Isnin, 28 November 2011

Utusan Online - Dalam Negeri

Utusan Online - Dalam Negeri


Tangani secara berhemah

Posted:

Tangani secara berhemah

Tangani secara berhemah

Oleh ZAMZURINA AHMAD
zamzurina.ahmad@utusan.com.my


SULTAN Ahmad Shah menyampaikan Anugerah Tokoh Maal Hijrah 1433 Negeri Pahang kepada Tan Sri Abdul Rashid Abdul Rahman (dua, kanan) di Kompleks Penyiaran Sultan Haji Ahmad Shah, Kuantan, semalam. Turut kelihatan Adnan Yaakob (kiri). - UTUSAN/RUSHDI SALLEH


KUANTAN 27 Nov. - Sultan Pahang, Sultan Ahmad Shah bertitah, setiap isu sensitif yang boleh menimbulkan ketegangan dalam masyarakat perlu ditangani dengan penuh persefahaman, rasional dan berhemah.

Baginda bertitah, isu tersebut tidak sepatutnya dibicarakan secara terbuka walaupun diberi hak bersuara.

"Islam menentukan setiap kebebasan mempunyai batas dan sempadan tertentu termasuk hak bersuara.

"Secara amnya kita bebas untuk melakukan sesuatu tetapi mestilah tertakluk kepada sistem dan peraturan negara serta nilai-nilai yang ditentukan oleh agama, moral dan budaya," titah baginda.

Baginda bertitah demikian ketika merasmikan Majlis Sambutan Maal Hijrah 1433 peringkat negeri bertemakan Persefahaman Asas Perpaduan Ummah di sini, hari ini.

Turut berangkat ke majlis berkenaan, Sultanah Pahang, Sultanah Kalsom.

Hadir sama, Menteri Besar, Datuk Seri Adnan Yaakob dan Pengerusi Jawatankuasa Dakwah Islamiah, Perpaduan dan Badan Bukan Kerajaan negeri, Datuk Mohamad Sahfri Ab. Aziz.

Baginda menegaskan, tidak sewajarnya ada kelompok yang terbawa-bawa dengan cara masyarakat yang kononnya mengikut undang-undang dan menuntut apa sahaja atas nama hak dan kebebasan individu.

"Tidak wajar bagi mereka menuntut apa sahaja atas nama hak dan kebebasan individu sehingga membelakangkan sensitiviti agama, nilai dan budaya masyarakat negara ini.

"Justeru, dengan tema penghayatan Maal Hijrah kali ini dapat melahirkan warga yang saling hormat-menghormati dan bertolak ansur serta menjunjung tinggi prinsip perpaduan dan toleransi sejagat," titah baginda.

Full content generated by Get Full RSS.

Abdul Shukor anggap pengiktirafan perangsang terus berbakti

Posted:

Abdul Shukor anggap pengiktirafan perangsang terus berbakti

Abdul Shukor anggap pengiktirafan perangsang terus berbakti

PUTRAJAYA 27 Nov. – Pengiktirafan sebagai Tokoh Maal Hijrah Peringkat Kebangsaan 1433 Hijrah/2011 Masihi akan dijadikan perangsang untuk terus menyumbang khidmat memperkembangkan syiar Islam dan berbakti kepada negara.

Itulah reaksi yang diberikan oleh Pengerusi Jawatankuasa Majlis Fatwa Kebangsaan, Profesor Emeritus Tan Sri Dr. Abdul Shukor Husin, 69, di atas pemilihan beliau itu.

Abdul Shukor berkata, pada mulanya, beliau tidak menyangka akan dipilih kerana menganggap khidmat yang disumbangkan kepada negara tidak begitu besar jika dibandingkan dengan pemimpin sedia ada.

"Walaupun begitu, saya rasa bersyukur dan berterima kasih di atas pengiktirafan ini. Secara tidak langsung menjadi perangsang kepada saya, dan saya akan terus berkhidmat mengikut kemampuan.

"Saya berpegang kepada konsep yang dikatakan oleh Nabi Muhammad SAW, sebaik-baik manusia itu adalah orang yang memberi manfaat kepada manusia lain sebanyak-banyaknya," katanya yang berasal dari Kampung Tebing Tinggi, Jerantut, Pahang itu.

Abdul Shukor diminta mengulas mengenai pengiktirafan tersebut ketika ditemui pemberita pada sidang akhbar Majlis Sambutan Maal Hijrah di Pusat Konvensyen Antarabangsa Putrajaya (PICC), di sini hari ini.

Beliau yang berkelulusan Universiti Al-Azhar itu juga merupakan bekas Naib Canselor Universiti Sains Islam Malaysia (USIM) menerima hadiah wang tunai sebanyak RM100,000 sumbangan kerajaan, RM10,000 daripada Yayasan Ubaidi dan plak penghargaan.

Bagi Tokoh Maal Hijrah Peringkat Antarabangsa pula, Menteri Haji Arab Saudi, Dr. Fouad Abdul Salam 65, dipilih menjadi penerima anugerah pada majlis sambutan sempena memperingati tahun baru Islam 1433 itu.

Beliau yang turut menerima hadiah wang tunai sebanyak RM100,000 hasil sumbangan kerajaan, RM10,000 daripada Yayasan Ubaidi dan plak penghargaan, bagaimanapun Menteri Haji itu tidak dapat hadir pada majlis sambutan tersebut.

Sementara itu, Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Jamil Khir Baharom berkata, pengiktirafan itu diberikan kepada Dr. Fouad kerana sumbangannya dalam memudahkan urusan dan pentadbiran jemaah haji.

"Beliau berusaha melakukan transformasi termasuk kemudahan bangunan penginapan, jambatan bertingkat untuk melontar Jamrah dan mengadakan perkhidmatan monorel di Mekah.

"Khidmat pengurusan oleh Kerajaan Arab Saudi itu bukan sahaja diberikan kepada jemaah Malaysia sahaja malah dari seluruh dunia," katanya.

Full content generated by Get Full RSS.

Konsep Wasatiyyah jamin perpaduan negara

Posted:

Konsep Wasatiyyah jamin perpaduan negara

Konsep Wasatiyyah jamin perpaduan negara

KUALA LUMPUR 27 Nov. – Konsep wasatiyyah atau kesederhanaan adalah pendekatan yang amat sesuai diamalkan oleh negara berbilang kaum seperti Malaysia bagi mengelak rakyat mengamalkan budaya hidup yang melampau demi perpaduan negara.

Ahli Pemegang Amanah Yayasan 1Malaysia, Tan Sri Lee Lam Thye berkata, konsep itu dapat membantu dalam usaha mengekang budaya atau kegiatan fanatik dan ekstremis dalam kalangan masyarakat di negara ini.

"Kita perlu memahami konsep ini dan melaksanakannya dalam semua bidang seperti ekonomi, politik dan sosial bagi menjamin kestabilan, keharmonian, kesejahteraan serta perpaduan rakyat dan negara.

"Perpaduan adalah elemen yang begitu penting bagi negara pada masa hadapan. Oleh itu, pelaksanaan konsep tersebut harus melibatkan semua peringkat masyarakat tanpa mengira kaum," katanya ketika dihubungi Utusan Malaysia di sini hari ini.

Beliau diminta mengulas langkah kerajaan memperkenalkan konsep itu supaya mendidik rakyat berfikir, bertindak secara bijaksana dan berkesan pada Seminar Kebangsaan Pemahaman Wasatiyyah semalam.

Tambah Lam Thye, kesedaran masyarakat terhadap konsep itu masih tidak mencapai tahap yang membanggakan dan masih mempunyai ruang untuk diperbaiki.

"Penerapan konsep itu dapat mengurangkan atau mengelakkan masyarakat melibatkan diri dalam kegiatan ekstremis yang bakal mencetuskan keadaan huru-hara dalam negara serta mengundang perpecahan terhadap perpaduan negara," ujarnya.

Selain itu, beliau turut mencadangkan pelaksanaan konsep itu harus bermula di peringkat tertinggi iaitu tokoh-tokoh tertinggi termasuk tokoh politik supaya menjadi contoh yang baik kepada masyarakat.

"Saya cadangkan pelaksanaan konsep dimulakan dengan tokoh-tokoh tertinggi dan mereka ini perlu mempraktikkan konsep itu dalam ucapan dan aktiviti yang dijalankan," katanya.

Sementara itu, Lam Thye menyeru semua lapisan masyarakat tanpa mengira agama, budaya dan bangsa supaya menerima konsep tersebut kerana tujuannya adalah mencapai kestabilan dan perpaduan negara.

Full content generated by Get Full RSS.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan