Sabtu, 14 Julai 2012

Berita Harian: Mutakhir

Berita Harian: Mutakhir


Tiga perompak larikan 11 dulang emas di Batu Caves

Posted: 14 Jul 2012 02:17 AM PDT

KUALA LUMPUR: Tiga lelaki bersenjatakan dua pistol melarikan 11 dulang emas serta merampas satu 'pump gun' milik pengawal keselamatan dalam kejadian samun di sebuah kedai emas di Pasaraya Giant, Batu Caves hari ini.

Ketua Polis Daerah Gombak, Asisten Komisioner Abd Rahim Abdullah berkata, kejadian itu berlaku pada jam 11.28 pagi. "Seorang pengawal keselamatan kedai emas terbabit cedera di kepala akibat dipukul dengan pistol," katanya kepada Bernama.
Beliau berkata, semua suspek, yang belum dikenal pasti identitinya, melarikan diri dengan sebuah kereta Proton Waja bernombor pendaftaran JLN 4488.

Katanya, jumlah kerugian belum ditaksirkan. - BERNAMA

Pembangkang suka main isu jenayah: Hishammuddin

Posted: 14 Jul 2012 01:40 AM PDT

KLUANG: Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Hishammuddin Hussein berkata, pembangkang sentiasa memainkan isu kadar jenayah di negara ini bagi mengikis keyakinan rakyat terhadap kerajaan.

Beliau berkata, pembangkang mengambil kesempatan dengan isu yang mendapat perhatian serta menjadi kebimbangan orang ramai terutamanya kadar jenayah bagi meraih faedah politik. "Kita akan yakinkan orang ramai bahawa tuduhan mereka (pembangkang) itu meleset dan tidak berasas," katanya kepada pemberita selepas merasmikan mesyuarat perwakilan UMNO Bahagian Sembrong di FELDA Ulu Belitong, di sini hari ini.
Hishammuddin, yang juga Ketua UMNO Bahagian Sembrong, menjelaskan bahawa kerajaan tidak pernah mencari alasan tetapi sebaliknya membuktikan komitmen berterusan menerusi inisiatif yang diguna pakai bagi mengurangkan kadar jenayah di negara.

Katanya, usaha kerajaan menangani jenayah di negara ini turut mendapat pujian pihak luar seperti Panel Bebas Antarabangsa yang dianggotai pakar dari Singapura, Hong Kong, United Kingdom dan Amerika Syarikat.

Beliau berkata, panel bebas antarabangsa itu memuji dan kagum dengan pendekataan yang dilaksanakan kerajaan menerusi Program Transformasi Kerajaan (GTP) bagi mengurangkan kadar jenayah di negara ini. - BERNAMA

Tiada ulasan:

Catat Ulasan