Berita Harian: Nasional |
| Posted: 16 Dec 2011 12:12 PM PST Nasional MEF cadang tempoh transisi penetapan RM900 elak majikan 'tutup kedai'KUALA LUMPUR: Persekutuan Majikan Malaysia (MEF) memohon kerajaan memberi tempoh transisi selama tiga tahun sebelum melaksanakan sepenuhnya penetapan RM900 sebagai gaji minimum nasional bagi membolehkan majikan menyesuaikan diri dengan dasar baru yang akan diputuskan nanti. Ini bermakna jika kerajaan bersetuju melaksanakan tempoh transisi bermula tahun depan, maka semua pekerja akan menerima gaji pokok RM900, selewat-lewatnya pada 2014.Tempoh transisi tiga tahun munasabah untuk dilaksanakan, jika kerajaan memutuskan RM900 sebagai gaji minimum. - Shamsuddin Bardan, Pengarah Eksekutif MEF Dengan kata lain, pekerja akan menerima gaji pokok RM700 bermula 2012 sebelum menerima kenaikan RM100 setiap tahun sehinggalah jumlah gaji pokok mencecah RM900 seperti dijangka disyorkan Majlis Perundingan Gaji Negara (MPGN) kepada kerajaan.Difahamkan, dasar gaji minimum itu bagaimanapun tidak tertakluk kepada sektor pembantu rumah, pekerja yang mengikuti skim latihan dan syarikat mikro yang akan menetapkan gaji pekerja mengikut pasaran. Pengarah Eksekutif MEF, Shamsuddin Bardan, berkata tempoh transisi itu penting bagi memastikan tiada majikan yang terbeban dengan pelaksanaan gaji minimum yang akan disyorkan MPGN kepada kerajaan sebelum akhir bulan ini. Katanya, tempoh pelaksanaan itu juga memberikan ruang kepada kerajaan meneliti implikasi pelaksanaan gaji minimum itu dan melakukan proses penambahbaikan. Beliau mengulas laporan muka depan akhbar ini semalam mengenai penetapan RM900 sebagai gaji minimum yang akan disyorkan MPGN. Majlis itu juga dijangka memuktamadkan butiran teknikal mengenai penetapan gaji minimum itu dalam mesyuarat Isnin depan sebelum cadangan itu dibawa kepada kerajaan, akhir bulan ini. Penetapan gaji minimum itu dijangka dilaksanakan awal tahun depan ekoran desakan persatuan pekerja terutama Kongres Kesatuan Sekerja Malaysia (MTUC) yang meminta kerajaan menetapkan antara RM900 dan RM1,200 sebagai gaji pokok, selaras dengan hasrat Malaysia menjadi negara berpendapatan tinggi menjelang 2020. Menteri Sumber Manusia, Datuk Dr S Subramaniam sebelum ini berkata, kerajaan akan mengumumkan kadar gaji minimum menjelang akhir tahun ini berdasarkan syor MPGN yang dipengerusikan bekas Hakim Besar Sabah dan Sarawak, Tan Sri Steve Shim Lip Kiong. Sebelum ini, kaedah penetapan gaji dilaksanakan berdasarkan kuasa pasaran, Perjanjian Bersama (CA) dan Majlis Penetapan Gaji (MPG) di bawah Akta Majlis Penetapan Gaji 1947. Bagaimanapun, daripada tiga mekanisme itu, hanya gaji diputuskan MPG ditetapkan sebagai gaji minimum, tetapi terhad kepada subsektor tertentu bagi kumpulan pekerja mudah terjejas, termasuk pembantu kedai, pekerja pelabuhan, hotel dan pengawal keselamatan. Tahun lalu, bekas Presiden MTUC, Syed Shahir Syed Mohamud, berkata kira-kira 2.2 juta pekerja tempatan menerima gaji pokok di bawah RM1,000 sebulan dengan lebih 1.8 juta daripadanya di bawah paras kemiskinan dan kemiskinan tegar. |
| Sultan kesal 2 solat Jumaat satu qariah Posted: 16 Dec 2011 12:08 PM PST Nasional SULTAN Mizan bersalaman dengan jemaah diiringi Tengku Muhammad Ismail dan Tengku Muhammad Mua'az pada perasmian Masjid Sultan Ismail, Chendering, semalam. KUALA TERENGGANU: Sultan Mizan Zainal Abidin semalam melahirkan rasa dukacita baginda terhadap kejadian dua solat Jumaat dalam satu qariah tanpa kebenaran yang masih berlaku di beberapa daerah di Terengganu. Sultan Terengganu bertitah, kejadian itu disebabkan tiada persefahaman dalam mencari jalan penyelesaian ke atas sesuatu masalah yang dihadapi, sekali gus menyebabkan Islam tercemar, maruah bangsa Melayu Islam ternoda dan umat Islam dihina serta dipermainkan. "Keadaan ini amat menyedihkan Beta selaku ketua agama dan pemimpin umat Islam di negeri ini," titah baginda ketika merasmikan Masjid Sultan Ismail di Chendering, semalam. Turut berangkat, Yang Di-Pertuan Muda Terengganu, Tengku Muhammad Ismail dan Tengku Muhammad Mua'az serta Menteri Besar, Datuk Seri Ahmad Said.Baginda kemudian menunaikan solat Jumaat di masjid berkenaan yang sebelum ini dikenali sebagai Masjid Raja. Sementara itu, Pesuruhjaya Jabatan Hal Ehwal Agama Islam Terengganu (JHEAT), Mohd Rozali Salleh, berkata masalah solat Jumaat di dua masjid dalam satu mukim sejak lebih 20 tahun lalu sukar diselesaikan walaupun pelbagai tindakan dilakukan jabatan itu. Sambil mengakui ada 11 masjid di Marang, Setiu dan Besut masih melakukan dua solat Jumaat dalam satu kariah berbanding 23 masjid sebelum ini, beliau mengesahkan sedang menyiapkan kertas laporan mengenai perkara itu sebelum diserahkan kepada Majlis Agama Islam dan Adat Melayu (MAIDAM) untuk dipersembahkan kepada Sultan Terengganu.
|
| You are subscribed to email updates from Berita Harian: Nasional To stop receiving these emails, you may unsubscribe now. | Email delivery powered by Google |
| Google Inc., 20 West Kinzie, Chicago IL USA 60610 | |
Tiada ulasan:
Catat Ulasan