Selasa, 29 November 2011

Utusan Online - Selatan

Utusan Online - Selatan


Basmi buta huruf Orang Asli

Posted:

Basmi buta huruf Orang Asli

Basmi buta huruf Orang Asli

Oleh FARABI SHEIKH SAID AL JABRI
utusanN9@utusan.com.my


Sebahagian daripada masyarakat Orang Asli gembira selepas menerima sijil Kedap yang disampaikan Mohamad Hasan di Sekolah Kebangsaan Putra, Jelebu, baru-baru ini. – utusan/Abd. Razak Aid


JELEBU 28 Nov. – Soal pendidikan tidak pernah dipandang ringan, sebaliknya terus dijadikan agenda utama kerajaan dalam memastikan semua lapisan masyarakat tidak dikecualikan dalam mendapat pendidikan secara berkualiti.

Malah, aspek pendidikan yang seringkali mendapat keutamaan kerajaan terus diperluaskan bukan sahaja untuk pelajar sekolah, malah ruang lingkupnya diperbesarkan kepada pelajar-pelajar dewasa dalam usaha mengurangkan kadar buta huruf di kalangan masyarakat Orang Asli.

Justeru, program Kelas Dewasa Ibu Bapa Murid Orang Asli dan Pribumi (Kedap) yang diadakan di negeri ini mencapai matlamatnya apabila 568 orang pelajar dewasa masyarakat Orang Asli menerima sijil berkenaan daripada Menteri Besar, Datuk Seri Mohamad Hasan di Sekolah Kebangsaan Putra, baru-baru ini.

Mohamad dalam pertemuan dengan pemberita baru-baru ini menjelaskan, program Kedap ini merupakan inisiatif kerajaan untuk memastikan masyarakat Orang Asli mendapat pendidikan berkualiti.

Tegasnya, sehingga kini hanya 10 buah sekolah di negeri ini menawarkan program Kedap dan ia akan ditambah selepas menyaksikan minat dan kejayaan luar biasa di kalangan mereka.

Jelas Mohamad, antara objektif utama Kedap ini diadakan adalah bertujuan membasmi masalah buta huruf di kalangan masyarakat Orang Asli selain menggalakkan penguasaan kemahiran asas membaca, menulis dan mengira (3M).

''Sehingga kini kita telah melaksanakan program ini di beberapa buah sekolah kebangsaan melibatkan empat di kawasan Seremban, tiga di Kuala Pilah manakala selebihnya di Jempol, Jelebu dan Rembau.

''Bagi menjayakan program ini, pihak kerajaan Persekutuan telah memperuntukkan RM56,250 kepada setiap sekolah bagi menjayakan program selama 75 hari ini," ujar beliau.

Jelas Mohamad, antara insentif yang diperoleh oleh peserta yang menyertai Kedap meliputi elaun gantian pendapatan, makan, pakaian, kesihatan selain buku dan peralatan serta lawatan.

Tambah beliau, berdasarkan maklum balas yang diterima, kehadiran peserta bagi program ini amat menggalakkan apatah lagi dari aspek keberkesanannya, membolehkan mereka membaca, menulis dan mengira serta mengaplikasikan pembelajaran di dalam kehidupan seharian.

''Apabila Kedap dilaksanakan sejak 2008, kini bilangan buta huruf di kalangan orang dewasa masyarakat Orang Asli kian berkurangan, malah ia menjadi semakin baik apabila sambutan begitu menggalakkan.

''Kita melihat program ini merupakan usaha berterusan kerajaan dalam memastikan masyarakat Orang Asli terus diberikan keutamaan dalam aspek pendidikan sekali gus membanteras masalah kemiskinan menerusi agenda pendidikan," jelas beliau.

Full content generated by Get Full RSS.

Kedap bantu Orang Asli capai kecemerlangan

Posted:

Kedap bantu Orang Asli capai kecemerlangan

Kedap bantu Orang Asli capai kecemerlangan

JELEBU 28 Nov. - Tidak ada alasan untuk rasa malu mahupun menjadikan umur sebagai penghalang untuk menjadikan Orang Asli terus mencapai kecemerlangan dalam aspek pendidikan.

Malah masyarakat Orang Asli yang ditemui Utusan Malaysia baru-baru ini, berbangga kerana pada usia sebegini, masih ada peluang untuknya belajar membaca, mengeja dan mengira melalui Kelas Dewasa Ibu Bapa Murid Orang Asli dan Pribumi, sekali gus menolak tanggapan golongan ini terpinggir dalam arus pendidikan negara.

Menurut seorang penerima, Muzakila Senang, 31, berkata, pengalaman beliau berada di kelas itu bukan sahaja menyeronokkan malah, beliau juga dapat mengetahui cara menulis, membaca dan mengira.

''Memang rasa gembira pada hari ini kerana kalau sebelum ini saya akui memang tidak pandai untuk menulis dan mengira kerana tidak mempunyai sebarang ilmu.

''Hari ini saya mampu membaca dan menulis dengan lancar dan betul. Kini orang dewasa seperti kami tidak lagi buta huruf, malah sudah boleh mengajar dan memahami apa yang anak-anak kita belajar di sekolah," katanya di sini, baru-baru ini.

Beliau antara 568 orang pelajar dewasa masyarakat Orang Asli menerima sijil Kelas Dewasa Ibu Bapa Murid Orang Asli dan Pribumi (Kedap) daripada Menteri Besar, Datuk Seri Mohamad Hasan di Sekolah Kebangsaan Putra, baru-baru ini

Dalam pada itu, rakannya, Milah Asik, 39, pula berbangga kerana dalam tempoh tujuh bulan, dia kini sudah membaca akhbar dan menerima maklumat hasil daripada pembacaanya.

Malah katanya, inisiatif kerajaan dalam memastikan golongan Orang Asli mendapat pendidikan perlu diberikan pujian memandangkan ia merupakan satu kaedah terbaik dalam mengurangkan kadar buta huruf di negara ini.

''Kalau dahulu saya berurusan di bank, perlu meminta bantuan orang lain mengisi borang, tetapi sekarang tidak lagi kerana saya sudah mampu menulis sendiri. Kedap banyak membantu masyarakat kami keluar daripada kepompong buta huruf.

''Malah saya juga belajar bersama anak-anak saya terutamanya ketika mengulang kaji pelajaran," jelasnya.

Full content generated by Get Full RSS.

Bersatu demi keamanan negara

Posted:

Bersatu demi keamanan negara

Bersatu demi keamanan negara

Oleh MOHAMMAD YASIR JAAFAR
utusanN9@utusan.com.my


TUANKU Muhriz Tuanku Munawir berkenan menyarungkan jubah kepada Zaini Ujang sambil diperhatikan Mohamad Hasan (kanan) di Pusat Dakwah Islamiah Paroi, dekat Seremban, semalam. – BERNAMA


SEREMBAN 28 Nov. – Umat Islam perlu bersatu dalam usaha memastikan keamanan negara terus terpelihara, sekali gus mengelakkan diri daripada menjadi mangsa pergolakan seperti di Timur Tengah.

Menteri Besar, Datuk Seri Mohamad Hasan berkata, senario di negara terbabit perlu dijadikan iktibar iaitu perpaduan yang kian terhakis menjadi punca utama negara tersebut menjadi huru-hara dan bergolak.

''Pembinaan persefahaman di kalangan ummah perlulah digerakkan di atas landasan iman dan takwa tanpa mengira latar belakang, status diri, kepentingan bangsa termasuk fahaman politik.

''Sekiranya tiada persefahaman yang baik dan jitu di kalangan tiga golongan umat Islam di negara ini iaitu pemerintah, ulama dan masyarakat, negara pasti akan kucar-kacir dan mengakibatkan ramai yang menderita," katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap pada Majlis Sambutan Maal Hijrah Peringkat Negeri Sembilan 2011 di Pusat Dakwah Islamiah Paroi, di sini malam tadi.

Turut berangkat pada majlis itu, Yang Dipertuan Besar Negeri Sembilan, Tuanku Muhriz Ibni Almarhum Tuanku Munawir sambil diiringi Tunku Ampuan Besar Negeri Sembilan, Tuanku Aishah Rohani Tengku Besar Mahmud.

Jelas Mohamad, perpecahan antara tiga golongan berkenaan menjadi strategi utama yang digunakan oleh musuh Islam di serata pelosok dunia.

''Mereka mengatur agenda untuk merosakkan hubungan pemerintah dan ulama dan akhirnya mengakibatkan masyarakat hilang kepercayaan kepada pemerintah dan lebih malang lagi rakyat tidak lagi mempedulikan saranan dan nasihat para alim ulama.

''Kesannya negara dan kerajaan tumbang dan dijajah secara disedari atau tidak serta tunduk kepada pengaruh anasir luar, inilah yang sedang berlaku di negara-negara Islam terutamanya di Timur Tengah," tegasnya.

Tambahnya lagi, meskipun beberapa kerajaan negara di Timur Tengah yang sebelum ini terkenal dengan kekuatan ekonomi, politik dan ketenteraannya, namun mereka tumbang akibat perpecahan dan tiada perpaduan yang datang daripada persefahaman.

Pada majlis tersebut, Naib Canselor Universiti Teknologi Malaysia (UTM), Prof. Datuk Ir. Dr. Zaini Ujang dipilih sebagai Tokoh Maal Hijrah 1433 peringkat Negeri Sembilan.

Sementara itu, Anugerah Tokoh Khas Maal Hijrah (Amirahman Abas), manakala Anugerah Tokoh Ulama Silam (Allahyarham Datuk Ibrahim @ Salleh Ujang) dan Anugerah Khas Imam Maal Hijrah (Saat Awang).

Full content generated by Get Full RSS.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan