Ahad, 1 Julai 2012

Berita Harian: Mutakhir

Berita Harian: Mutakhir


UMNO tumpu program Shap di semua pusat daerah mengundi

Posted: 01 Jul 2012 03:02 AM PDT

KUALA LUMPUR: UMNO akan memberi tumpuan kepada program 'Setiap Hari Ada Program' atau Shap yang akan dijalankan di semua pusat daerah mengundi di seluruh negara bagi menghadapi pilihan raya umum akan datang.

Ketua Penerangannya, Datuk Ahmad Maslan berkata, bagi menjayakan program itu, setiap pusat daerah mengundi akan mempunyai jawatankuasanya sendiri. Beliau berkata, sebelum ini, UMNO menjayakan Program Juara Rakyat yang dilaksanakan di peringkat bahagian manakala Shap merupakan program yang akan memberi tumpuan di peringkat yang lebih kecil dan menyeluruh.
"Shap akan dimulakan hari ini sehingga pilihan raya umum ke-13," katanya kepada Bernama selepas merasmikan Mesyuarat Perwakilan Pergerakan Wanita, Pemuda dan Puteri UMNO Bahagian Kepong di sini hari ini.

Beliau berkata, keputusan mengenai program itu dibuat Majlis Tertinggi UMNO dan sehubungan itu peruntukan Program Juara Rakyat akan diagih untuk Shap.

"Shap menetapkan sekurang-kurang 200 program sehari di seluruh negara berdasarkan terdapat 222 kawasan Parlimen," katanya. - BERNAMA

Sokongan kaum Cina sama penting seperti kaum lain: Tiong Lai

Posted: 01 Jul 2012 02:48 AM PDT

KUALA LUMPUR: Timbalan Presiden MCA, Datuk Seri Liow Tiong Lai berkata sokongan kaum Cina bagi membolehkan kerajaan mendapat kemenangan besar dalam pilihan raya umum akan datang adalah sama penting dengan sokongan dari kaum lain.

Beliau berkata, melalui pendekatan dan usaha kerajaan untuk kebajikan rakyat dan negara, sokongan semua rakyat pastinya akan diperoleh terutamanya dari kaum Cina. "Kaum Cina akan sokong kerajaan selepas melihat semua kejayaan dan keberkesanan perkhidmatan kerajaan selama ini dan MCA akan berusaha memastikan sokongan kaum Cina kepada kerajaan," katanya kepada pemberita selepas merasmikan karnival buah-buahan 'Jom Bentong' di sini hari ini.
Beliau diminta mengulas mengenai kenyataan bekas Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad bahawa kerajaan memerlukan sokongan kaum Cina bagi mendapat kemenangan besar dalam pilihan raya umum ke-13 akan datang.

Sementara itu, beliau yang juga Menteri Kesihatan berkata kementeriannya akan mengenal pasti jenis bantuan yang diperlukan oleh St John Ambulans Malaysia (SJAM) bagi mentadbir Pusat Rawatan Hemodialisis mereka.

Sehubungan itu, Liow berkata, beliau sudah mengarahkan Ketua Pengarah Kesihatan Datuk Seri Dr Hasan Abdul Rahman untuk bertemu segera dengan SJAM.

"Kita tahu mereka semua sukarelawan dan kita sokong mereka. Jadi kita mahu tahu adakah mereka kekurangan doktor serta bantuan lain yang diperlukan. Kementerian tidak mahu mereka menjalankan pusat perubatan yang tidak selamat dan kurang berkualiti," katanya.
Beliau mengulas mengenai laporan bahawa Pusat Rawatan Dialisis SJAM tidak mendapat kebenaran oleh Kementerian Kesihatan untuk beroperasi. - BERNAMA

Tiada ulasan:

Catat Ulasan