Rabu, 9 Mac 2011

Kosmo Online - Rencana Utama

Kosmo Online - Rencana Utama


Melayu jangan pupuskan jawi

Posted:

Melayu jangan pupuskan jawi

Melayu jangan pupuskan jawi

Oleh SAHLIZAH MOHAMED



LEBIH 700 tahun lalu sejak penemuan Batu Bersurat di Terengganu pada kurun ke-13, tulisan jawi pernah mengalami pasang surutnya. meskipun ia pernah menjadi tulisan rasmi bagi Negeri-negeri Melayu Tidak Bersekutu semasa penguasaan British.

Pada zaman lampau, tulisan jawi memainkan peranan penting sebagai pengantara dalam semua urusan pentadbiran, perdagangan dan adat istiadat.

Namun, peredaran zaman menjadikan tulisan jawi yang merupakan salah satu tradisi dalam tamadun Melayu Islam semakin terpinggir sedangkan ia sepatutnya menjadi skrip budaya dan skrip diraja.

Menjadi tanggungjawab semua pihak yang cintakan jawi dan tidak mahu tulisan keramat orang Melayu itu pupus begitu sahaja dengan mengambil inisiatif bagi memastikan ia terus subur selari dengan arus pemodenan.

Merungkai lanjut tentang itu, Pensyarah Usuluddin, Hubungan Muslim/Bukan Muslim Pemikiran Islam dan Ketamadunan Universiti Putra Malaysia (UPM), Dr. Amini Amir Abdullah tidak terkecuali daripada melontarkan sokongan tatkala topik memartabat tulisan jawi diajukan kepadanya.

"Bagi saya, kita perlukan satu peruntukan undang-undang. Contoh mudah ialah menerusi pengiklanan iaitu papan-papan iklan yang hendak dipasang mesti disertakan dengan tulisan jawi.

"Memanglah Bahasa Melayu itu bahasa kebangsaan, jadi ia termasuklah dengan tulisan jawi," katanya ketika ditemui di UPM, baru-baru ini.


ATAS: Yayasan Restu memainkan peranan dalam penulisan pantun dan gurindam dengan tulisan jawi.


Dr. Amini turut melahirkan rasa hairan kerana sebagai seorang pensyarah yang sering melakukan pelbagai kajian, dia melihat pada zaman lampau, bahasa Cina datang dengan tulisannya. Begitu juga bahasa tamil, tetapi mengapa aliran yang sebaliknya pula berlaku kepada tulisan Melayu?

"Masyarakat Cina amat berbangga dengan kaligrafi mereka, tetapi mengapa kita tidak? Kaligrafi Cina sudah berusia hampir 2000 tahun sedangkan jawi pula baru sekitar 700 ke 800 tahun lalu," ungkapnya.

Meneruskan bicara, Dr. Amini turut menyelitkan pendekatan top down yang menyaksikan pergerakan daripada golongan atasan sehingga ke peringkat akar umbi.

Baginya, pendekatan sedemikian mampu merealisasikan undang-undang, peraturan atau perancangan yang membawa kepada kejayaan jika sesebuah perundangan diimplementasikan.

"Kita jadikan konsep 1Malaysia sebagai contoh. Ia bermula dari atas iaitu daripada Perdana Menteri kita dan lihat sahaja kepada keberkesanannya," ujarnya ketika ditemui di pejabatnya baru-baru ini.

Katanya, masyarakat sering melaungkan mahu warisan melayu dipertahankan, ironinya mereka tidak menyedari bahawa tulisan jawi itu adalah sebahagian daripada warisan.

Dr. Amini turut mencadangkan agar tulisan jawi dimasukkan ke dalam peperiksaan besar seperti Ujian Pencapaian Sekolah Rendah (UPSR) atau Penilaian Menengah Rendah (PMR) dan bersifat wajib lulus.

Kuasai tulisan jawi


MENGGUNAKAN tulisan jawi pada papan iklan salah satu cara mendedahkan orang ramai terhadap kepentingan tulisan tersebut. - Gambar hiasan


Tidak hanya tertumpu kepada satu arah sahaja, pendekatan bermotifkan down top juga perlu diberi penekanan bermula daripada sikap pelajar terutamanya yang sudah matang untuk memperkasa tulisan jawi.

"Jangan hanya terarah kepada satu bahagian iaitu guru menyampaikan dan murid pula hanya menerima. Tenaga pengajar perlu kreatif sambil menerapkan ciri-ciri pemahaman, ingatan dan praktikal.

"Perlu ada perancangan, pelaksanaan, pemantauan dan penilaian, penambahbaikan dan tindakan pembetulan baru boleh berjaya," jelasnya sambil memberitahu sistem pembelajaran Program Jawi, al-Quran, bahasa Arab dan Fardu Ain (j-QAF) merupakan satu langkah yang terbaik untuk terus menghidupkan tulisan jawi.

Sementara itu, Pengarang Utusan Melayu Mingguan, Mohd. Kamil Yusuff ketika mengulas mengenai penubuhan j-QAF memberitahu, semakin ramai yang sudah boleh menguasai tulisan jawi berbanding generasinya empat dekad lalu.

"Saya berada dalam darjah satu pada tahun 1971 dan pada tahun itu, sistem pendidikan negara dirombak dengan mengetepikan jawi.

"Selepas itu, jawi tidak lagi diajar sebagai satu subjek wajib, sebaliknya ia hanya sekadar subjek serpihan dalam subjek lain seperti bahasa Melayu," katanya.

Mohd. Kamil menekankan salah satu daripada punca kelemahan penguasaan tulisan dan bacaan dalam jawi kerana sikap seseorang itu sendiri.

Sementara itu, Ketua Eksekutif Yayasan Karyawan, Datuk Dr. Hassan Ahmad ketika dihubungi turut berkongsi rasa gusar ekoran tahap penggunaan tulisan jawi yang digunapakai pada ketika ini.

"Satu ketika dulu, tulisan jawi sangat berpengaruh, namun kini seperti dipandang sepi sedangkan ia merupakan 'peralatan' yang sangat penting dalam proses pembinaan tamadun Melayu Islam di rantau ini.

"Bagi saya, salah satu daripada cara untuk menyebarkan tulisan jawi ialah melalui bahan bacaan seperti akhbar dan buku bacaan yang wajib dipelajari oleh pelajar Melayu dalam mengikuti mata pelajaran Bahasa Melayu atau Sastera Melayu.



"Sekurang-kurangnya terdapat keseimbangan antara tulisan jawi dan tulisan rumi. Jika boleh, saya mahu pelajar universiti yang mengikuti pengajian bahasa Melayu atau Sastera diwajibkan membaca satu naskhah atau manuskrip lama mungkin pada abad ke-17 atau 18 yang ditulis dalam tulisan jawi," jelasnya.

Memelihara tulisan jawi

Dr. Hassan turut meluahkan kebimbangan kerana dia enggan Malaysia menjadi seperti Turki yang sudah tidak lagi mementingkan tulisan jawi.

"Saya takut kita menjadi seperti Turki. Mereka sudah tidak tahu membaca tulisan jawi dan membaca al-Quran pula menerusi terjemahan dalam bahasa Inggeris.

"Bagi saya, apa yang penting buat masa ini ialah memiliki sebuah dasar yang tegas untuk terus memelihara tulisan jawi. Pada pandangan saya, dasar kita tidak tegas dan selalu berubah-ubah, bukan hanya dalam konteks ini, tetapi hampir dalam semua bidang. Mungkin ia disebabkan oleh desakan atau dipengaruhi orang lain," katanya ketika hubungi.

Pada masa yang sama, Dr. Hassan turut meletakkan peranan tulisan jawi sebagai sebuah tapak atau asas kepada seseorang Islam untuk sembahyang, mengaji dan membaca doa-doa menerusi tulisan arab.

"Bagaimana hendak membaca al-Quran jika tidak tahu tulisan jawi? Tidak mustahil pada masa akan datang al-Quran hanya dibaca melalui terjemahan tulisan rumi yang belum tentu sebutan dan cara bacaannya serupa.

"Tidak mustahil dalam masa 20 atau 30 tahun lagi, kita tidak akan mempunyai pengkaji atau sarjana yang mampu mengkaji naskhah Melayu lama yang ditulis dalam tulisan jawi untuk diterbitkan dalam sebagai karya klasik Melayu yang hebat," ungkapnya lagi.

Full Feed Generated by Get Full RSS, sponsored by USA Best Price.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan