Rabu, 9 Mac 2011

Utusan Online - Rencana

Utusan Online - Rencana


Pakatan pembangkang berkongsi nafsu

Posted:

Pakatan pembangkang berkongsi nafsu

Pakatan pembangkang berkongsi nafsu

Oleh ZULKIFLEE BAKAR
pengarang@utusan.com.my

SUATU ketika dulu, kita pernah mendengar apa yang dipanggil Barisan Alternatif, kita juga pernah disogokkan dengan satu kerjasama atas nama Angkatan Perpaduan Ummah (APU) dan kini wujud pula apa yang dipanggil Pakatan Rakyat.

Sama ada Barisan Alternatif, APU mahupun Pakatan Rakyat, ia bukanlah sebuah gerakan politik yang sah seperti mana gabungan parti-parti dalam Barisan Nasional (BN). Sebaliknya, pakatan berkenaan melibatkan parti-parti pembangkang yang nampaknya secara zahir sahaja sepakat tetapi mempunyai ideologi dan perjuangan berbeza-beza.

Sebab itulah mereka terlalu sukar untuk mendaftar sebagai satu gerakan secara sah bagi membolehkan mereka bertanding dalam pilihan raya menggunakan satu lambang sahaja seperti mana dilakukan oleh BN.

Bagaimanapun sehingga kini mereka tidak boleh berbuat demikian kerana Parti Keadilan Rakyat (PKR), DAP dan Pas tidak mempunyai perjuangan yang sama. Mereka hanya berkongsi 'nafsu' mahukan kuasa dengan berpakat menumbangkan kerajaan BN.

Mereka tidak ada matlamat lain sebab itulah mereka sampai sekarang gagal mencapai kesepakatan untuk berjuang menggunakan satu lambang dalam pilihan raya.

Hakikatnya, bukan rahsia lagi bahawa PKR, DAP dan Pas mempunyai ideologi perjuangan yang cukup berbeza. PKR ditubuhkan demi untuk memperjuangkan nasib pemimpin utamanya, DAP masih kental dengan hasrat Malaysian Malaysia manakala Pas pula yang pada mulanya ingin memperjuangkan Islam semakin lari daripada matlamat itu.

Berikutan kekeliruan ini, terlalu sukar untuk mereka mencapai kesepakatan bagi mengarak panji-panji yang sama. Justeru istilah Pakatan Rakyat hanyalah sekadar mainan politik bagi mengaburi rakyat kononnya mereka memperjuangkan nasib golongan itu.

Walaupun pemimpin-pemimpin PKR, DAP dan Pas cuba menunjukkan bahawa mereka mempunyai kesepakatan dan persefahaman tetapi fakta sebenar tidak begitu.

PKR dan DAP dilihat terlalu kukuh mendominasi kerjasama pembangkang manakala Pas pula hanya menjadi pengikut. Kejayaan pada 8 Mac 2008 yang diraikan bersama-sama kini dikatakan semakin hambar.

Terlalu banyak kepincangan di dalam kerjasama tersebut yang cuba disembunyikan sama ada di Kedah, Pulau Pinang, Selangor mahupun pusat oleh pemimpin-pemimpin ketiga-tiga parti itu.

Berikutan sikap hipokrit itulah, ia menyebabkan semakin ramai pemimpin dan ahli PKR dan Pas meninggalkan parti itu. Mereka semakin melihat bagaimana kerjasama antara ketiga-tiga parti berkenaan hanyalah satu retorik dan tidak akan mampu membawa apa-apa kesejahteraan rakyat.

Semua ini sudah tentu bukanlah petanda yang baik untuk pemimpin PKR, DAP dan Pas mencapai kesepakatan bagi mendaftarkan pakatan mereka.

Selain masalah ideologi dan matlamat yang berbeza, halangan terbesar ialah siapakah yang bakal menjadi 'korban'.

Ia kerana ketiga-tiga parti sudah tentu mahu menjadi dominan. PKR pastinya tidak akan membiarkan Pas bertanding lebih kerusi berbanding DAP kerana bagi PKR, mereka lebih yakin kerjasama dengan DAP berbanding dengan Pas.

Keadaan itu berlaku kerana PKR yang diketuai oleh Datuk Seri Anwar Ibrahim amat mengharapkan sokongan pengundi bukan Melayu, sedangkan Pas tidak mungkin dapat melunaskan harapan ini.

Biarpun dari segi sejarah politik negara, Pas jauh lebih hebat berbanding PKR yang berusia setahun jagung atau DAP yang boleh dikatakan hanya mendapat sokongan sebahagian masyarakat Cina tetapi Pas tidak berdaya melakukan apa-apa.

'Baiah' yang dibuat untuk setia bersama-sama perjuangan PKR dan DAP tidak memungkinkan Pas berundur lagi.

Mahu tidak mahu, sama ada untung atau rugi, Pas perlu bersama-sama kedua-dua parti itu bagi menempuh pilihan raya umum akan datang biarpun akan dilayan sebagai parti 'kelas ketiga' dalam pakatan pembangkang.

Kesetiaan Pas yang sanggup tunduk kepada PKR dan DAP semata-mata demi mencapai cita-cita untuk meraih kuasa bersama membolehkan kedua-dua parti itu memperkotak-katikkan Pas sewenang-wenangnya.

Dalam tindak-tanduk mereka, tiada perhitungan yang diambil kira mengenai pendirian atau perasaan Pas, apa yang penting PKR dan DAP melakukan apa sahaja yang mereka rasa perlu demi mengukuhkan kuasa mereka.

Sebab itulah, mereka sengaja melambat-lambatkan usaha mendaftar pakatan pembangkang secara rasmi. Ini sama dengan keadaan yang berlaku dalam kerjasama Barisan Alternatif yang melibatkan Parti Melayu Semangat 46 (S46) dengan DAP dan kerjasama S46 dengan Pas melalui Angkatan Perpaduan Ummah.

Sama ada ia Barisan Alternatif atau Angkatan Perpaduan Ummah, ia hanyalah sebutan sahaja bagi menyedapkan panggilan terhadap kerjasama antara parti-parti pembangkang bagi meraih kuasa. Apabila cita-cita itu sudah dicapai maka 'berkuburlah' kerjasama mereka.

Namun begitu jika pada tahun awal 1990-an dulu, wujud dua blok pembangkang yang berbeza biarpun berhadapan dengan 'musuh' yang sama tetapi sekarang hanya tinggal satu blok sahaja iaitu pakatan pembangkang.

Pas yang dulu agak 'malu-malu' untuk bekerjasama dengan DAP berikutan penentangan keras parti itu terhadap penubuhan negara Islam tetapi kini sudah tidak segan silu lagi, malah ada pengikut mereka yang setia mengibarkan bendera DAP di majlis-majlis politik termasuk ketika kempen pilihan raya sambil melaungkan 'takbir'!.

Apapun semua itu bukanlah alasan bagi ketiga-tiga parti mendaftar pakatan mereka secara rasmi. Sikap curiga-mencurigai sama ada hendak diakui atau tidak masih tebal di kalangan mereka.

Ia berbeza dengan kesepakatan di dalam BN yang sejarah telah membuktikan melalui kerjasama mereka, negara ini bukan sahaja sudah mencapai kemerdekaan tetapi juga kemakmuran dan kesejahteraan.

Pakatan pembangkang hanya boleh bermimpi untuk memiliki kekuatan dan kekukuhan seperti BN kerana kerjasama PKR, DAP dan Pas bukan atas dasar keikhlasan demi membela nasib rakyat dan membangunkan negara tetapi semata-mata untuk meraih kuasa serta memenuhi impian seorang insan menjadi Perdana Menteri.

Full Feed Generated by Get Full RSS, sponsored by USA Best Price.

Hindraf: Serpihan atau demokrasi terpimpin?

Posted:

Hindraf: Serpihan atau demokrasi terpimpin?

Hindraf: Serpihan atau demokrasi terpimpin?

HINDRAF atau Hindu Rights Action Force yang membawa slogan Makkal Sakthi (People's Power) merupakan gabungan 30 pertubuhan bukan kerajaan (NGO) Hindu yang bermatlamatkan memelihara hak dan warisan komuniti masyarakat Hindu di Malaysia. Landskap politik tempatan berubah setelah demonstrasi dianjurkan Hindraf pada 2007. Peristiwa beberapa kuil dirobohkan di seluruh negara sekitar April hingga Mei 2006 masih segar dalam sejarah politik negara dan merupakan permulaan kepada pergerakan kumpulan ini.

Isu yang dibangkitkan pada waktu itu adalah 'temple cleansing' di Malaysia menyemarakkan kemarahan dan sensitiviti kaum dan agama. Di bawah pemerintahan bekas Perdana Menteri, Tun Abdullah Ahmad Badawi, kumpulan Hindraf telah ditahan pada 12 Disember 2007 di bawah Akta Keselamatan Dalam Negeri (ISA) selama dua tahun kerana mereka dikaitkan dengan LTTE dan organisasi militan RSS di India.

Secara rasminya, Hindraf diisytiharkan sebuah pertubuhan haram pada 15 Oktober 2008. Pelbagai siri demonstrasi dan bantahan yang dilakukan oleh kumpulan ini sentiasa mendapat perhatian sama ada dari pihak nasional mahupun antarabangsa. Jika dapat disingkap sejarah Hindraf, empat felo mereka ditangkap pada Oktober 2007, manakala pada 23 November 2007, tiga orang diletakkan di bawah Akta Hasutan. Petisyen dan demonstrasi disebarkan sehingga ke United Kingdom, dan terkini pada 27 Februari 2011, mereka melakukan protes terhadap novel Interlok yang membawa kepada penahanan seramai 109 orang. Adakah demonstrasi Hindraf boleh dianggap sebagai sebuah perjuangan atau sekadar merencatkan sistem politik negara?

Seperti mana yang diketahui, isu yang dibawa oleh Hindraf tidak mewakili masyarakat India secara keseluruhan. Banyak isu-isu yang disensasikan seperti agama dan kaum dijadikan bahan utama terhadap serangan psikologi kepada masyarakat Malaysia sehinggakan ia menimbulkan keresahan etnik dan terdapat sesetengah pihak berpandangan bahawa hubungan kaum di Malaysia pada ketika ini berada dalam keadaan yang sangat bahaya dan kritikal.

Dengan slogan yang diperjuangkan oleh Datuk Seri Najib Tun Razak, gagasan 1Malaysia membuktikan bahawa keharmonian dan kesejahteraan masyarakat majmuk perlu dikekalkan dan diperkukuhkan pada setiap masa. Walaupun begitu, hubungan etnik di kalangan orang Melayu, Cina, India, bumiputera Sabah, Sarawak dan etnik-etnik yang lain masih dibayangi sejarah lalu.

Kedudukan hubungan kepelbagaian kaum ini agak rapuh dan perlu dikawal sebaik mungkin supaya tidak tercetus konflik kaum yang lebih besar. Isu yang dimainkan oleh Hindraf tentang kaum dan agama mempunyai keupayaan untuk merencatkan hubungan antara kaum apabila isu tentang ketuanan Melayu, rumah ibadat, tukar agama, Perlembagaan dan lain-lain dipersoalkan secara terbuka.

Namun begitu, kebebasan untuk berhimpun dan bersuara perlu diberikan kepada semua organisasi, pihak dan individu dengan menggunakan saluran yang tidak membelakangkan prosedur dan undang-undang. Tuntutan yang dikemukakan oleh Hindraf perlu pantas ditangani oleh kerajaan yang mentadbir negara dan tidak diambil sambil lewa. Tidak salah jika Hindraf dilihat sebagai kumpulan 'serpihan' yang hanya mahu mempropagandakan sesebuah isu demi mempertahankan agama Hindu.

Tetapi selagi mereka disekat, pada masa akan datang lebih banyak bantahan akan dikemukakan kerana pergerakan kumpulan ini sentiasa mendapat sokongan dan perhatian daripada umum dan orang luar. Isu seperti ini boleh dibawa ke meja perbincangan demi menyelesaikan dan mencari jalan keluar kepada masalah Hindraf.

Hindraf mendapati demonstrasi jalanan merupakan pendekatan yang paling ideal, di samping petisyen yang pernah dilakukan oleh mereka sebagai sebuah usaha untuk memartabatkan demokrasi negara Malaysia dan hak asasi yang diperjuangkan supaya suara mereka terus didengar. Inilah yang menjadi salah satu penyebab mengapa Hindraf memilih untuk mengadakan perhimpunan haram pada hari cuti atau Ahad di tempat-tempat awam.

Senario yang semakin berleluasa seperti demonstrasi, bantahan dan desakan-desakan tertentu hingga membawa kepada perhimpunan di jalanan pada masa kini cuba membawa perubahan dalam konteks perjuangan demokrasi tempatan. Perkara ini sudah menjadi kebiasaan pada akhir-akhir ini di negara-negara seperti Thailand, Filipina, Indonesia, Timur Tengah, negara Eropah serta kebanyakan negara yang merdeka.

Sebelum ini, negara sudahpun dikejutkan dengan demonstrasi-demonstrasi seperti sewaktu Reformasi Anwar, Perkasa yang memperjuangkan hak raja, orang Melayu dan lain-lain. Apa yang membimbangkan adalah demonstrasi yang melibatkan keganasan dan kekerasan serta campur tangan pihak luar. Ini bukan budaya masyarakat Malaysia tetapi anasir-anasir luar yang cuba disebatikan dalam masyarakat kita sebagai langkah memperjuangkan demokrasi.

Adakah Malaysia sudah tidak demokrasi sehingga ramai pihak membuat bantahan, tuntutan dan mendesak supaya pihak pentadbiran negara melakukan perubahan atau Malaysia masih mengamalkan demokrasi yang bersifat terpimpin sehingga terlalu sesak dengan undang-undang, prosedur, polisi serta akta-akta yang mencengkam kebebasan masyarakat dan hak asasi manusia?

Semuanya terhasil daripada amalan demokrasi itu sendiri dan kedua-dua pihak yang terlibat perlu mengamalkan demokrasi dalam diri, keluarga dan negara dalam skop yang lebih besar.

Sehubungan itu, kelahiran Hindraf tidak sekali-kali memeriahkan landskap politik negara tetapi kewujudan mereka adalah untuk menuntut hak perlu dilihat sebagai sebuah orientasi demokrasi yang perlu diatasi. Walaupun hanya sekadar 'serpihan', saki-baki daripada serpihan-serpihan ini juga akan membentuk sebuah kristal yang lebih besar dan kuat.

Full Feed Generated by Get Full RSS, sponsored by USA Best Price.

Tiada ulasan:

Catat Komen