Selasa, 10 Julai 2012

Kosmo Online - Negara

Kosmo Online - Negara


Bayar RM250,000 untuk pulih

Posted:

Bayar RM250,000 untuk pulih

Oleh ZULKIFLI MANZOR
zulkifli.manzor@kosmo.com.my

BILANGAN pesakit buah pinggang semakin ramai serta penderma yang sedikit mendorong segelintir pesakit berusaha mendapatkan organ itu secara haram. - Gambar hiasan


KUALA LUMPUR – Kesukaran memperoleh penderma organ di negara ini menyebabkan segelintir pesakit buah pinggang sanggup menghabiskan sehingga RM250,000 bagi mendapatkan buah pinggang baharu dan menjalani pembedahan di luar negara melalui broker organ haram.

Pengerusi Jawatankuasa Penasihat Pendaftaran Renal Kebangsaan (NRR), Datuk Dr. Ghazali Ahmad berkata, kos pembedahan pemindahan buah pinggang di hospital kerajaan cuma RM500 tetapi prosedur yang sama menggunakan organ haram di luar negara boleh mencecah RM250,000.

Katanya, perbuatan tersebut bukan sahaja menyalahi undang-undang tetapi juga menimbulkan komplikasi kesihatan.

"Kami tidak ada statistik jumlah pesakit Malaysia yang menjalani pemindahan organ secara haram di luar negara memandangkan ia pembedahan tidak rasmi tetapi kita dapat maklumat kegiatan itu didalangi broker haram.

"Masalahnya dalam setahun hanya ada 20 hingga 30 penderma organ sedangkan senarai menunggu sudah seramai 16,000 orang. Dalam keadaan ini orang sanggup melakukan apa sahaja untuk mendapatkan buah pinggang baharu," katanya pada sidang akhbar selepas sesi ceramah Risiko/Realiti Pemerdagangan dan Perniagaan Organ oleh Prof. David Matas dari Kanada di sini semalam.

Menteri Kesihatan, Datuk Seri Liow Tiong Lai dan Polis Diraja Malaysia baru-baru ini menafikan Malaysia antara tempat pemindahan organ haram.

Tiong Lai dipetik berkata, keyakinan itu berdasarkan syarat bahawa semua hospital kerajaan mahupun swasta perlu mendapat kelulusan Kementerian Kesihatan sebelum melakukan pemindahan organ.

Pada masa ini pembedahan buah pinggang dijalankan di Hospital Kuala Lumpur, Hospital Selayang, Pusat Perubatan Universiti Malaya dan beberapa hospital swasta di sekitar Lembah Klang.

Ikuti berita selanjutnya di KOSMO! hari ini.

Salyo sah cerai Sasha

Posted:

Salyo sah cerai Sasha

Oleh SHAHRIL NIZAM ABDULLAH
shahril.abdullah@kosmo.com.my

SASHA di Mahkamah Syariah Daerah Gombak Timur, Kuala Lumpur semalam.


KUALA LUMPUR – Bekas anggota kumpulan Elite, Sasha Mohamad Saidin bergelar janda buat kali kedua apabila dicerai talak satu oleh suaminya, Salyo Priyanto Nutosoemarsono di Mahkamah Rendah Syariah Gombak Timur dekat sini semalam selepas dua tahun mereka hidup berasingan.

Sasha, 36, sebelum ini pernah berkahwin dengan seorang lelaki Inggeris, Jason Skinner atau Johan Abdullah di London, England pada 2003 sebelum bercerai dua tahun kemudian tanpa dikurniakan anak.

Salyo, 37, yang merupakan penerbit dari Indonesia, melafazkan cerai terhadap Sasha di hadapan Hakim Syarie, Shaiful Azli Jamaluddin pada pukul 2.55 petang setelah mencapai persetujuan bersama.

Sejurus berakhir lafaz tersebut, Sasha dilihat menadah tangan sambil berdoa, sebelum memeluk ibunya dengan perasaan sebak manakala Salyo yang hadir bersama seorang rakan turut kelihatan sedih dan terus meninggalkan mahkamah.

Pasangan berkenaan mendirikan rumah tangga pada 10 November 2007 di Masjid Baitussalam, Duren Tiga, Jakarta Selatan dan dikurniakan seorang anak lelaki Adam Aryasenna Notoemarsono yang berusia tiga tahun.

Ketika prosiding mahkamah semalam, penyanyi kacukan Melayu dan Inggeris itu menyerahkan sepucuk nota kepada Shaiful Azli bagi menjelaskan sebab-sebab dia memohon cerai.

Kakak kepada pelakon Zain Saidin itu memberitahu mahkamah bahawa mereka masih lagi tinggal serumah, namun tidur berasingan sejak dua tahun lalu.

Ikuti berita selanjutnya di KOSMO! hari ini.

Bersikap adil dan saksama

Posted:

Bersikap adil dan saksama

NAJIB (dua dari kiri) beramah mesra dengan peserta pada majlis penutup Seminar Memperkasakan Institusi Penghulu/Penggawa Semenanjung Malaysia bersama Perdana Menteri di Kuala Lumpur semalam.


KUALA LUMPUR - Datuk Seri Najib Tun Razak mengingatkan penghulu dan penggawa supaya bertindak adil dan saksama tanpa wujud sikap berpuak-puak dalam melaksanakan tugas masing-masing.

Perdana Menteri berkata, sebagai pemimpin masyarakat, mereka mempunyai peranan yang amat besar sebagai penghubung antara pemerintah dan rakyat untuk memastikan setiap dasar kerajaan sampai kepada golongan sasarannya.

Katanya, mereka perlu merasai denyut nadi rakyat, mesra kepada rakyat serta tahu untuk menyelesaikan masalah rakyat.

"Ini yang saya hasratkan, kerajaan mempunyai niat yang baik tetapi disebabkan sistem penyampaiannya, ia tidak sampai kepada golongan sasaran.

"Peranan penghulu ialah untuk memastikan penduduk di mukim masing-masing mendapat bantuan kerajaan seperti daripada program BR1M (Bantuan Rakyat 1Malaysia) dan jika terdapat apa-apa lagi yang belum kerajaan laksanakan, penghulu boleh memaklumkannya melalui saluran tertentu," katanya ketika menutup seminar Memperkasakan Institusi Penghulu/Penggawa Semenanjung Malaysia bersama Perdana Menteri di sini semalam.

Ikuti berita selanjutnya di KOSMO! hari ini.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan