Jumaat, 25 November 2011

Harian Metro: Mutakhir

Harian Metro: Mutakhir


Mangsa banjir di Kelantan menurun kepada 1,817 orang

Posted: 25 Nov 2011 04:20 AM PST

KUALA LUMPUR: Keadaan banjir di Kelantan petang ini sedikit reda apabila jumlah mangsa yang dipindahkan berkurangan kepada 1,817 orang dari 502 keluarga petang ini berbanding 1,892 orang pagi tadi.

Jurucakap bilik gerakan banjir negeri berkata jumlah pusat pemindahan yang dibuka juga berkurangan kepada 22 berbanding 32 pagi tadi.

"Sehingga petang ini, lima pusat pemindahan di daerah Kuala Krai dan Machang telah pun ditutup menjadikan hanya enam daerah lagi yang masih terlibat dengan bencana banjir.

"Daerah Pasir Mas masih mencatatkan jumlah pusat pemindahan paling banyak iaitu 11," katanya.


Beliau memberitahu sehingga kini hanya sungai utama di Kelantan, iaitu Sungai Golok di Rantau Panjang, masih berada pada paras bahaya.


Jurucakap itu berkata jumlah laluan yang ditutup juga berkurangan kepada enam berbanding lapan pagi tadi.

Laluan yang masih ditutup kepada semua kenderaan ialah di Machang iaitu Jalan Machang-Pangkal Meleret-Wakaf Bata; di Pasir Mas iaitu Jalan Pohon Tanjung-Meranti, Jalan Pohon Tanjung-Rantau Panjang (Jalan Lama) Kampung Siram; di Tanah Merah iaitu Jalan Tanah Merah-Kusial-Kampung Ipoh; dan di Tumpat iaitu Jalan Cabang 4/Kampung Jambu/Meranti.

"Hanya satu laluan ditutup kepada kenderaan ringan, juga di Tumpat membabitkan Jalan Pohon Tanjung-Pasir Pekan.

Di KUANTAN, dua keluarga dari Kampung Chendor Baru, dekat Cherating di sini yang menjadi mangsa pertama di Pahang yang dipindahkan akibat banjir sejak semalam, masih ditempatkan di pusat pemindahan mangsa banjir.

Jurucakap bilik gerakan Ibu Pejabat Polis Kontingen Pahang berkata, sehingga 4 petang ini, dua keluarga terbabit yang terdiri daripada enam lelaki dewasa, empat wanita dan seorang kanak-kanak perempuan, berusia antara 11 hingga 63 tahun masih berada di pusat pemindahan banjir di Balai Raya Kampung Chendor.

"Keadaan banjir di kawasan rumah mereka setinggi 0.5 meter itu belum pulih sepenuhnya," katanya ketika dihubungi Bernama di sini.

"Berdasarkan pemantauan, empat sungai utama di Pahang juga telah kembali mencatatkan bawah paras bahaya," katanya, sambil menambah semua penduduk di kawasan berdekatan sungai dan kawasan rendah diminta berjaga-jaga berikutan keadaan cuaca mendung. - BERNAMA

Full content generated by Get Full RSS.

Muhd Nazmi Faiz ambil SPM tahun depan

Posted: 25 Nov 2011 12:52 AM PST

KUALA LUMPUR: Pemain paling muda dalam skuad Olimpik negara Muhd Nazmi Faiz Mansor akan menduduki peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) tahun depan setelah tidak berbuat demikian tahun ini.

Demi bagi membantu skuad Harimau Muda beraksi di Temasya Sukan SEA Indonesia 2011 yang baru berakhir, pelajar Sekolah Sukan Bukit Jalil (SSBJ) ini sanggup menangguh peperiksaan SPM yang sepatutnya didudukinya mulai 14 Nov lepas.

Pengorbanan pemain yang memakai jersi nombor 21 ini berbaloi apabila skuad Bawah 23 Tahun Negara berjaya meraih emas dengan menewaskan Indonesia.

Bapa Muhd Nazmi Faiz, Mansor Mustafa berharap anaknya bukan sahaja berjaya dalam arena bola sepak malah turut cemerlang dalam peperiksaan SPM nanti.


"Saya bangga dengan kejayaan anak saya dalam sukan bola sepak namun pelajaran juga penting dalam menentukan masa depan beliau," kata peniaga berusia 40 tahun ini kepada Bernama hari ini.


"Kami sekeluarga sentiasa memberi dorongan kepada Muhd Nazmi Faiz untuk maju dalam sukan bola sepak dan tidak pernah menghalang minat dan impiannya itu, jelas Mansor.

Beliau berkata walaupun anaknya seorang yang pendiam, dia adalah seorang yang berdisiplin dalam soal pengurusan masa dan bersungguh-sungguh dalam sesuatu perkara.

"Dalam membantu Muhd Nazmi Faiz membahagikan masa antara latihan dan pelajaran, saya serahkan perkara tersebut kepada guru-guru SSBJ kerana mereka tentu mempunyai formula terbaik dalam mengatur jadual harian pelajar mereka," katanya. - BERNAMA

Full content generated by Get Full RSS.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan