Isnin, 14 Mac 2011

The Malaysian Insider :: Bahasa

The Malaysian Insider :: Bahasa


Isu Manifesto: MB Kedah terima cabaran Mukhriz

Posted: 14 Mar 2011 12:45 AM PDT

Azizan

BUKIT KAYU HITAM, 14 Mac — Menteri Besar Kedah Datuk Seri Azizan Abdul Razak bersedia menjawab sebarang soalan berhubung kejayaan melaksanakan manifesto pilihan raya umum yang lalu pada sidang Dewan Undangan Negeri (DUN bulan depan.

Katanya beliau akan menjawab semua soalan yang bakal diajukan oleh pemimpin Umno dan Barisan Nasional (BN) mengenai kejayaan kerajaan negeri melaksanakan 80 peratus manifesto yang telah dibuat PAS.

"Tak perlu nak senaraikan kepada mereka (wakil rakyat BN) kerana kita sebelum ini sudah senaraikan kejayaan yang dibuat kerajaan...Saya akan jawab kalau mereka tanya," katanya ketika ditemui pemberita selepas melakukan lawatan kerja ke Ladang Nanas milik Kedah Agro Holding Berhad di Laka Temin di sini hari ini.

Azizan mengulas desakan pemimpin BN yang mahu beliau menyenaraikan dan mengemukakan bukti mengenai kejayaan menifesto pada PRU yang lalu.

Beliau berkata kejayaan itu tidak perlu disenaraikan semula memandangkan kerajaan negeri sebelum ini telah menyenaraikan kejayaan itu dalam akhbar rasmi (Warta Darul Aman).

"Mereka cakap nak tengok ekonomi, mai tegoklah sendiri, kalau nak bukti pi tengok dekat Audit Negara, kita dapat RM53 juta tahun ni hasil balak," katanya.

Timbalan Pengerusi Badan Perhubungan Umno Kedah, Datuk Mukhriz Mahathir berkata kerajaan negeri perlu mengemukakan bukti yang sahih kepada rakyat mengenai kejayaannya menyelesaikan serta melaksanakan 80 peratus janji-janji dalam manifesto pilihan raya umum (PRU) ke-12.

Mukhriz berkata kenyataan yang dikeluarkan kerajaan PAS itu tidak berasaskan kepada fakta yang lengkap dan membuatkan rakyat keliru mengenai kejayaan yang telah dilaksanakan.

"Kita mahu kerajaan PAS mengambil peluang mengemukakan bukti yang benar dalam sidang Dewan Undangan Negeri April depan bagi menjelaskan secara terperinci kepada rakyat secara keseluruhan apa yang mereka maksudkan kejayaan 80 peratus itu.

"Ia tidak cukup dengan sekadar cakap-cakap sahaja kerana rakyat jauh lebih bijak," katanya kepada pemberita ketika diminta mengulas kenyataan Pengerusi Jawatankuasa Penerangan dan Pembangunan Usahawan Negeri, Abdul Ghani Ahmad.

Dalam kenyataan baru-baru ini, Abdul Ghani berkata sehingga Julai tahun lepas, sebanyak 80.7 peratus daripada manifesto yang mempunyai 57 perkara yang disenaraikan dalam manifesto PRU12 berjaya mencapai matlamatnya.

Daripada 57 perkara tersebut, beliau berkata 46 daripadanya telah dilaksanakan dan 11 perkara lagi atau 19.3 peratus masih dalam peringkat kajian merangkumi bidang pentadbiran, pertanian, pembangunan Insan, hal ehwal Islam, hal ehwal wanita, sukan dan rekreasi serta pihak berkuasa tempatan.

Mukhriz yang juga Timbalan Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri berkata rakyat negeri ini tidak nampak sebarang perubahan selepas Kedah diambil alih oleh PAS sejak 2008.

Full Feed Generated by Get Full RSS, sponsored by USA Best Price.

Harussani tak patut hukum Nik Aziz tanpa penjelasan, kata PAS

Posted: 14 Mar 2011 12:22 AM PDT

Harussani

KUALA LUMPUR, 14 Mac — Pemimpin-pemimpin PAS menyifatkan tindakan Mufti Perak Tan Sri Harussani Zakaria menjatuhkan hukuman terhadap Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat  ekoran penyataan "undi PAS masuk syurga" tanpa mendapatkan penjelasan bertentangan dengan prinsip selaku tokoh agama.

Malah pemimpin-pemimpin PAS menggesa Harussani agar membuat penjelasan kepada Mursyidul Am PAS itu berhubung tulisan terbaru Mufti Perak itu dalam Mingguan Malaysia, 6 Mac lalu.

Naib Presiden PAS Datuk Tuan Ibrahim Tuan Man berkata, Harussani sepatutnya tidak boleh membuat sebarang keputusan selagi tidak mendengar penjelasan dari kedua-dua pihak.

"Sebagai seorang mufti, Harussani tidak boleh mengeluarkan kenyataan dengan hanya berpandukan satu atau dua sumber sahaja dan sepatutnya beliau mendapat penjelasan sebenar dari Datuk Nik Aziz.

"Beliau tidak boleh keluarkan apa-apa kenyataan dengan hanya bersandarkan laporan media... jadi bila beliau sudah keluarkan kenyataan itu maknanya beliau kena jelaskan tuduhan itu kepada Datuk Nik Aziz," katanya ketika dihubungi The Malaysian Insider.

Justeru, kata Tuan Ibrahim, Harussani perlu menjelaskan tuduhan itu kepada Nik Aziz yang juga Menteri Besar Kelantan dan keengganan berbuat demikian adalah satu tindakan yang tidak wajar bagi seorang mufti.

"Beliau tidak boleh lari tapi kena jawab dan beri penjelasan kepada Datuk Nik Aziz... tindakan tidak mahu jawab adalah satu tindakan yang tidak betul sebagai seorang mufti.

"Harussani letakkan hukuman ke atas Datuk Nik Aziz pada kenyataan yang tidak benar, beliau kena jawab surat rasmi tersebut kerana Datuk Nik Aziz nak tahu bila dan di mana beliau kata demikian.

"Tak wajar Harussani menjatuhkan hukuman sedangkan Datuk Nik Aziz tidak diberi peluang untuk buat penjelasan, jalan terbaik adalah beliau balas surat rasmi Datuk Nik Aziz dan membuat penjelasan terhadap tuduhan itu," kata Pesuruhjaya PAS Pahang itu.

Tambah Tuan Ibrahim, satu pertemuan antara Nik Aziz dan Harussani perlu diatur bagi menyelesaikan percanggahan pendapat yang menyentuh isu-isu Islam.

"Saya cadangkan agar adakan pertemuan antara Datuk Nik Aziz dan Harussani, pertemuam mesti diatur bagi menyelesaikan segala percanggahan pendapat ini," katanya.

Cadangan sama turut dikemukakan Dewan Pemuda PAS Perak sebelum ini, yang mana bagi mereka sudah tiba masa kedua-dua tokoh itu bersemuka dengan cara yang lebih terhormat dan beradab bagi menjernihkan keadaan dan menyelesaikan kemelut yang hanya merugikan umat Islam.

Sebelum ini pejabat Menteri Besar Kelantan telah menghantar surat rasmi kepada Harussani memohon penjelasan ekorang penyataan "undi PAS masuk syurga" yang ditulis dalam Mingguan Malaysia.

Namun Harussani berpendirian untuk tidak membuat penjelasan kepada Nik Aziz kerana percaya Menteri Besar Kelantan itu akan tetap mengeluarkan kenyataan yang bercanggah dengan kehendak agama Islam.

Selain itu, Harussani percaya Nik Aziz akan tetap menggunakan hukum agama dalam politik yang boleh mengelirukan umat Islam.

Bagi Ketua Penerangan PAS pusat Idris Ahmad, tindakan Harussani enggan memberikan respons terhadap surat rasmi yang dihantar Nik Aziz itu membuktikan beliau tidak berani untuk membuat penjelasan itu.

"Selama ini Harussani cakap hanya sebelah pihak tapi kini Nik Aziz telah menghantar surat untuk mohon penjelasan mengenai tulisannya baru-baru ini.

"Jadi kenapa Harussani tak berani nak buat penjelasan? Patut beliau kena buat penjelasan kepada Nik Aziz tapi nampaknya beliau tak berani," katanya.

Beliau berkata tindakan Harussani menjatuhkan hukuman terhadap Nik Aziz tanpa mendapatkan penjelasan adalah tidak wajar.

"Sepatutnya mengikut adab kalau orang dah hantar surat, kenalah balas... jangan senyap je.

"Lagipun Harussani telah menjatuhkan hukuman tanpa mendapat penjelasan, mana boleh macam itu... patut beliau kena dengar dari kedua-dua belah pihak baru boleh jatuhkan hukuman," katanya.

Bagaimanapun seorang lagi Naib Presiden PAS Datuk Mahfuz Omar meminta agar Harussani "tutup mulut" sekiranya enggan memberikan penjelasan terhadap penyataan "undi PAS masuk syurga" yang mengaitkan Nik Aziz.

"Saya minta beliau tutup mulut kalau tidak sanggup untuk buat penjelasan kepada Datuk Nik Aziz.

"Jangan jadi macam mulut murai, bercakap ikut suka hati... kalau tak nak beri penjelasan tutup mulut," katanya.

Tambah Ahli Parlimen Pokok Sena itu, imej dan maruah Harussani akan terjejas sekiranya enggan membuat penjelasan kepada Nik Aziz.

"Kalau nak bercakap juga buat penjelasan terhadap tuduhan itu, kalau rasa tak sanggup lebih baik diam.

"Bila beliau tak nak beri penjelasan ia menjatuhkan maruah beliau sebagai Mufti Perak bukan imej Datuk Nik Aziz," katanya.

Full Feed Generated by Get Full RSS, sponsored by USA Best Price.

Tiada ulasan:

Catat Komen