Selasa, 29 November 2011

Utusan Online - Utara

Utusan Online - Utara


Perhiasan perak jadi pilihan

Posted:

Perhiasan perak jadi pilihan

Perhiasan perak jadi pilihan

Oleh MALINDA ABDUL MALIK
utusanpenang@utusan.com.my


Paramasivam menggunakan peralatan tradisional untuk kerja pertukangan emas dan perak di kedai Lebuh Queen di Pulau Pinang.


PULAU PINANG - Jika sebelum ini barang kemas yang diperbuat daripada emas menjadi pilihan, kini perhiasan diri perak semakin digemari.

Perak bukan sahaja menjadi kegilaan golongan wanita malah, golongan lelaki yang mementingkan gaya dan penampilan turut memilihnya.

Bagi masyarakat India, perhiasan perak kini menjadi trend di kalangan mereka tidak kira wanita mahu pun lelaki, muda atau tua.

Seorang tukang emas dan perak, N. Paramasivam, 50, berkata, trend tersebut tercetus berikutan kenaikan harga emas yang begitu tinggi lalu menyaksikan pelanggan beralih kepada koleksi barangan kemas perak.

"Memandangkan harga emas kini naik sebanyak RM180 bagi setiap gram, ramai pelanggan memilih cincin dan subang hidung perak yang boleh ditempah pada harga serendah RM150 segram.

"Pelanggan terutama wanita tanpa mengira peringkat usia mula menggemari perak yang boleh dibentuk menjadi hiasan diri yang cantik," katanya yang memiliki kedai emas di Lebuh Pasar di sini.

Menurut beliau, hampir 60 peratus pelanggannya menempah koleksi hiasan diri daripada logam itu seperti rantai bertakhta batu nasib yang sesuai digayakan dengan sari mahupun pakaian kasual.

"Bagi mereka (pelanggan), pemakaian barang kemas perak dengan hiasan batu berwarna-warni mampu menaikkan seri wajah si pemakai," jelasnya.

Beliau menambah, setiap koleksi yang dihasilkannya direka khas buat seorang pelanggan sahaja.

Ia membolehkan setiap pelanggannya merasakan barang kemas yang dipakai mereka begitu eksklusif.

Pelanggan akan berasa puas kerana setiap rekaan mampu memenuhi kepuasan dan kehendak mereka.

Hasil seperti itu mungkin tidak boleh diperoleh di kedai lain.

Kesemua barangan kemas yang dihasilkan menggunakan tukul besi, pahat dan berus tembaga.

Setiap perhiasan yang ditempah mengambil masa di antara dua hingga tiga hari untuk disiapkan bergantung kepada kreativiti rekaan.

Disebabkan kaedah pertukangan secara tradisional yang diamalkannya, kedai beliau sering menjadi tumpuan ramai.

Kepakaran yang ada pada Paramasivam diwarisi daripada nenek moyangnya.

Baginya, warisan membuat emas dan perak secara tradisional wajar dipertahankan supaya tidak pupus berikutan teknologi canggih masa kini membolehkan perhiasan diri dibuat menggunakan mesin.

Full content generated by Get Full RSS.

Pembangunan di kaki gunung

Posted:

Pembangunan di kaki gunung

Pembangunan di kaki gunung

Oleh AMIZUL TUNIZAR AHMAD TERMIZI
utusanperak@utusan.com.my


Jawatankuasa penduduk The Dales, Panorama Tambun Perdana meninjau kawasan rizab yang gondol di kaki Gunung Panjang bersebelahan perumahan mereka berhampiran Ipoh, semalam.


IPOH 28 Nov. - Penduduk kediaman banglo dan kondominium mewah di The Dales, Panaroma Tambun Perdana di sini mendesak kerajaan negeri campur tangan bagi menghentikan pembangunan kawasan di cerun dan kaki bukit Gunung Panjang yang bakal mengundang tanah runtuh.

Mereka mendakwa, sebarang pembangunan di kawasan yang terletak terlalu hampir dengan kediaman penduduk sangat berisiko kerana boleh menyebabkan kemusnahan harta benda dan kehilangan nyawa.

Sehubungan itu, mereka meminta supaya kawasan tersebut diwartakan sebagai zon penampan dan tanah rezab kubur Islam milik Majlis Agama Islam Perak (MAIP) manakala ladang herba yang hendak dibangunkan di situ dipindahkan ke tempat lain.

Wakil penduduk, Wong Pek Yin, 45, berkata, syarikat kontraktor yang menyewa tanah rezab kubur seluas 3.2 hektar daripada MAIP untuk dijadikan ladang herba telah memulakan kerja-kerja pembersihan tanah pada Februari lalu.

''Mereka bukan sahaja menebang pokok dan semak-samun, malah mengeluarkan bahan batu di kaki bukit itu dan ini membimbangkan kami kerana mungkin berlaku kejadian tanah runtuh dan batu runtuh," katanya ketika ditemui di The Dales di sini, hari ini.

Pek Yin berkata, setelah membuat aduan kepada Menteri Besar Perak, Datuk Seri Dr. Zambry Abd. Kadir dan Majlis Bandaraya Ipoh (MBI) pada Mac dan Mei lalu, kerja-kerja tanah di situ telah dihentikan sebelum dijalankan semula pada minggu lepas.

''Syarikat kontraktor itu memberikan salinan surat kebenaran menyewa tanah MAIP dan kebenaran mengambil bahan batuan daripada Pejabat Tanah dan Galian serta kebenaran mengeluar tanah buangan daripada Unit Perancang Ekonomi Negeri.

''Oleh kerana kerja-kerja mengeluarkan pokok dan batuan kali ini lebih pantas, penduduk terpaksa bersemuka dengan syarikat kontraktor tersebut dengan kehadiran polis serta MBI,"' katanya.

Menurut wanita itu, walaupun MBI telah mengeluarkan arahan henti kerja serta-merta ke atas kontraktor itu di atas tanah lapang di bawah kuasa agensi itu, pihaknya bimbang kontraktor tersebut akan menggunakan laluan lain untuk memasuki tanah rezab kubur berkenaan.

Seorang penduduk, Azhar Sulaiman, 48, pula mempersoalkan motif sebenar pembangunan ladang herba di atas tanah rezab kubur itu kerana kawasan tersebut tidak subur.

''Saya fikir mereka ada agenda lain iaitu untuk membawa keluar bijih besi dari kawasan itu kerana ada segelintir pihak hendak cari makan," katanya.

Seorang lagi penduduk, Dr. Cheng Wei Yee berkata, mereka tidak akan membeli rumah di The Dales jika mengetahui ada tapak kubur di situ.

''Ada 18 buah rumah banglo baru berharga antara RM2.5 juta hingga RM3 juta sedang dibangunkan di sini. Kalau ada kubur dan masalah tanah runtuh di sini, nanti rumah tersebut tidak laku," katanya.

Kebimbangan penduduk itu berasas kerana Jabatan Mineral dan Geosains (JMG) negeri dalam surat maklum balas kepada aduan penduduk, menyatakan bahawa kawasan kerja tanah itu termasuk dalam zon bahaya berdasarkan kepada Garis Panduan Pengelasan Cerun Bukit Kapur dan Zon Keselamatan JMG 2003.

Ini kerana kawasan itu pada dasarnya berfungsi sebagai zon penampan semula jadi sekiranya berlaku jatuhan batuan akibat kegagalan cerun.

Full content generated by Get Full RSS.

Pak Ya tidak serik sudah tiga kali dipatuk ular belaan

Posted:

Pak Ya tidak serik sudah tiga kali dipatuk ular belaan

Pak Ya tidak serik sudah tiga kali dipatuk ular belaan


Aksi Pak Ya ketika bersama ular di Jabatan Kebudayaan dan Kesenian Negeri Perak di Ipoh, baru-baru ini.


IPOH 28 Nov. - Tanya rakan di sekeliling anda mengenai ular, pasti ramai malah mungkin semua mereka menyatakan rasa takut terhadap haiwan berbisa itu.

Apatah lagi serangan haiwan itu boleh mendatangkan pelbagai komplikasi lebih-lebih lagi sekiranya mangsa merupakan seorang kanak-kanak.

Di India misalnya, kadar kematian manusia yang disebabkan patukan ular dianggarkan antara 1,300 ke 50,000 orang setahun.

Bagaimanapun, fakta-fakta itu tidak sedikit pun menggentarkan Yahya Abdullah, 60, yang menganggap reptilia itu sebagai rakan karibnya.

Berasal dari Batu Pahat, Perlis, Yahya atau lebih mesra dengan panggilan Pak Ya bukan sahaja tidak kekok memegang ular, malah cukup selesa 'beraksi' dengan haiwan itu yang dianggap teman sepermainan.

Semuanya bermula sewaktu Yahya masih berusia tujuh tahun. Ketika itu datuknya, Muhammad Karnaian yang berketurunan Siam sudah mula menjinakkan diri dengan ular sehingga mendorongnya berkongsi minat yang sama.

"Ketika itu saya diajar memegang haiwan tersebut kerana arwah datuk dahulu keturunannya dari Thailand memang pandai bermain ular.

"Namun, pada usia 30 tahun, baru saya berani 'bermesra' dengan ular punti yang berwarna hitam berkilat disertai jalur kuning," katanya ketika ditemui Utusan Malaysia baru-baru ini.

Ular punti yang hidup di hutan hujan dan monsun tropika mempunyai kepala dan mulut yang besar bagi membolehkannya menelan mangsa seperti tupai dan telur burung.

Yahya yang merupakan anak keempat daripada enam beradik berkata, adik beradiknya yang lain tidak berminat mendekati ular kerana tidak mahu meninggal dunia akibat patukan haiwan tersebut.

Namun, alah bisa tegal biasa, meskipun, pernah dipatuk tiga kali sebelum ini, ia tidak sesekali membuat Yahya gentar untuk terus 'bersahabat' dengan haiwan tersebut.

"Kali terakhir saya dipatuk adalah semasa hari kedua Aidilfitri lalu oleh seekor ular tedung sehingga dimasukkan ke Hospital Taiping.

"Sebelum ini, saya juga pernah dipatuk ular tedung dan King Cobra' ketika cuba menjinakkan mereka," katanya yang kini menetap di Lembah Beriah, Bukit Merah.

Menceritakan pengalamannya dalam berdepan dengan pelbagai spesies reptilia itu, Yahya memberitahu, ular tedung merupakan yang paling berbisa.

Dia yang memperoleh lesen untuk memiliki haiwan tersebut menyimpan dua ekor ular tedung di sebuah kandang tertutup di belakang rumahnya.

"Ular tedung apabila 'bangun', kepalanya kembang dan matanya tidak berkelip. Namun, apabila 'berdiri' tegak, ia tidak akan mematuk melainkan berundur ke belakang sedikit sebelum berbuat demikian.

"Ular tidak akan mematuk sekiranya tidak berasa dirinya terancam. Oleh itu, kalau terserempak di hutan, terus sahaja diamkan diri dan jangan bergerak.

"Begitu juga kalau tidak ingin rumah dimasuki ular, hendaklah dipastikan bahawa katak dan tikus juga tidak bersembunyi di dalamnya," nasihat Yahya.

Bapa kepada enam anak itu memberitahu, dia sering dihubungi beberapa agensi seperti Jabatan Perkhidmatan Awam serta Jabatan Bomba dan Penyelamat bagi membantu sebarang usaha menyelamat berkaitan dengan ular.

Menurut Yahya, cara terbaik memegang ular adalah di bahagian lehernya ketika keadaan kering memandangkan sentuhan di hujung 'ekor' haiwan berkenaan akan menyebabkan reptilia itu bertindak balas.

Tambahnya, bagi mencium ular, keadaan posisi badan harus ditundukkan ke bawah kerana mata haiwan pemangsa itu tidak akan nampak sepenuhnya.

"Saya tidak percaya dengan mana-mana petua yang menyimpan batu delima tertentu untuk mudah berdamping dengan ular, itu semuanya karut," kata Yahya yang turut dijemput mengadakan persembahan di Bukit Merah Laketown Resort.

Full content generated by Get Full RSS.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan