Ahad, 27 November 2011

Berita Harian: MukaDepan

Berita Harian: MukaDepan


Utama parti

Posted: 26 Nov 2011 02:33 PM PST

MukaDepan

"Ahli mesti mempunyai perasaan cinta dan kasih serta sanggup berkorban untuk UMNO"

KUALA LUMPUR: Menjelang Perhimpunan Agung UMNO bermula Selasa ini, Datuk Seri Najib Razak mahu ahli mengutamakan parti melebihi kepentingan diri.

Presiden UMNO itu, berkata ahli mesti memperlihatkan iltizam untuk melakukan pengorbanan dan tidak membiarkan perasaan atau perhitungan peribadi mengatasi pertimbangan yang lebih besar iaitu kepentingan parti.

"Orang yang menganggotai parti itu ramai tapi orang yang berparti, yang tahu semangat parti, tahu matlamat dan kepentingan parti, itu yang mesti kita tanam di kalangan 3.4 juta ahli UMNO," katanya dalam wawancara khas dengan BERNAMA di sini, semalam. Perhimpunan Agung UMNO 2011 selama lima hari itu, dilihat banyak pihak sebagai yang terakhir sebelum Pilihan Raya Umum Ke-13.

Perdana Menteri berkata, ahli UMNO mesti mempunyai perasaan 'cinta dan kasih' kepada parti serta sanggup berkorban untuk parti.

"Ini satu daripada prinsip kita berparti. Kita tidak suruh orang melakukan seperti mereka kena buat pengorbanan dari segi harta mereka untuk parti atau pun kita suruh mereka mengambil risiko atas diri mereka dan sebagainya.

"Cuma kita minta dalam perhitungan mereka, jangan membiarkan soal peribadi atau pun tuntutan mana-mana kelompok mereka itu mengatasi kepentingan parti," katanya.
Pada masa sama, Najib berkata, semua ahli UMNO tahu perkara yang boleh merugikan parti dan mengelak daripada berbuat demikian kerana ia boleh melemahkan parti.
"Semua orang UMNO tahu apakah perkara-perkara ini, tetapi tahu saja tidak bererti perkara itu terhapus sama sekali," katanya.

Ditanya mengenai kelainan Perhimpunan Agung UMNO kali ini yang dimulakan dengan forum dan persidangan antarabangsa, Najib berkata, program itu tidak dikhususkan untuk pilihan raya, sebaliknya menjadi satu wahana untuk menonjolkan nilai keintelektualan UMNO.

Beliau berkata, ia bertujuan untuk memperlihatkan peranan UMNO pada peringkat antarabangsa supaya dunia memahami matlamat perjuangan parti itu, khususnya apa yang didokongnya seperti Dasar Transformasi Nasional.

Najib juga menafikan dakwaan bahawa UMNO tidak lagi memperjuangkan kepentingan Melayu sehingga menyebabkan kaum itu berasa terpinggir kerana sejak dulu hingga kini, agenda berkenaan terus diperjuangkan parti itu.

"Itu tidak benar. Walaupun kita dengan slogan 1Malaysia, tetapi kita tidak pernah kata agenda Bumiputera itu kita sudah tiadakan. Malah ia masih lagi menjadi agenda utama (UMNO) dan sebahagian agenda nasional kita.

"Apa yang kita lakukan terhadap kaum lain ialah untuk melakukan apa yang perlu untuk menunjukkan kerajaan kita adil dan berdiri atas tonggak keadilan sosial," katanya.

Najib berkata, agenda Bumiputera tetap diteruskan, misalnya Unit Peneraju Agenda Bumiputera (TERAJU), yang dilancarkan beliau pagi semalam.

"Ia adalah satu hala tuju di mana beberapa inisiatif baru sudah kita umumkan. Bererti kita tidak pernah ketepikan atau mencairkan perjuangan kita untuk Bumiputera," katanya.

Ditanya mengenai pendirian sebilangan orang Melayu yang menyatakan mereka boleh hidup tanpa UMNO, Najib berkata, rakyat harus sedar bahawa kejayaan negara ini adalah hasil perjuangan UMNO.

Sambil memetik teori pakar psikologi Amerika, Abraham Maslow, beliau berkata, UMNO sudah berjaya menyelesaikan tuntutan asas rakyat dengan menyediakan pelbagai kemudahan.

Beliau berkata, kepelbagaian pendapat adalah satu tanda masyarakat yang semakin sofistikated dan matang.

"Saya bukan kata mereka wajib berasa terhutang budi kepada kita sebab ramai yang tak senang hati jika saya cakap sedemikian. Apa yang saya nak kata bahawa selain daripada track record (rekod kerja yang baik) kita, selain daripada jasa kita yang tidak ternilai ialah perancangan kita untuk masa depan.

"Apa yang boleh kita janjikan untuk rakyat Malaysia, bukan saja kepada ahli UMNO, tapi rakyat Malaysia adalah jaminan sebenarnya dan itu mereka boleh rasa yakin, seperti mana dulu kita boleh lakukan, seperti mana dulu kita boleh laksanakan... Insya-Allah kita boleh bukan saja janji, tapi mampu laksana dan tunaikan kepada rakyat," katanya. – BERNAMA

Komen Anda

Terima kasih diatas penyertaan anda. Berita Harian berhak untuk tidak memaparkan sebarang komen yang menyentuh isu-isu sensitif dan yang berbentuk iklan komersil. Alamat IP anda akan direkodkan dan mungkin digunakan untuk menghalang penghantaran komen seterusnya jika melanggar peraturan yang ditetapkan.

Senarai komen


Full content generated by Get Full RSS.

Setuju Rang Perhimpunan Aman dipinda

Posted: 26 Nov 2011 02:28 PM PST

MukaDepan

KUALA KANGSAR: Selepas mengambil kira pandangan pelbagai pihak dan orang ramai, kerajaan bersetuju membuat beberapa pindaan terhadap Rang Undang-Undang Perhimpunan Aman 2011 yang dibaca kali pertama di Dewan Rakyat Selasa lalu.

Pada masa sama, Kabinet yang bermesyuarat kelmarin dengan persetujuan Pejabat Peguam Negara dan Yang Dipertua Dewan Rakyat, Tan Sri Pandikar Amin Mulia, akan membenarkan Ahli Parlimen mengemukakan cadangan atau bantahan terhadap perkara dalam rang undang-undang itu tanpa sebarang notis dan pindaan boleh dibuat serta-merta jika dipersetujui semua pihak ketika dibentangkan pada peringkat Jawatankuasa di Parlimen Selasa ini.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Mohamed Nazri Aziz, berkata pindaan itu dibuat selaras dengan falsafah yang terkandung dalam rang undang-undang, iaitu untuk mengubah kuasa mengadakan perhimpunan aman daripada polis yang dibuat mengikut Seksyen 27 Akta Polis kepada rakyat. "Notis pindaan itu diterima daripada Ahli Parlimen Kota Belud, Datuk Abdul Rahman Dahalan, dan mendapat persetujuan kerajaan dan Pejabat Peguam Negara semalam (kelmarin)," katanya pada sidang media selepas merasmikan Majlis Berkhatan Beramai-ramai di Rancangan Perumahan Awam Liman Kati, dekat sini semalam.

Pindaan itu meliputi:


  • Pengguguran perkataan 'perasaan tidak puas hati' pada Fasal 6, Fasal 7 dan Fasal 21.
  • Tempoh pemberitahuan perhimpunan oleh penganjur dipendekkan daripada 30 hari kepada 10 hari dalam Fasal 9.
  • Perkataan 'dalam masa' (within) diubah kepada `daripada' (from) iaitu `dalam masa 10 hari' kepada 'daripada 10 hari' yang bermaksud notis perlu dikemukakan 10 hari sebelum mengadakan perhimpunan, dalam Fasal 9.
  • Tempoh untuk polis memaklumkan pihak berkepentingan dipinda daripada 48 jam kepada 24 jam dalam Fasal 12(1).
  • Tempoh mengemukakan bantahan pihak berkepentingan dikurangkan daripada lima hari kepada dua hari dalam Fasal 12(2).
  • Tempoh rayuan penganjur kepada Menteri Dalam Negeri dikurangkan daripada empat hari kepada dua hari dalam Fasal 16(1).
  • Tempoh Menteri Dalam Negeri membuat keputusan terhadap rayuan, dipinda daripada enam hari kepada dua hari daripada tarikh penerimaan rayuan terbabit dalam Fasal 16(2).

Mohamed Nazri berkata, rang undang-undang itu perlu diluluskan bagi memberi hak kepada orang ramai untuk mengadakan perhimpunan aman tanpa senjata di kawasan yang diwartakan sebagai tempat perhimpunan.

Komen Anda

Terima kasih diatas penyertaan anda. Berita Harian berhak untuk tidak memaparkan sebarang komen yang menyentuh isu-isu sensitif dan yang berbentuk iklan komersil. Alamat IP anda akan direkodkan dan mungkin digunakan untuk menghalang penghantaran komen seterusnya jika melanggar peraturan yang ditetapkan.

Senarai komen

mosif msi

syaitan ada di mana - mana dan dia lah yang membuatkan hati menjadi tidak karuan dan manusia itu sentiasa tidak puas dgn apa yang sudah ada .


Full content generated by Get Full RSS.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan