Selasa, 8 Mac 2011

Utusan Online - Muka Hadapan

Utusan Online - Muka Hadapan


Jangan bangkit isu perkauman

Posted:

Jangan bangkit isu perkauman

Jangan bangkit isu perkauman

KUALA LUMPUR 7 Mac - Yang di-Pertuan Agong, Tuanku Mizan Zainal Abidin bertitah, Seri Paduka memandang berat kecenderungan pihak-pihak tertentu membangkitkan isu-isu sensitif dan berbaur perkauman serta mempolitikkan perkara-perkara yang tidak sepatutnya.

Seri Paduka sehubungan itu menyeru semua pihak supaya menjunjung kedaulatan undang-undang dan keluhuran Perlembagaan, kedaulatan Raja-Raja Melayu, kedudukan Islam sebagai agama rasmi Persekutuan dan kedudukan istimewa orang Melayu serta anak negeri Sabah dan Sarawak.

Titah Seri Paduka, kepentingan sah kaum-kaum lain meliputi hal kewarganegaraan dan hak asasi sebagaimana termaktub dalam Perlembagaan Persekutuan hendaklah tidak dipersoalkan bagi mengelak perpecahan.

"Walaupun Islam adalah agama Persekutuan, agama-agama lain boleh diamalkan dengan aman dan damai, malah hari hari-hari perayaan agama yang mempunyai penganut teramai dijadikan hari cuti umum.

"Ini menunjukkan amalan kesederhanaan dan keterangkuman seperti dianjurkan oleh Islam telah diamalkan dengan subur di negara ini," titah Seri Paduka pada perasmian mesyuarat pertama penggal keempat Majlis Parlimen yang kedua belas di sini hari ini.

Turut berangkat Raja Permaisuri Agong Tuanku Nur Zahirah.

Hadir sama Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak, isteri Datin Seri Rosmah Mansor, Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin dan isteri Puan Sri Norainee Abdul Rahman, menteri-menteri Kabinet serta perwakilan asing.

Tuanku Mizan bertitah, pertubuhan bukan kerajaan (NGO) diiktiraf sebagai antara elemen penting dalam pembangunan masyarakat sivil dan Seri Paduka berharap dalam melaksanakan program-program dan aktiviti, NGO hendaklah mengelak daripada menyentuh sensitiviti dan isu-isu yang boleh menjejaskan keharmonian rakyat dan menggugat imej negara.

Berbanding dengan negara-negara tertentu, Seri Paduka bertitah, ketenteraman dan keharmonian di negara ini adalah nikmat yang perlu disyukuri dan dipelihara.

"Komitmen kerajaan untuk memberi kesejahteraan kepada rakyat melampaui sempadan negara terserlah melalui usaha membawa pulang pelajar-pelajar yang terhimpit dalam pergolakan di Mesir melalui Ops Piramid bulan lalu.

"Sehubungan itu, beta merakamkan terima kasih kepada semua pihak yang terlibat dalam operasi tersebut serta negara-negara sahabat terutamanya kepada kerajaan Arab Saudi yang telah banyak membantu mempermudahkan Ops Piramid," titah Tuanku Mizan.

Tuanku Mizan dalam pada itu menyeru semua pihak mengekalkan keharmonian dan maruah negara serta menjadi warga yang baik, bertanggungjawab dan tidak mudah terpengaruh dengan fitnah dan tohmahan pihak-pihak yang tidak bertanggungjawab.

"Sayugia diingatkan bahawa perbuatan fitnah memfitnah yang boleh menjejaskan perpaduan rakyat adalah perbuatan yang amat tercela dan dilarang oleh semua agama. Ambillah iktibar daripada keruntuhan beberapa empayar terdahulu akibat perpecahan angkara fitnah," titah Seri Paduka.

Yang di-Pertuan Agong turut mengingatkan setiap ahli Parlimen supaya memperlihatkan tingkah laku terpuji, berbahas dengan tertib, menyumbang pemikiran yang bernas, melaksanakan tanggungjawab yang diamanahkan dan mengutamakan kepentingan rakyat.

"Beta mengingatkan bahawa tingkah laku Ahli-Ahli Yang Berhormat dalam dewan yang mulia ini (Dewan Rakyat) sentiasa diperhatikan dan menjadi teladan kepada masyarakat. Ingatlah, rakyat sentiasa menuntut perkhidmatan yang terbaik dari setiap pemimpin yang mereka pilih," titah Tuanku Mizan.

Full Feed Generated by Get Full RSS, sponsored by USA Best Price.

Tuanku Mizan rasmi persidangan Dewan Rakyat

Posted:

Tuanku Mizan rasmi persidangan Dewan Rakyat

Tuanku Mizan rasmi persidangan Dewan Rakyat


Tuanku Mizan Zainal Abidin berkenan menerima watikah ucapan pembukaan daripada Najib Tun Razak pada perasmian Istiadat Pembukaan Penggal Keempat Majlis Parlimen Yang Ke-12 di Parlimen, Kuala Lumpur, semalam. - Bernama


KUALA LUMPUR 7 Mac - Yang di-Pertuan Agong, Tuanku Mizan Zainal Abidin hari ini berkenan merasmikan pembukaan penggal keempat Majlis Parlimen yang kedua belas untuk tahun ini.

Seri Paduka yang hadir bersama Raja Permaisuri Agong Tuanku Nur Zahirah tiba di bangunan Parlimen kira-kira pukul 10 pagi.

Turut hadir Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak, isteri Datin Seri Rosmah Mansor, Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin dan isteri Puan Sri Noorainee Abdul Rahman, menteri-menteri Kabinet serta perwakilan asing.

Atur cara pentadbiran istiadat pembukaan yang diadakan di Dataran Parlimen itu bermula dengan pasukan Kawalan Kehormatan yang terdiri daripada empat pegawai dan 103 anggota Batalion Pertama Rejimen Askar Melayu Diraja (RAMD) menyembahkan Hormat Diraja.

Sejurus selepas itu, lagu Negaraku dimainkan dan sebanyak 21 das tembakan meriam dilepaskan.

Acara diteruskan dengan Tuanku Mizan memeriksa barisan Kawalan Kehormatan yang diketuai oleh Mejar Ahmad Muzaimi Mohd. Ali, Hormat Diraja kedua dilakukan dan selepas itu lagu Negaraku dimainkan buat kali kedua.

Selepas acara di Dataran Parlimen selesai, Tuanku Mizan dan Tuanku Nur Zahirah berangkat ke dalam Bangunan Parlimen untuk memasuki Dewan Rakyat seterusnya Tuanku Mizan menyampaikan Titah Ucapan Diraja.

Full Feed Generated by Get Full RSS, sponsored by USA Best Price.

Seri Paduka minta rakyat jadi pengguna bijak

Posted:

Seri Paduka minta rakyat jadi pengguna bijak

Seri Paduka minta rakyat jadi pengguna bijak

KUALA LUMPUR 7 Mac - Yang di-Pertuan Agong, Tuanku Mizan Zainal Abidin menyeru rakyat supaya menjadi pengguna yang bijak, mengamalkan perbelanjaan secara berhemat dan berusaha melindungi kepentingan sendiri dengan tidak terlalu bergantung kepada perlindungan kerajaan.

Titah Seri Paduka, sejak akhir-akhir ini telah berlaku situasi kenaikan harga bahan-bahan makanan di seluruh dunia yang disebabkan oleh pemanasan global, bencana alam, perubahan polisi negara pengeluar dan peningkatan penduduk dunia sebanyak empat peratus setahun berbanding pengeluaran makanan dunia sebanyak satu hingga dua peratus.

Tuanku Mizan sehubungan itu bertitah apa yang berlaku adalah krisis makanan global dan sebagai negara pengimport makanan, Malaysia terdedah kepada kenaikan harga barang dan ia sememangnya di luar kawalan kerajaan.

"Dalam keadaan ini, beta menyeru rakyat supaya lebih bersedia untuk menghadapi fenomena ini, jadilah pengguna yang bijak, amalkan perbelanjaan secara berhemat dan berusaha melindungi kepentingan sendiri dengan tidak terlalu bergantung kepada perlindungan kerajaan," titah Seri Paduka pada perasmian mesyuarat pertama penggal keempat Majlis Parlimen yang kedua belas untuk tahun ini di sini hari ini.

Tuanku Mizan bertitah, kerajaan begitu prihatin terhadap keresahan dan kesusahan yang dialami rakyat di mana telah menyediakan peruntukan berjumlah RM10.3 bilion dalam bentuk subsidi bagi membolehkan rakyat memperoleh barang keperluan asasi harian pada harga yang berpatutan.

Seri Paduka juga bertitah, sebagai sebuah negara yang mengamalkan ekonomi terbuka, Malaysia perlu peka terhadap faktor luaran seperti ekonomi global tidak menentu yang menjadi cabaran kepada usaha mengukuhkan ekonomi negara dan seterusnya usaha untuk mencapai status negara maju berpendapatan tinggi pada 2020.

Full Feed Generated by Get Full RSS, sponsored by USA Best Price.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan