayu Ara, Seksyen 32, Shah Alam terpaksa berhati-hati di laluan berlubang.

Pengguna Jalan Sungai Kayu Ara kesal laluan rosak tak sampai sebulan diturap

SHAH ALAM: Tidak sampai sebulan diturap, pengguna yang melalui Jalan Sungai Kayu Ara, di sini terpaksa meredah jalan yang berlubang semula sehingga menyebabkan kesesakan teruk pada waktu puncak.

Tinjauan mendapati, pengguna terpaksa memperlahankan kenderaan masing-masing apabila melalui jalan terbabit kerana terdapat hampir 15 lubang besar dalam jarak 50 meter. Sehubungan itu, penduduk mahu pihak berkuasa tempatan (PBT) segera membaiki jalan berlubang terbabit sebelum kerosakan bertambah teruk dan membahayakan nyawa pengguna.

Pengguna, M Selvanathan, 42, berkata beliau pernah terjatuh ke dalam lubang terbabit sehingga cedera di kaki dan badan.

"Ketika kejadian, saya baru pulang dari kerja kira-kira jam 7.40 malam. Sewaktu melalui jalan ini, saya tidak perasan terdapat lubang besar di depan kerana lubang dipenuhi lopak air.

"Ini menyebabkan motosikal saya rosak teruk dan saya tidak berani lagi untuk pulang lewat malam melalui jalan ini," katanya.
Selvanathan berkata, disebabkan keadaan jalan yang tidak memuaskan, kenderaan lain seperti kereta dan lori terpaksa menggunakan laluan bertentangan dan ini boleh mengundang kemalangan.

Seorang lagi pengguna, Syahrial Mukhtar, 60, berkata jalan berlubang dan rosak di kawasan itu sering berlaku disebabkan penurapan jalan tidak dilakukan dengan betul dan menggunakan bahan yang kurang berkualiti.

"Pihak bertanggung jawab perlu memastikan jalan berlubang itu ditampal dengan betul serta berkualiti untuk digunakan bagi tempoh masa lama bagi mengelak masalah sama tidak berulang.

"Jalan ini laluan utama bagi lori besar kerana ia terletak di kawasan perindustrian dan sudah banyak kemalangan berlaku di jalan itu kerana keadaan jalan yang berlubang," katanya.

Pekerja swasta, Nur Farahida Rusley, 26, berkata rim keretanya pernah bengkok akibat terperosok ke dalam lubang kerana tidak sempat mengelak kerana berselisih dengan kenderaan lain.

"Mahu atau tidak, saya terpaksa memperlahankan kereta dan ada kalanya terpaksa juga meredah lubang berkenaan," katanya.

Full content generated by Get Full RSS.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan