Selasa, 15 Mac 2011

The Malaysian Insider :: Bahasa

The Malaysian Insider :: Bahasa


Isu jurulatih: Chong Wei mahu Misbun buat keputusan segera

Posted: 15 Mar 2011 12:23 AM PDT

Lee Chong Wei (tengah) melambai-lambaikan tangannya ketika tiba di KLIA hari ini. Turut bersama Presiden Persatuan Badminton Malaysia (BAM), Datuk Nadzmi Mohd Salleh (kiri). — Foto Bernama

PUTRAJAYA, 15 Mac — Pemain nombor satu badminton dunia, Datuk Lee Chong Wei, merayu agar jurulatihnya Datuk Misbun Sidek segera membuat keputusan sama ada mahu menyambung kontrak sebagai jurulatih Persatuan Badminton Malaysia (BAM).

Beliau yang menjuarai perseorangan All England Ahad lepas dengan menewaskan jaguh China Lin Dan, masih mengharapkan bimbingan dan tunjuk ajar daripada sifunya itu untuk menghadapi kejohanan-kejohanan seterusnya.

"Saya memang perlukan Misbun, namun saya tidak mahu memberi tekanan kepada beliau. Beliau mungkin mempunyai masalah peribadi namun saya berharap agar Misbun dapat segera membuat keputusan dan kembali membimbing kami," katanya kepada pemberita di sini hari ini.

Pemain berusia 29 tahun ini yakin Misbun akan kembali membimbingnya. 

Misbun mengambil keputusan meletak jawatan kerana dikatakan tidak berpuas hati dengan pengurusan BAM.

Walaupun pelbagai pihak telah menemui Misbun untuk membincangkan tentang hasratnya meletak jawatan, namun sehingga kini tiada kata putus daripada beliau. — Bernama

 

Full Feed Generated by Get Full RSS, sponsored by USA Best Price.

Muhyiddin tak pasti Lynas sudah ada lesen operasi tanah jarang

Posted: 15 Mar 2011 12:14 AM PDT

PUTRAJAYA, 15 Mac — Tan Sri Muhyiddin Yassin berkata beliau tidak pasti sama ada kelulusan sudah diberikan kepada syarikat Australia untuk mendirikan loji pemprosesan tanah jarang di Gebeng dekat Kuantan, yang kini mencetuskan kebimbangan ramai.

Dua hari lalu, Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak mengatakan bahawa langkah-langkah keselamatan akan dipastikan bagi mengelakkan masalah sisa radioaktif sebagaimana pernah disaksikan di Perak.

Hari ini, timbalan perdana menteri juga berkata kerajaan sedar akan kebimbangan yang dilahirkan oleh pelbagai pihak berkaitan dengan keselamatan orang ramai.

Justeru kata Muhyiddin, agensi-agensi relevan akan memastikan setiap syarat dipatuhi sebelum satu keputusan dibuat mengenai tapak tersebut.

"Kami faham penduduk bimbang tetapi beberapa syarat mesti dipatuhi seperti soal keselamatan dan alam sekitar.

"Jadi agensi-agensi yang relevan mesti kaji sebelum satu keputusan dibuat. Sama ada ia sudah dibuat keputusan atau tidak, saya tidak pasti," kata beliau pada sidang media di sini hari ini.

Syarikat perlombongan Australia, Lynas Corporation, sedang membina tapak pemprosesan tanah jarang terbesar di negeri kelahiran Najib, mencetuskan kebimbangan akan berulangnya pencemaran radiasi yang pernah disaksikan di Bukit Merah, Perak yang dikaitkan dengan lapan kes leukemia membabitkan penduduk tempatan.

Sabtu lalu, The Star melaporkan bahawa Lynas diberikan lesen praoperasi.

Khamis lalu, Ahli Parlimen Kuantan Fuziah Salleh berkata beliau sememangnya telah membangkitkan isu tapak pemprosesan tanah jarang di Gebeng dua tahun lalu, tetapi kini mahu berganding dengan pencinta alam sekitar dari Australia demi memastikan kepentingan rakyat negara tidak terjejas.

Menurut Fuziah, beliau akan bekerjasama dengan rakan-rakan sejawatannya dari Green Party Australia untuk mengenakan tekanan ke atas kerajaan agar melihat secara mendalam kesan ke atas alam sekitar dan kesihatan akibat projek bernilai AS$230 juta itu dan mahu jaminan perlindungan sebelum Lynas Corp memulakan operasinya.

Kawasan industri Gebeng bakal menyaksikan pusat pemprosesan tanah jarang yang paling besar di dunia, menurut laporan akhbar Amerika Syarikat The New York Times minggu lalu.

Beberapa pakar yang dipetik dalam laporan itu melahirkan kebimbangan berhubung sisa radioaktif yang bakal dihasilkan selepas projek itu beroperasi.

Ia percubaan kedua Malaysia dalam membangunkan industri pemprosesan tanah jarang, kali pertama menimbulkan kontroversi dan bantahan apabila ia cuba didirikan di Bukit Merah, Perak sekitar 1980-an.

Pengarah Lembaga Pelesenan Tenaga Atom Malaysia, Raja Abdul Aziz Raja Adnan berkata kelulusan diberikan kepada projek Lynas selepas melalui penilaian oleh pelbagai agensi kerajaan.

Kerajaan Malaysia dilaporkan telah menawarkn pusat Lynas itu taraf perintis selama 12 tahun.

Terengganu yang merupakan pilihan pertama Lynas telah menolak cadangan syarikat Australia itu pada 2007 ekoran tekanan daripada pencinta alam sekitar, kata Fuziah yang juga Naib Presiden PKR.

 

Full Feed Generated by Get Full RSS, sponsored by USA Best Price.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan