Khamis, 24 Mac 2011

Berita Harian: Mutakhir

Berita Harian: Mutakhir


Industri ICT penting penuhi hasrat kerajaan menuju MBE

Posted: 24 Mar 2011 03:20 AM PDT

Mutakhir

KUALA LUMPUR: Industri teknologi maklumat dan komunikasi (ICT) memainkan peranan yang amat penting dalam memenuhi hasrat kerajaan menuju ke arah Model Baru Ekonomi (MBE) yang berpaksikan pengetahuan dan inovasi, kata Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak.

Beliau berkata, pada hari ini kreativiti dan inovasi ICT memainkan peranan

penting dalam pelbagai bidang termasuk memudahkan urusan perdagangan, rawatan kesihatan, mencipta peluang pekerjaan, meningkatkan penggunaan ilmu pengetahuan dan pada masa yang sama, memantapkan lagi ekonomi dunia.
"Semenjak tidak kurang dari empat dekad lalu, industri ini berkembang pesat
sehingga menjadi asas kepada penjanaan pertumbuhan ekonomi dunia," kata beliau
pada majlis penyampaian Anugerah ICT NEF-Awani di sini hari ini.

Najib juga meminta persatuan dan badan bukan kerajaan (NGO) bumiputera
supaya perlu lebih sensitif kepada pergerakan dan permintaan pasaran dan mempunyai keupayaan untuk memperoleh projek serta peluang bagi anggota-anggota
mereka dalam usaha merapatkan jurang ekonomi yang wujud di antara bumiputera dan
golongan lain.

Katanya, sebagai persatuan bumiputera, adalah menjadi tanggungjawab setiap persatuan untuk mengetahui dan merasai nadi keperluan anggota-anggotanya.

"Persatuan harus menerajui inisiatif ke arah memenuhi keperluan-keperluan ini serta mencari jalan penyelesaian permasalahan yang dilalui anggota-anggota. Perkara ini amat penting untuk memastikan isu-isu industri yang
dihadapi oleh peniaga Bumiputera dapat diatasi," katanya.

Sebanyak 13 anugerah telah disampaikan pada majlis yang disiarkan secara langsung melalui Astro Awani itu.

Antara pemenang anugerah ialah Century Software Sdn Bhd bagi kategori Produk
Perisian Bumiputera Terbaik, Reza Razali (Anugerah Usahawan Tekno Bumiputera
Muda Terbaik), Lotdotmy Sdn Bhd (Anugerah Aplikasi Media Baru Bumiputera
Terbaik) dan Les' Copaque Production Sdn Bhd (Anugerah Khas: NEF-Awani Tun Dr
Mahathir). - BERNAMA


Full Feed Generated by Get Full RSS, sponsored by USA Best Price.

CUEPACS cadang sistem gaji sebaris

Posted: 24 Mar 2011 03:17 AM PDT

Mutakhir

PUTRAJAYA: Kongres Kesatuan Pekerja-Pekerja Dalam Perkhidmatan Awam (CUEPACS) mencadangkan Sistem Gaji Sebaris diperkenalkan dalam kajian semula terhadap Sistem Saraan Malaysia (SSM) supaya penjawat awam lebih produktif dalam menunaikan tugas mereka.

Presidennya, Datuk Omar Osman, berkata pihaknya juga mencadangkan kepada

kerajaan supaya kenaikan pangkat dan gaji penjawat awam mengambil kira pembabitan mereka dalam aktiviti luar seperti kesukarelaan, kemasyarakatan dan sukan. Beliau berkata, perkara itu akan dikemukakan dalam pertemuan antara pihaknya dengan Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA) pada 4 April.

"Kita menyambut baik langkah kerajaan untuk mengkaji semula Sistem Saraan
Malaysia yang kini pun masih banyak dipertikaikan.

"Pada peringkat awal, ini antara cadangan yang akan dikemukakan oleh Cuepacs
kepada kerajaan untuk kajian semula terhadap SSM," katanya ketika dihubungi di sini hari ini.

Ketika berucap pada Majlis Perdana Perkhidmatan Awam Ke-12 Selasa lalu,
Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak berkata, kajian semula SSM sedang
dijalankan untuk menjadikan perkhidmatan awam negara ini lebih produktif,
berinovasi, kreatif dan berprestasi tinggi.

Najib berkata, kajian komprehensif itu bukan sahaja meneliti aspek saraan
semata-mata tetapi juga bakal mewujudkan struktur dan sistem yang dinamis bagi
menterjemahkan agenda transformasi kerajaan serta ekonomi.

Perdana Menteri berkata, kerajaan bercadang untuk memperkenalkan satu lagi
anugerah khas bagi menghargai penjawat awam, yang selain berupaya menunjukkan
mutu kerja tinggi di pejabat, mampu pula bergiat aktif dalam aktiviti
kesukarelaan, kemasyarakatan, kebudayaan dan sukan.

Mengulas lanjut, Omar berkata, pihaknya berpendapat banyak kelebihan bakal
dinikmati penjawat awam dengan Sistem Gaji Sebaris, antaranya daripada segi
pergerakan gaji dan tahap gaji maksimum mereka.

Beliau berkata, dalam Jadual Gaji Matriks yang ada dalam SSM sekarang, penjawat awam hanya memperoleh kelebihan dalam jangka pendek, misalnya akan mencapai tahap gaji maksimum dengan cepat sedangkan mereka masih ada tempoh untuk berkhidmat.

Malahan, beliau berkata, kenaikan gaji dan pangkat yang diberikan kepada penjawat awam lulus peperiksaan Penilaian Tahap Kecekapan (PTK) kini juga
menyekat dan "membunuh" semangat sebahagian penjawat awam lain.

Katanya, tidak semua yang terkandung di dalam SSM kini tidak berfaedah, namun
sudah tiba masanya bagi kerajaan menilai semula beberapa perkara kerana
kelebihan perlu diberikan kepada mereka yang benar-benar layak.

Omar berharap kerajaan dapat mempertimbangkan cadangan Cuepacs itu kerana ia
dapat meningkatkan lagi produktiviti dan prestasi kerja penjawat awam di negara
ini. - BERNAMA


Full Feed Generated by Get Full RSS, sponsored by USA Best Price.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan