Sabtu, 26 November 2011

Utusan Online - Timur

Utusan Online - Timur


Kem pengakap bertaraf dunia

Posted:

Kem pengakap bertaraf dunia

Kem pengakap bertaraf dunia

Oleh SITI AIRUNNISA ALAUI
pengarang@utusan.com.my

KUALA TERENGGANU 25 Nov. - Kerajaan negeri bersedia menaik taraf Kem Pengakap Telaga Batin yang kini dikenali sebagai Kem Pengakap Tengku Muhammad Ismail dengan pelbagai kemudahan bagi membolehkan ia digunakan untuk penganjuran bertaraf dunia.

Menteri Besar, Datuk Seri Ahmad Said berkata, sejumlah RM10 juta diperuntukkan kerajaan negeri sebelum ini bagi membina kem berkenaan yang dilengkapi dengan kemudahan aktiviti pengakap dari semasa ke semasa.

"Kem telah memiliki kemudahan lengkap dan terbaik dengan 65 bilik biasa dan 24 bilik tetamu kehormat serta mempunyai kawasan lapang untuk perkhemahan. Maka, tidak mustahil pengakap dari Jepun melahirkan keinginan untuk melakukan aktiviti perkhemahan mereka di sini tidak lama lagi.

"Dengan adanya kemudahan bertaraf dunia, saya berharap dan mengalu-alukan pengakap seluruh dunia untuk mengadakan perkhemahan mereka di kem ini sekali gus mempromosikan negara dan negeri Terengganu di mata dunia," katanya.

Beliau berkata demikian selepas merasmikan acara penutup Jambori Malaysia Ke-12 dan Jambori Pengakap Antarabangsa Terengganu di sini semalam.

Turut hadir Ketua Pengakap Negara, Datuk Seri Dr. Shafie Mohd. Salleh; Ketua Pesuruhjaya Pengakap Malaysia, Datuk Khairuddin Mukmin dan Pengerusi Jawatankuasa Pelajaran, Pengajian Tinggi, Sains, Teknologi dan Sumber Manusia negeri, Ahmad Razif Abd. Rahman.

Jambori yang dirasmikan Yang di-Pertuan Agong, Tuanku Mizan Zainal Abidin menyaksikan 21 negara mengambil bahagian melibatkan 10,800 peserta antaranya dari Bangladesh, Maldives, New Zealand, Indonesia, Brunei, Mesir, Thailand, Filipina dan Myanmar.

Mengulas lanjut Ahmad berkata, bagi memudahkan penyelenggaraan kem dilaksanakan, kerajaan negeri bercadang menyerahkan kem itu kepada Majlis Pengakap Negeri Terengganu tidak lama lagi.

Jelas Ahmad, penyerahan kem tersebut juga bagi memudahkan kemudahan-kemudahan lain disediakan di kem berkenaan.

"Mereka lebih tahu apa yang sepatutnya disediakan dalam sesebuah kem pengakap, jadi tanggungjawab untuk menguruskan kem ini kita beri kepada majlis dan saya berharap ia akan dimanfaatkan sepenuhnya dengan penganjuran pelbagai aktiviti," jelasnya.

Sementara itu, pada majlis makan malam sempena program berkenaan di Seri Iman kelmarin, kerajaan negeri menerima tajaan daripada syarikat pengedar kenderaan mewah BMW, Quil Automobiles Sdn. Bhd. yang menaja 60 kereta BMW serta wang tunai RM50,000 untuk jambori itu.

Sebuah lagi syarikat iaitu Nexedge Technology Sdn. Bhd., pengedar rasmi perlatan telekomunikasi jenama Kenwood menyumbangkan peralatan Radio Telekomunikasi Kenwood bernilai RM50,000.

Full content generated by Get Full RSS.

Polis, tentera jamin bantu mangsa banjir

Posted:

Polis, tentera jamin bantu mangsa banjir

Polis, tentera jamin bantu mangsa banjir


Mazlan Lazim (kanan) dan Mohamad Zaki Hamzah (tengah) melawat dan beramah mesra dengan mangsa banjir di Pusat Pemindahan Banjir di Sekolah Kebangsaan Rantau Panjang 2, semalam.


RANTAU PANJANG 25 Nov. - Polis Kelantan memberi jaminan akan membuat rondaan 24 jam sehari di kawasan-kawasan berlaku banjir untuk memastikan tiada kecurian berlaku di rumah penduduk yang dipindahkan ke pusat pemindahan.

Timbalan Ketua Polis Kelantan, Datuk Mazlan Lazim berkata, setakat ini belum ada laporan mengenai kejadian itu, bagaimanapun langkah berjaga-jaga tetap diambil memandangkan ia pernah berlaku sebelum ini.

Beliau turut menasihatkan semua mangsa yang dipindahkan ke pusat pemindahan banjir agar membawa bersama barang berharga terutama barangan kemas, duit, telefon bimbit dan jam tangan yang selalu menjadi sasaran pencuri.

"Setakat ini belum ada laporan tetapi kita khuatir selepas mangsa-mangsa banjir ini pulang ke rumah baru mereka sedar rumah mereka telah dipecah masuk.

"Kami memberi jaminan bahawa anggota polis di semua daerah yang dilanda banjir akan menjalankan rondaan dan bertugas 24 jam sehari untuk memastikan tidak berlaku kejadian pecah rumah dan kecurian," ujarnya.

Mazlan memberi jaminan itu pada sidang akhbar ketika melawat pusat pemindahan banjir di Sekolah Kebangsaan Sri Rantau Panjang 2 di sini hari ini. Turut bersama beliau dalam lawatan itu ialah Panglima Lapan Briged, Brigedier Jeneral Datuk Mohamad Zaki Hamzah.

Sementara itu, Mazlan menasihatkan penduduk yang tinggal di kawasan berisiko banjir terutama berhampiran sungai melakukan persiapan awal untuk dipindahkan ke pusat pemindahan pada bila-bila masa.

Jelas beliau, paras air sungai mungkin berubah dengan mendadak dan ini menyebabkan banyak rumah akan ditenggelami air dalam tempoh yang amat singkat serta mendatangkan bahaya kepada penduduk.

Sementara itu Mohamad Zaki berkata, pihaknya juga telah bersedia dan menempatkan anggota di semua kawasan yang dilanda banjir untuk memberi bantuan kepada mangsa terutama semasa proses pemindahan.

"Kita telah siap-sediakan semua kenderaan termasuk bot serta peralatan lain sebagai langkah berjaga-jaga untuk berdepan bencana banjir yang lebih besar," jelasnya.

Full content generated by Get Full RSS.

Penduduk luar bandar diminta semak draf perancangan tempatan

Posted:

Penduduk luar bandar diminta semak draf perancangan tempatan

Penduduk luar bandar diminta semak draf perancangan tempatan

KOTA BHARU 25 Nov. - Masyarakat terutama pemilik tanah di Pasir Puteh, Tanah Merah, Machang, Kuala Krai dan Jeli diminta membuat semakan terhadap draf rancangan tempatan yang merupakan dokumen perancangan bagi kelima-lima jajahan tersebut demi kelancaran pembangunan di kawasan masing-masing.

Ketua Pengarah Jabatan Perancangan Bandar dan Desa Semenanjung Malaysia, Datuk Mohd. Fadzil Mohd. Khir berkata, pandangan daripada orang ramai akan membantu kerajaan negeri dan pihak berkuasa tempatan (PBT) membuat keputusan lebih baik, cepat dan telus bagi pembangunan yang lebih sistematik dan berkesan.

Beliau berkata, berbanding penduduk di kawasan bandar, penyertaan awam daripada masyarakat luar bandar lazimnya kurang dan pihaknya berharap melalui hebahan yang dibuat, penduduk tidak akan melepaskan peluang diberi mengikut peruntukan Akta Perancangan Bandar dan Desa 1976 itu.

"Pandangan daripada orang awam dan pemimpin masyarakat termasuk tuan tanah sangat penting kerana ia mencerminkan hasrat dan aspirasi penduduk dalam pembangunan di kawasan masing-masing.

"Dalam masa sama, kita juga mengharapkan agar agensi kerajaan dan syarikat berkaitan kerajaan (GLC) merujuk draf rancangan tempatan ini semasa melaksanakan sebarang perancangan demi keselarasan dan kemudahan peruntukan sebagaimana pekeliling yang ditetapkan pihak Unit Perancang Ekonomi (EPU)," katanya.

Teks ucapan beliau dibacakan oleh Timbalan Ketua Pengarah Perancangan JPBDSM, Kamalruddin Shamsudin pada Majlis Perasmian Serentak Publisiti Rancangan Tempatan (RT) Jajahan Jeli, Kuala Krai, Machang, Pasir Puteh dan Tanah Merah di sini semalam.

Majlis tersebut dirasmikan Menteri Besar Kelantan, Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat.

Mohd. Fadzil berkata, dalam Rancangan Malaysia ke-9 (RMK-9), pihaknya telah dipertanggungjawab menyediakan 10 kajian rancangan tempatan dan lima daripadanya adalah untuk negeri Kelantan iaitu bagi jajahan Pasir Puteh, Tanah Merah, Machang, Kuala Krai dan Jeli.

Katanya, rancangan tempatan itu melibatkan enam PBT iaitu Majlis Daerah Dabong (MDB), Majlis Daerah Jeli (MDJ), Majlis Daerah Kuala Krai (MDKK), Majlis Daerah Machang (MDM), Majlis Daerah Pasir Puteh (MDPP) dan Majlis Daerah Tanah Merah (MDTM).

"Semakan dan maklum balas secara individu atau berkumpulan seperti persatuan, kumpulan masyarakat dan parti politik boleh dibuat di majlis daerah terlibat dan juga secara dalam talian melalui www.townplan.gov.my atau laman sesawang masing-masing sepanjang tempoh publisiti dari 15 November hingga 22 Disember ini," katanya.

Sementara itu, Nik Abdul Aziz berkata, penyediaan lima rancangan tempatan itu membabitkan peruntukan dari Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan iaitu RM4.75 juta telah dibelanjakan sehingga kini dan sebanyak RM700,000 lagi akan diperuntukkan untuk proses pewartaan dan percetakan pada tahun hadapan.

Katanya, penghasilan lima draf itu menandakan kesemua 10 jajahan di negeri ini telah mempunyai rancangan tempatan masing-masing dan beliau berterima kasih atas kesungguhan semua pihak dalam usaha membangunkan negeri ini.

Full content generated by Get Full RSS.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan