Isnin, 28 November 2011

Utusan Online - Mahkamah

Utusan Online - Mahkamah


Ahmad Ramzi dipenjara setahun hantar SMS ugutan

Posted:

Ahmad Ramzi dipenjara setahun hantar SMS ugutan

Ahmad Ramzi dipenjara setahun hantar SMS ugutan

KUALA TERENGGANU 28 Nov. - Bekas Setiausaha Politik kepada bekas Menteri Besar, Datuk Seri Idris Jusoh, Datuk Dr. Ahmad Ramzi Mohamad Zubir dihukum 12 bulan penjara setelah didapati bersalah terhadap empat pertuduhan memfitnah dan menghantar khidmat pesanan ringkas (SMS) ugutan kepada tiga wakil rakyat Barisan Nasional (BN) dua tahun lalu.

Keputusan dibuat hari ini oleh Hakim Mahkamah Sesyen, M. Bakri Abd. Majid selepas mendengar hujah daripada kedua-dua pihak. Tertuduh turut memberi keterangan membela diri secara bersumpah.

Hukuman itu diperintah dijalankan secara berasingan dengan setiap pertuduhan tiga bulan penjara kerana kesalahan mengugut tiga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) iaitu Mohd. Ariffin Abdullah (Paka), Abd. Halim Jusoh (Permaisuri) dan Datuk Rosol Abd. Wahid (Ajil).

Dr. Ahmad Ramzi dituduh melakukan perbuatan itu di alamat E726, Kampung Kubang Parit antara pukul 11.21 malam dan 11.25 malam, pada 13 April 2009. Dia didakwa mengikut Seksyen 233(1)(a) Akta Komunikasi dan Multimedia 1998.

Tertuduh juga didapati bersalah memfitnah bekas Setiausaha Sulit Menteri Besar Terengganu, Wan Ahamad Wan Muda (kini Timbalan Setiausaha Kerajaan Negeri) dengan menghantar SMS ugutan melalui nombor telefon bimbit 019-9158369 milik Wan Ahamad.

Bagi kesalahan itu, tertuduh dihukum tiga bulan penjara mengikut Seksyen 500 Kanun Keseksaan.

Dalam pada itu, M. Bakri, sewaktu membacakan keputusan itu berkata, pihak pembelaan gagal membuktikan keraguan munasabah terhadap kesemua pertuduhan.

Beliau menjelaskan, hukuman sewajarnya dikenakan ke atas tertuduh mengikut trend dan tuntutan semasa berdasarkan dunia tanpa sempadan apabila perlakuan jenayah telah berubah dengan menggunakan Internet.

M. Bakri seterusnya menyifatkan perbuatan tertuduh adalah berat serta serius dan walaupun tidak membabitkan kecederaan fizikal tetapi ia amat perit kerana telah menjejaskan reputasi atau harga diri.

Dr. Ahmad Ramzi diwakili tiga peguam iaitu Datuk Hazman Ahmad, Mohd. Noor Mahmood dan Rosli Abd. Rahman manakala pendakwaan oleh Timbalan Pendakwa Raya, Mohd. Jazamuddin Ahmad Nawawi selain Ooi Chooi Gaik dan Nur Azimul Azami.

Sementara itu, Hazman dalam hujahnya merayu mahkamah agar meringankan hukuman ke atas tertuduh memandangkan perbuatannya tidak mendatangkan kecederaan fizikal.

Bagaimanapun hujah itu disanggah Mohd. Jazamuddin dengan alasan bahawa hukuman setimpal wajar dikenakan sebagai pengajaran kepada tertuduh dan orang lain agar tidak melakukan perbuatan serupa.

Menurutnya, biarpun tidak mendatangkan kecederaan fizikal tetapi ia menjatuhkan reputasi Wan Ahamad dan kerajaan di bawah pimpinan Menteri Besar, Datuk Seri Ahmad Said.

Pihak pembelaan memohon mahkamah menangguhkan hukuman, sementara pihaknya memfailkan rayuan di Mahkamah Tinggi sebelum 1 Disember ini.

Hakim M. Bakri membenarkan permohonan itu dan tertuduh dibenarkan diikat jamin RM15,000 dengan dua orang penjamin. Tertuduh kemudian membayar jaminan itu.

Full content generated by Get Full RSS.

Mahkamah Syariah guna e-nota

Posted:

Mahkamah Syariah guna e-nota

Mahkamah Syariah guna e-nota

Oleh SITI AIRUNNISA ALAUI
pengarang@utusan.com.my

KUALA TERENGGANU 28 Nov. – Jabatan Kehakiman Syariah Terengganu (JKST) muncul yang pertama di negara ini mengaplikasikan penggunaan sistem 'inquisetorial' dan e-nota bicara dalam proses perbicaraan apabila ia digunakan bermula tahun depan.

Ketua Hakim Syarie Terengganu, Datuk Ismail Yahya berkata, sistem tersebut dilaksanakan sejak tiga bulan lalu secara percubaan di seluruh jabatan itu dan bakal dikuatkuasakan Januari depan bagi mempercepatkan penyelesaian kes pemohon.

Katanya, melalui penggunaan sistem berkenaan, hakim dibenarkan mengemukakan soalan kepada kedua-dua pihak yang dibicara selain disusuli dengan penggunaan e-nota bicara iaitu kaedah yang mampu memendekkan proses perbicaraan apabila nota bicara diperoleh dalam tempoh satu jam berbanding enam minggu sebelum ini.

"Sistem inquisetorial sangat membantu dalam proses perbicaraan apabila hakim boleh bertanyakan soalan kepada defendan dan plaintif dan bukan hanya menunggu keterangan peguam mereka pada akhir prosiding.

"Selain itu, proses perbicaraan juga akan lebih telus apabila kedua-dua pihak yang dibicara dapat melihat nota bicara yang ditaip oleh hakim secara langsung di skrin yang disediakan ketika proses perbicaraan, malah mereka boleh membetulkan nota bicara itu sekiranya tidak bersetuju dengan kenyataan yang ditulis oleh hakim," katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita ketika Sambutan Hari Inovasi Peringkat Jabatan Kehakiman Syariah negeri dan Majlis Anugerah Perkhidmatan Cemerlang (APC) 2011 di Mahkamah Syariah di sini, hari ini.

Turut hadir Setiausaha Kerajaan Negeri, Datuk Mazlan Ngah yang turut menyampaikan penghargaan kepada tiga kakitangan JKST yang bersara serta lapan orang penerima APC jabatan itu bagi 2011.

Mengulas perkara sama, Ismail berkata, penggunaan dua sistem itu yang diambil contoh daripada jabatan kehakiman di Arab Saudi diyakini mampu meningkatkan perkhidmatan jabatan kehakiman negeri ini apabila sebanyak 303 kes mampu diselesaikan dalam tempoh sebulan sejak ia dilaksanakan.

Katanya, kerjasama yang erat terjalin di antara pihaknya dengan Arab Saudi membolehkan kuota seramai 40 orang pegawai dihantar menghadiri kursus kehakiman selama sebulan di negara tersebut yang ditanggung sepenuhnya oleh kerajaan itu.

"Kursus tersebut diadakan sejak dua tahun lalu dan pada tahun ini seramai 40 orang lagi akan dihantar untuk mengikuti kursus yang sama.

"Melalui kursus itu, pegawai didedahkan dengan perkhidmatan kehakiman yang lebih maju agar ia boleh diaplikasikan di negara ini," jelasnya.

Dalam pada itu, Ismail memberitahu, sebanyak 11 buah televisyen interaktif disediakan di 11 lokasi di jabatan kehakiman itu melibatkan kos RM74,000 bagi memudahkan masyarakat mendapatkan maklumat terkini status sesuatu kes yang dijalankan.

Full content generated by Get Full RSS.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan