Jumaat, 20 Julai 2012

Harian Metro: Mutakhir

Harian Metro: Mutakhir


Polis trafik didakwa sebabkan kematian rakan setugas

Posted: 20 Jul 2012 02:27 AM PDT

KLANG: Seorang anggota polis trafik hari ini mengaku tidak bersalah di Mahkamah Majistret di sini atas dakwaan menyebabkan kematian rakan setugas secara cuai pada bulan lepas.

Korporal Mohd Sedi Mat, 51, didakwa mengikut Seksyen 304 A Kanun Keseksaan atas dakwaan menyebabkan kematian Korporal Mustaghni Tabri, 48, dengan satu perbuatan gopoh atau cuai di Jalan Lingkungan Kampung Raja Uda Pelabuhan Klang pukul 1.45 pagi, 3 Jun lepas.

Dia boleh dipenjara maksimum dua tahun atau didenda atau kedua-duanya sekali, jika sabit kesalahan.

Timbalan Pendakwaraya Putri Iskandariah Mat Tahir menawarkan jaminan RM8,000 kepada tertuduh tetapi peguam belanya Affifuddin Mohd Afifi memohon ia dikurangkan.


Affifuddin memohon kepada mahkamah supaya jaminan anak guamnya dikurangkan kepada RM4,000 memandangkan Mohd Sedi terpaksa menyara tujuh anak yang masih bersekolah dan seorang isteri selain tidak mempunyai kesalahan lampau.


Majistret Hurman Hussain kemudiannya menetapkan jaminan pada RM4,000 dengan seorang penjamin dengan tarikh sebutan semula kes itu pada 10 September ini sementara menunggu laporan bedah siasat Mustaghni. - Bernama

Artikel ini disiarkan pada : 2012/07/20


Terengganu dapat khidmat 'All Blacks' tubuhkan akademi ragbi

Posted: 20 Jul 2012 02:24 AM PDT

KUALA TERENGGANU: Terengganu bakal mendapat bantuan daripada kerajaan New Zealand bagi menubuhkan akademi ragbi selaras dengan hasrat negeri itu menjadi kuasa sukan ragbi tanah air dan melahirkan pemain negara bertaraf antarabangsa.

Perkara itu dinyatakan Pengarah Majlis Sukan Negeri Terengganu (MSNT), Zainal Abidin Hussin selepas pertemuan dengan wakil kedutaan New Zealand di Kuala Lumpur, di sini, hari ini.

"Dalam perjumpaan tersebut, kita nampak wakil kedutaan New Zealand itu berminat dan positif membantu menjayakan hasrat kerajaan negeri," katanya kepada Bernama.

Beliau berkata perbincangan itu tertumpu kepada aspek yang mana pasukan New Zealand yang terkenal dengan jolokan 'All Blacks' boleh membantu ke arah pembangunan sukan ragbi di Terengganu termasuk kejurulatihan serta kepakaran teknikal dalam sukan berkenaan.


"Selain itu, New Zealand juga mungkin membantu pemain kita menerusi program penempatan menimba ilmu di sana, antara pasukan ragbi Terengganu dan pasukan ragbi di New Zealand, katanya.


Beliau berkata wakil kedutaan New Zealand itu akan memanjangkan perkara tersebut kepada Persatuan Ragbi New Zealand mengenai hasrat kerajaan Terengganu yang mahu memperkasakan sukan berkenaan di negeri ini.

"Apa pun ia baharu bermula dan belum ada keputusan dibuat setakat ini," katanya.

Zainal Abidin berkata beliau akan meminta Persatuan Ragbi Terengganu merangka kertas kerja berhubung penubuhan akademi tersebut.

Beliau berkata Menteri Besar Datuk Seri Ahmad Said juga berharap dengan penubuhan akademi tersebut, Terengganu akan muncul kuasa baru dalam sukan ragbi di negara ini pada masa depan.

Skuad ragbi Terengganu pernah memenangi pingat emas dalam dua edisi Sukan Malaysia (Sukma) iaitu pada 2008 ketika negeri itu menjadi tuan rumah dan 2010 di Sukma Melaka.

Bagaimanapun, Sukma ke-15 di Pahang baru-baru ini tidak mempertandingkan acara ragbi. - Bernama

Artikel ini disiarkan pada : 2012/07/20


Tiada ulasan:

Catat Ulasan