Ahad, 1 Julai 2012

Harian Metro: Setempat

Harian Metro: Setempat


‘Tolong cari tangan saya’

Posted: 30 Jun 2012 03:51 PM PDT

KUCHING: Seorang wanita menggelupur sambil menjerit meminta tolong supaya mengambil pergelangan tangan kanannya yang putus selepas diserang dua lelaki bertopeng di sebuah pasar di Sungai Maong, di sini, pagi semalam.

Kejadian berlaku jam 7.15 pagi ketika mangsa berusia 53 tahun memesan barangan daripada seorang peniaga sebelum muncul dua lelaki bersenjatakan objek tajam.


Difahamkan, kejadian disedari suami mangsa berusia 61 tahun selepas menerima panggilan daripada pemilik sebuah kedai memaklumkan kejadian menimpa isterinya.

Sumber berkata, sebelum kejadian, mangsa bersama suaminya ke pasar itu dan mereka berpecah untuk membeli barangan masing-masing.


Katanya, beberapa minit kemudian, suami mangsa yang ketika itu membeli makanan di sebuah kedai terkejut apabila menerima panggilan memaklumkan isterinya diserang.


"Suami mangsa bergegas ke tempat kejadian dan mendapati isterinya menjerit kesakitan dengan tangannya berlumuran darah. Suaminya membawa wanita itu serta pergelangan tangan yang putus ke Hospital Umum Sarawak (HUS).

"Berdasarkan maklumat awal diperoleh, dua suspek menaiki Perodua Myvi kelabu dikatakan menunggu di satu lokasi sebelum menyerang mangsa," katanya.


Sementara itu, Timbalan Ketua Polis Daerah Kuching, Superintendan Pauzi Bujang berkata, serangan dipercayai berlaku ketika mangsa menunggu pesanan barang dibeli daripada peniaga.

Beliau berkata, mangsa yang tidak menyedari kehadiran dua lelaki itu ditetak di pergelangan tangan kanan sehingga putus, selain cedera di tangan kiri.


"Polis masih menjalankan siasatan untuk mengenal pasti dua individu yang menyerang mangsa.


"Mangsa yang parah masih dirawat di HUS dan keadaannya dilaporkan stabil. Kes disiasat mengikut Seksyen 326 Kanun Keseksaan kerana sengaja mendatangkan kecederaan menggunakan senjata." katanya.


e-Paper Harian Metro dilancar hari ini

Posted: 30 Jun 2012 03:49 PM PDT

KEPADA pelanggan yang dihargai, saya ingin mengalu-alukan anda untuk mencuba tawaran terbaru paling inovatif disediakan tiga akhbar di bawah Kumpulan The New Straits Times Press (M) Berhad (NSTP), kumpulan akhbar terkemuka negara.

Berikutan tempoh percubaan selama dua minggu yang memberikan maklum balas cemerlang, hari ini kami secara rasmi melancarkan versi digital tiga akhbar utama berserta edisi Ahad supaya dapat memenuhi permintaan anda selain membantu menyediakan perkhidmatan lebih baik.


Bermula hari ini, anda dapat menikmati perubahan dan keistimewaan membaca akhbar kesukaan anda seperti New Straits Times, Berita Harian atau Harian Metro dalam format digital menerusi peranti android, telefon pintar, tablet atau komputer peribadi anda pada bila-bila masa atau di mana-mana saja.

Terima kasih kepada teknologi terkini kerana akhbar digital atau lebih dikenali sebagai e-Paper dapat memberi anda pengalaman membaca yang tiada tandingan menerusi landasan digital.


Bagi pembaca Harian Metro dan Metro Ahad khususnya, anda boleh muat turun e-Paper Harian Metro dan menikmati perbezaan ketara apabila anda akan dihidangkan bukan saja dengan visual, malah turut didatangkan dalam bentuk video bagi memenuhi kepuasan anda sebagai pembaca.


Kami turut menggabungkan ciri-ciri tambahan seperti mengemas kini berita terkini, muat turun halaman yang pantas, carian kandungan dan pautan khas kepada laman web.

Sila beritahu keluarga dan rakan anda mengenai pengalaman menarik dalam pencarian dan bacaan berita yang pasti menakjubkan.


Kami turut mengalu-alukan pendapat anda dalam memperbaiki produk inovatif ini supaya ia dapat menyampaikan isi kandungan yang anda mahukan.

Untuk itu, mendaftarlah segera dan dapatkan e-Paper Harian Metro/Metro Ahadhari ini untuk menikmati diskaun menarik yang ditawarkan untuk masa terhad saja. Selamat membaca.


Abdul Jalil Hamid Pengarang Urusan Kumpulan NSTP


Tiada ulasan:

Catat Ulasan